Tuesday, June 22, 2010

Pintu penerokaan nilai sejagat


KHALID membawa pembaca untuk melihat kesejagatan dunia dari sisi yang berbeza.


SELAGI kita mahu bersusah payah memahaminya, istilah-istilah pada judul buku ini - metafizik dan kosmopolitanisme tidak sepatutnya menjadi terlalu asing. Jika ada yang mula membaca buku ini dengan harapan akan menemukan definisi hakiki bagi istilah-istilah berkenaan, maka yang akan tersisa hanyalah tanda soal yang berpanjangan.

Ini kerana penulisnya, Khalid Jaafar tidak melakukan percubaan sebegitu. Apa yang tergambar pada judulnya itu adalah bayangan-bayangan kepada perkara lebih penting yang bakal diperkatakan dalamnya.

Apa yang akan ditemui melalui buku ini adalah sebuah pintu lain yang diperlukan oleh pembaca bagi melihat dari corong yang sedikit berbeza berkenaan persoalan-persoalan sosial dan kesejagatan masyarakat hari ini.

Ia pandangan-pandangan baru daripada jalur sejarah dan falsafah yang jarang didengarkan di media massa.

Ruang di galeri Annexe, Pasar Seni, Kuala Lumpur hujung minggu lalu perlahan-lahan diisi.

Majlis pelancaran buku ini yang disertakan sekali sesi forum untuk membincangkan serba sedikit tentang persoalan yang dibawa tetap menarik minat orang ramai yang berkunjung ke Festival Buku Alternatif Kuala Lumpur 2010.

Idea kosmopolitanisme

Antara perkara dan pandangan mustahak yang disentuh oleh penulisnya adalah tentang kemajmukan antara kaum, kelompok dan pandangan dalam konteks Malaysia. Seperti kebanyakan negara berbilang kaum dan agama lain di dunia, Malaysia turut sama terheret ke dalam kancah kompleksiti identiti.

Paling tidak dalam menyuarakan pandangan dan kepentingan tertentu bagi kelompok berbeza demi menentukan dasar dan perjalanannya sebagai sebuah negara. Melalui Metafizik & Kosmopolitanisme, perkara itu dilihat dalam ruang yang lebih luas, termasuk menyentuh aspek perlembagaan.


KEKEJAMAN Zionis dibincangkan Khalid dengan turut memberi penekanan kepada dokumen Protokol Pendeta Zion.


Maka, pintu itulah yang dibuka oleh buku Metafizik & Kosmopolitanisme untuk pembaca mula menilai kembali diri sendiri. Kosmopolitanisme atau dalam bahasa mudah mungkin boleh saja dirujuk sebagai perkongsian nilai-nilai sejagat, setempat ataupun global dalam usaha untuk mengharmonikan kewujudan manusia.

Apatah lagi dalam konteks Malaysia yang dalam beberapa tahun terakhir ini menunjukkan minat luar biasa terhadap konsep kesatuan masyarakat dalam membangunkan Malaysia yang lebih kondusif. Kosmopolitanisme mungkin hal paling penting ketika ini untuk diselami.

Kita sudah mendengar tentang konsep 1Malaysia. Maka, kosmopolitanisme inilah roh yang perlu ada padanya dan perlu segera difahami dengan jernih dan tentunya dalam konteks pembangunan negara.

Empat bab dalam buku ini masing-masing cuba membawa pembaca menjengah sisi-sisi lain tentang persoalan besar seperti dicadangkan oleh judulnya.

Konspirasi Zionis

Ketika khalayak umum Malaysia masih lagi berkobar dengan sentimen anti-zionis disebabkan serangan mereka terhadap flotilla bantuan keamanan antarabangsa beberapa minggu lalu, adalah penting untuk kita membaca dan memahami tulisan bab ketiga buku ini: Konspirasi Zionis - Satu Pendedahan.

Ia merupakan terjemahan daripada laporan majalah Perancis, L 'Express edisi 16 November 1999 yang mengisahkan tentang pendedahan terhadap dokumen Protokol Pendeta Zion yang selama ini dijadikan alasan Zionis untuk bertindak dan menjadi momok kepada dunia rupa-rupanya adalah sebuah dokumen palsu yang direka.

Perkara itu bukan lagi spekulasi. Ia adalah penemuan dengan segala macam hujah dan fakta oleh seorang cendekiawan sejarah berasal dari Rusia yang sekali gus mengisahkan segala yang berlaku susulan daripada pengedaran dokumen itu adalah satu kesilapan bagi dunia.

Bayangkan, sebuah dokumen palsu, yang awalnya ditulis hanya untuk dibaca oleh seorang Tsar di Rusia waktu itu pastinya untuk menimbulkan ketakutan - tanpa disangka-sangka bertukar menjadi dakyah yang paling berkesan dan memerangkap imaginasi dunia.

Antara yang paling aktif menyebarkan dokumen itu ialah ejen propaganda Nazi, dalam usaha mereka untuk mengesahkan tindakan membunuh orang Yahudi sewaktu perang dunia.

Mungkin, dokumen palsu itu jugalah yang bertanggungjawab menyedarkan Yahudi Zionis untuk menduduki tanah Baitulmuqaddis dan Tebing Barat, lalu menubuhkan negara haram Israel.

Pandangan dalam bab tersebut berbeza jika dibandingkan dengan sebuah buku lain berkisarkan kisah ini, Musuh Rahsia tulisan Rosli Husin. Beliau melalui tulisannya memberi gambaran bahawa dokumen protokol berkenaan adalah sahih dan menimbulkan rasa takut.


BUKU ini menyentuh pelbagai persoalan termasuklah peristiwa sebelum serta selepas kewafatan Rasulullah.


Dalam bab terakhir, buku ini mengingati semula peristiwa-peristiwa menjelang dan sesudah kewafatan Nabi Muhammad SAW.

Dengan merujuk kepada peristiwa itu sebagai polemik politik Islam yang terpenting, ia mengajak untuk merenung dengan lebih tenang peristiwa itu.

Peristiwa pertama dalam sejarah Islam apabila umatnya terpaksa berdepan dengan proses pemilihan pemimpin selepas kewafatan Nabi Muhammad.

Walaupun proses penerbitan dan penyuntingan buku ini terlalu longgar jika dibandingkan dengan perkara yang mahu dibincangkannya, Metafizik & Kosmopolitanisme tetap merupakan teks penting.

Sekurang-kurangnya untuk khalayak yang jarang-jarang berdepan dengan hal-hal seperti yang dinyatakan.

Jika sukar untuk mendapatkan buku ini, hubungi ikdbudaya@gmail.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: