|
|
SETIAP manusia mempunyai hobi tersendiri bagi memenuhi minat dan mendapat keseronokan. Ada hobi percuma dan ada pula yang memerlukan belanja.
Misalnya, mengumpul setem adalah percuma jika sekadar mengumpul setem terpakai tetapi bertukar menjadi menjadi hobi yang memerlukan belanja apabila seseorang pengumpul ingin mendapatkan koleksi terbaru.
Ada juga hobi yang menghasilkan pulangan, contohnya memancing. Meskipun harus berbelanja membeli alat pancing utama seperti joran dan umpan, namun pulangannya mungkin suatu hidangan di meja makan ataupun hadiah berganda dalam pertandingan memancing.
Hamli Rosni, 23, berpendapat, hobi perlu dipilih dengan betul agar ia menjadi aktiviti rekreasi minda yang menenangkan.
Sekiranya seseorang itu membuat perkara yang disukai, sekurang-kurangnya dia telah mengisi hidupnya dengan elemen positif. Jika tidak, hidup seseorang akan berlangsung dalam satu dimensi seterusnya membawa tekanan sama ada dalam pelajaran atau pekerjaan.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini menegaskan bahawa setiap hobi yang dilakukan mempunyai kepentingan tersendiri.
Hamli percaya, hobi yang diperkembangkan membolehkan diri seseorang itu menjadi bahan rujukan bagi pengikut baru hobi tersebut sekali gus menambah rangkaian perhubungan.
Peminat novel karangan Ramlee Awang Murshid seperti Adam, Rangau dan Sembilan Nyawa ini ditemui GenK baru-baru ini.
GenK: Apakah hobi anda?
Hamli Rosni: Saya lebih menghabiskan masa membaca novel berunsurkan kisah seram dan mendengar muzik. Saya juga suka menonton wayang dan amat meminati cerita berunsur fiksyen sains seperti Avatar.
Kebiasaannya apabila kita menonton cerita yang berunsur fiksyen sains ini mampu membantu daya kreativiti. Bagaimana dengan anda?
Setiap orang ada caranya tersendiri untuk berimaginasi. Menonton wayang yang bercirikan fiksyen sains contohnya membuatkan kita berimaginasi tentang makhluk-makhluk pelik serta peralatan sains yang canggih yang tidak pernah terfikir oleh kita. Ia membangkitkan sikap ingin tahu kita terhadap perjalanan sesuatu cerita.
|
|
Bagi saya imaginasi tinggi mampu membentuk minda kreatif. Namun jangan pula kita aplikasi imaginasi tersebut dengan membayang perkara-perkara negatif dengan menonton adegan yang tidak sepatutnya kerana ia tidak membawa sebarang kebaikan.
Sebagai peminat filem berunsur fiksyen sains, bagaimana anda melihat perkembangan genre tersebut di negara ini?
Filem berunsur fiksyen sains di negara ini mempunyai potensi untuk berkembang. Jika dilihat penghasilan filem Cicak Man khasnya dalam penggunaan teknologi 3D, ia meniup semangat buat produksi yang lain.
Mungkin kemajuan filem fiksyen sains kita masih tidak setanding dengan yang dikeluarkan oleh Hollywood seperti Star Wars, The Matrix dan The Final Fantasy tetapi rasanya dengan siapnya projek E-Village mungkin menjadi pemangkin matlamat tersebut. Siapa tahu dengan kecanggihan yang ada pada E-Village tersebut mampu menarik pembikin filem luar negara ke negara ini.
Mungkinkah dengan membaca novel berkisahkan seram boleh memberi impak psikologi kepada kehidupan pembaca. Apa pandangan anda?
Tidak dinafikan cerita berunsur seram ini mampu membangkitkan atau merangsang minda kita dengan perasaan takut atau gerun kepada kelompok masyarakat tertentu. Dengan gaya penceritaan penuh misteri dan ditambah elemen kejam atau psiko, perasaan takut semestinya membayangi jiwa pembaca. Bagi saya, cerita atau bahan bacaan sebegini membuatkan kita lebih teruja untuk mengetahui kesinambungan setiap plot cerita yang menarik itu.
Apa yang membimbangkan saya adalah sekiranya seseorang pembaca obses dengan cerita tersebut lalu mencari tempat dan peluang untuk mencuba sendiri perlakuan yang diceritakan bagi membuktikan kesahihannya.
Pada pandangan anda, sejauh mana perkembangan teknologi maklumat memberi kesannya kepada remaja khasnya pelajar?
Pendedahan terhadap teknologi maklumat membolehkan remaja yang sebahagian besarnya pelajar mendapat pelbagai maklumat.
|
|
Sama ada ia berunsur sains dan teknologi, geografi, falsafah semuanya membantu dalam merangsang pemikiran intelek dan potensi diri mereka. Malah dalam konteks pembelajaran di sesetengah sekolah bistari, ia menjadi alat bantuan pengajaran seharian.
Cuma jangan apabila akses maklumat tanpa sempadan itu membuatkan sesetengah pelajar mula menunjukkan perilaku yang tidak baik.
Sesetengah pelajar merasakan bahawa mereka lebih pandai dan tahu tentang semua perkara melebihi guru atau pensyarah. Ini hanya mewujudkan perasaan ego dan tidak menghormati golongan pendidik itu.
Kita perlu tahu dalam proses pembelajaran perlu ada golongan yang mengajar dan belajar. Tambahan tugas mereka bukan sahaja mendidik malah membimbing kita dari pelbagai aspek demi mencapai kejayaan pada masa depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: