Monday, June 7, 2010

Sukarelawan Malaysia Cadang Bukukan Pengalaman Misi Gaza

PULAU PINANG: Sukarelawan Malaysia ke Gaza yang menaiki kapal "Mavi Marmara" bercadang menghasilkan buku mengenai pengalaman mereka sepanjang perjalanan dan semasa ditahan tentera Israel.

Seorang daripada mereka, Alhami Hussain Suhaimi, 50, dari Bayan Lepas di sini, berkata mereka berharap dapat menceritakan detik pahit manis sepanjang perjalanan untuk dikongsi dengan semua rakyat Malaysia.

Sukarelawan Malaysia ke Gaza Alhami Hussain Suhaimi, 50, (kanan) memerhatikan kad manila yang tertera "Selamat Pulang Wira" yang dipegang oleh ayahnya, Suhaimi Hussein, 74, semasa menyambut beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang, hari ini.

"Pada permulaan perjalanan lagi kami telah bercadang untuk menghasilkan buku. Selepas kapal kami ditawan oleh Israel, semangat untuk membukukan pengalaman itu semakin berkobar- kobar.

"Kami hendak berkongsi dengan semua orang terutama rakyat Malaysia apa yang berlaku terutama semasa di atas "Mavi Marmara" dan dalam tahanan Israel," katanya kepada pemberita selepas disambut oleh 100 orang di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di sini setibanya dari Kuala Lumpur hari ini.

Pada 5.40 pagi semalam, beliau dan 11 sukarelawan yang lain termasuk dua petugas stesen televisyen tempatan, Astro Awani, selamat pulang ke tanah air setelah ditahan oleh tentera Israel yang menyerang kapal berkenaan pada Isnin lepas. Mereka dibebaskan oleh Israel pada Rabu.

Alhami bersalaman dengan kanak-kanak setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di Pulau Pinang, hari ini.

Alhami, anggota exco badan bukan kerajaan Himpunan Lepasan Institut Pengajian Tinggi (HALUAN) dan bertugas di bahagian agama Jabatan PelajaranNegeri Pulau Pinang, berkata buku itu akan diterbitkan secepat mungkin.

Beliau berkata pengalaman ditahan tentera Israel tidak melemahkan semangatnya dan sentiasa bersedia untuk menyertai konvoi misi bantuan kemanusiaan lagi.

"Saya tidak menganggap pengalaman itu adalah pahit malah ia sesuatu yang manis dan pasti tidak akan dilupakan sampai bila-bila," katanya.

Alhami (tengah) ditemani oleh ayahnya Suhaimi Hussein, 74, dan ibunya Mafuzah Esa, 68, setibanya beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas.

Beliau bersyukur dapat pulang ke kampung halaman dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang banyak membantu mmembebaskan mereka.

Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Alhami berkata buat masa ini beliau hanya ingin meluangkan masa bersama-sama isteri Rahimah Abdullah, 41 dan keluarganya.

Ibu beliau, Mahfudzoh Mt Isa,68, berkata bahawa semasa mengetahui kapal yang membawa Alhami ditawan tentera Israel, beliau sentiasa berdoa agar anaknya itu selamat.

"Mak cik sangat berharap Alhami pulang dengan selamat dan setiap hari kami melakukan solat hajat agar dia dan rakan-rakannya dibebaskan segera," katanya.

1 comment:

  1. Malaysians should be proud of the courage shown by them.
    View Profile: What is a big Deal?.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: