SEBAHAGIAN wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan rumah urut di sekitar Putrajaya.
PUTRAJAYA: Pasukan Penguat Kuasa Jabatan Imigresen ibu pejabat di sini membongkar kegiatan tiga rumah urut ‘macam-macam ada’ yang menggunakan gadis warga asing untuk melayan pelanggan masing-masing termasuk memberi khidmat urutan khas ‘badan ke badan’ dalam Ops Sayang di sekitar ibu kota yang berakhir jam 8 malam kelmarin. Selain urutan biasa, tiga rumah urut di Damansara, Danau Desa dan Hartamas juga menyediakan khidmat urutan batin dan pelacuran. Ketua Unit Tindakan Imigresen Putrajaya, Mohd Azmi Mohd Isa, berkata seramai 21 wanita warga asing ditahan dalam operasi bermula jam 5 petang itu yang bekerja sebagai tukang urut di premis terbabit.
Wanita berusia antara 20 hingga 30 tahun itu masing-masing 11 dari China, lima dari Thailand, dua dari Vietnam dan masing-masing seorang dari Indonesia, Filipina dan Laos.
Imigresen turut menahan tiga lelaki tempatan yang menjadi pengusaha kepada pusat urut berkenaan.
Ketika serbuan, seorang daripada wanita terbabit didapati sedang leka melayan pelanggan dengan memberi khidmat ‘urutan badan ke badan’ dalam keadaan kedua-duanya berbogel di sebuah premis. Urutan jenis ini memerlukan tukang urut wanita menggesel badannya ke badan pelanggan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pengusaha premis urut terbabit mengenakan caj RM150 hingga RM200 bagi satu sesi ‘urutan badan ke badan’ dan tambahan RM50 bagi perkhidmatan tambahan termasuk seks.
Katanya, pihaknya turut menemui sejumlah kondom belum digunakan, minyak urut, ubat rangsangan seks dan buku catatan pelanggan di tiga premis terbabit yang dirampas sebagai bukti.
Semua warga asing terbabit dibawa ke ibu pejabat Imigresen di sini untuk diambil keterangan sebelum dikenakan tindakan lanjut.
“Ketiga-tiga lelaki tempatan yang ditahan dipercayai menggunakan wanita warga asing untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral dengan berselindung di sebalik perniagaan mengurut,” katanya.
Beliau berkata, operasi yang disertai 20 anggota imigresen itu dilancarkan berikutan aduan orang ramai mengenai kegiatan tidak bermoral di premis yang membabitkan warga asing.
“Sebahagian daripada wanita warga asing itu dipercayai menyalahgunakan pas lawatan sosial ke negara ini untuk bekerja sebagai tukang urut dan masuk secara haram,” katanya.
Azmi berkata, hasil pemeriksaan, seorang wanita warga Thailand yang ditahan di Hartamas melakukan kesalahan kali kedua, menyebabkan dia akan didakwa dan disenarai hitam daripada memasuki negara ini selepas ini.
Beliau berkata, imigresen akan terus meningkatkan usaha membanteras kebanjiran warga asing dan perbuatan tidak bermoral yang dijalankan di negara ini.
Sementara itu, katanya, pada jam 2 petang kelmarin, sepasukan pegawai imigresen ibu pejabat Putrajaya turut melakukan ‘Ops Mahir’ di Taman Industri Selaman, Bangi dan menahan 27 lelaki warga asing pekerja kilang terdiri dari warga Bangladesh, Myanmar dan Pakistan.
Dalam operasi yang dilakukan di sebuah kilang kosmetik itu, pihak imigresen turut menahan dua majikan warga tempatan bagi menjalankan siasatan.
Semua warga asing yang ditahan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 61C akta sama, manakala pemilik premis pula boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 56(1)(d) dan 55 (b) Akta Imigresen kerana memberi perlindungan kepada warga asing terbabit.
Warga asing yang ditahan itu ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dibicarakan di mahkamah.
Edisi Sentral pada Selasa lalu mendedahkan mengenai kewujudan pusat urut kesihatan yang beroperasi di sepanjang Jalan Bukit Bintang dan Jalan Alor yang didapati bukan saja menawarkan urut biasa tetapi ‘urutan istimewa’ menggunakan wanita cantik dan seksi sebagai umpan.
Pusat urut terbabit hampir semuanya menggunakan wanita warga asing sebagai tukang urut terutama dari China.
Puluhan tukang urut wanita yang kebanyakan pekerja asing terutama gadis muda dari China berpakaian seksi didapati memujuk orang ramai yang lalu lalang di kawasan itu dengan menunjukkan menu perkhidmatan dengan tawaran refleksologi serendah RM25 untuk setengah jam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: