MISLINA bawakan watak Zaiton Sameon.
PADA 15 Jun lalu, filem Zaiton: Ceritaku terbitan Bruang Filem Sdn Bhd memulakan penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Kalumpung, Perak. Lima hari sebelum penggambaran dimulakan, satu majlis doa selamat diadakan di pejabat Les Copaque, memohon supaya penggambaran selama 25 hari itu berjalan lancar.
Tugas berat tergalas di bahu pengarahnya Fauziah Nawi untuk merealisasikan hasrat penerbit, Ainon Ariff. Yang membimbangkan aktres hebat ini bukan soal kemampuannya untuk mengarah, tetapi mampukah filem biografi Zaiton: Ceritaku menarik orang ramai untuk ke pawagam? Paling tidak pun menampung kembali modal yang dikeluarkan. Fauziah awal-awal lagi sudah memberitahu Ainon risiko mengeluarkan filem yang sarat dengan adegan air mata dari awal hingga ke akhir cerita. Bagaimanapun, Ainon nekad dengan keputusannya untuk mengenang Zaiton Sameon, selagi hayat penyanyi itu masih lagi dikandung badan. “Saya tidak bimbangkan cabaran mengarah drama dengan filem. Bagi saya filem dan drama kedua-duanya tidak ada beza, cuma satu dalam skala kecil dan satu lagi besar. Saya cuma bimbangkan penerimaan masyarakat. Selera orang Malaysia agak sukar untuk diduga.
“Walau apapun, hanya satu saja yang saya doakan supaya filem ini diterima ramai. Agar penerbit dapat cari makan lagi selepas ini dan boleh buat filem lain. Saya takut filem ini menemui kegagalan kerana saya kasihankan penerbit.
“Pasal itu apabila anak Ainon datang kepada saya, minta saya mengarah, saya terkejut dan tak percaya. Saya ingatkan mereka main-main. Saya tanya juga kepada Ainon kenapa nak buat filem sebegini kerana zaman sekarang filem genre seperti ini selalunya tak laku.
“Tapi Ainon berkeras nak buat juga, sebagai pengarah saya akan cuba merealisasikan hasrat Ainon walaupun saya sendiri sebenarnya sudah agak lama tak mengarah,” katanya yang pernah mengarahkan beberapa buah drama seperti Tangan Bapa yang pernah dilakonkan Jalil Hamid, Fahrin Ahmad, Liyana Jasmay, Jasmin Hamid dan ramai lagi.
Mendedahkan kenapa sekian lama tidak mengarah, Fauziah yang turut dikenali sebagai pengarah teater lebih senang berlakon. Alasannya bajet menghasilkan drama kini bukan calang-calang, jadi lebih baik dia bergelar pelakon saja.
Walaupun sekian lama tidak mengarah, Fauziah tidak akan mempersia-siakan tanggungjawabnya itu. Bagaimanapun, berkomunikasi bersama penyanyi Menaruh Harapan itu selepas terbabit dengan kemalangan pada 1990 bukan mudah. Ia agak mencabar kerana apa yang diperkatakan penyanyi itu sering bertukar-tukar menyebabkan mereka terpaksa membuat andaian sendiri untuk menghasilkan filem itu.
“Nak buat filem Zaiton bukan mudah sebab kita tidak tahu sejauh mana kebenarannya. Walaupun dia ingat-ingat lupa tetapi ada juga fakta Zaiton yang boleh dipakai, contohnya dia masih ingat bila tarikh dia terbabit dengan kemalangan.
“Bila berjumpa dengannya macam-macam perasaan yang timbul. Ada ketikanya kita simpati, kadang-kala kita rasa marah sebab sikapnya. Tapi kita tak boleh nak salahkan dia seratus peratus kerana dia bukannya sihat, rasanya ada kalanya dia tak sedar apa yang dia buat,” kata Fauziah.
Tugas berat buat Mislina
FILEM Zaiton Ceritaku yang menelan kos sebanyak RM 1.2 juta dianggap oleh pendukung watak utamanya Mislina Mustafaar, 39, sebagai peluang yang baik untuk kerjaya seni.
Mungkin selepas ini, masyarakat akan lebih mengenalinya kerana sebelum ini dia lebih banyak terbabit di dalam teater dan filem bebas. Sepanjang berkecimpung dalam dunia lakonan inilah kali pertama dia diberi kepercayaan membawakan watak utama.
“Belum apa-apa lagi, ramai yang berkata mereka sudah tak sabar nak menonton filem ini. Bagi saya itu satu perkembangan yang baik, dan ia adil untuk Zaiton.
“Bagi saya pula, saya anggap peluang ini sesuatu yang baik untuk kerjaya saya. Sepanjang terbabit dalam dunia lakonan, orang tidak begitu mengenali siapa saya.
“Kalau boleh saya mahu bertahan lama dalam industri ini, sebab itu saya banyak buat perkara yang dapat meningkatkan lagi skil lakonan saya. Antaranya menyambung pengajian dalam bidang seni ke peringkat Sarjana, dan banyak lagi kelas yang saya hadir sebelum ini untuk memantapkan lakonan saya,” katanya yang mengakui membawakan watak Zaiton adalah tugas berat.
Katanya, dia berhasrat untuk mendekati wanita itu tetapi keadaan kesihatan Zaiton menyebabkan Mislina sukar untuk mendekatinya. Bagaimanapun, bagi menghayati watak Zaiton, dia hanya memerhatikan karakter penyanyi itu seperti cara pertuturannya.
“Zaiton adalah satu watak yang rumit, tak mudah nak bawa watak dia. Waktu mudanya saya kurang pasti tetapi apabila perlu membawakan watak mental, ia satu cabaran buat saya,” kata Mislina yang sebelum ini pernah membintangi filem Talentime dan Karaoke.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: