BAITULMAQDIS – Sebanyak 19 orang terbunuh kebanyakannya rakyat Turki manakala berpuluh-puluh yang lain cedera selepas anggota-anggota komando Israel menyerbu enam buah kapal yang membawa beratus-ratus aktivis pro-Palestin yang sedang dalam misi menghantar bantuan termasuk dari Malaysia kepada penduduk Palestin di Genting Gaza semalam.
Operasi ketenteraan di perairan antarabangsa dekat dengan pesisir pantai Gaza itu bukan sahaja bertukar menjadi mimpi ngeri bagi Israel berikutan ia menjejaskan reputasi negara berkenaan di kaca mata masyarakat antarabangsa, bahkan ia memburukkan lagi hubungan tegang negara itu dengan dengan sekutunya, Turki serta membuka mata dunia terhadap penderitaan penduduk Gaza.
Kedua-dua belah pihak memberi kenyataan bercanggah berhubung apa yang berlaku pada hari kejadian.
Seorang wartawan di dalam salah sebuah kapal misi bantuan itu berkata, anggota-anggota komando Israel melepaskan tembakan sebelum menaiki kapal mereka tetapi pihak Israel memberi alasan kononnya mereka hanya melepaskan tembakan setelah diserang aktivis-aktivis berkenaan dengan menggunakan kayu, pisau dan senjata api.
Ketika kejadian, aktivis-aktivis itu sedang menuju ke Gaza bagi mengalih perhatian dunia terhadap sekatan laut selama tiga tahun yang dikuatkuasakan Israel selepas Hamas mengambil alih kuasa di wilayah berkenaan.
“Sungguh menjijikkan kerana mereka (pasukan komando Israel) menceroboh kapal dan menyerang orang awam. Kami adalah orang awam,” kata jurucakap Gerakan Membebaskan Gaza, Greta Berlin, yang menganjurkan misi armada bantuan tersebut.
Bercakap dari pulau Cyprus di timur luat Mediterranean, wanita itu berkata, dia terputus hubungan dengan armada kecil itu ada pukul 3.30 pagi waktu tempatan.
Israel sebelum ini mengisytiharkan untuk tidak membenarkan kapal-kapal itu sampai ke Gaza.
Menurut seorang aktivis Palestin di Greece yang terbabit dalam misi bantuan tersebut, pasukan komando Israel menyerbu semasa bot dan sebuah kapal itu berada di perairan antarabangsa setelah mengarahkan misi berkenaan berhenti kira-kira 130 kilometer dari perairan Gaza.
Sebuah laman web Turki menunjukkan rakaman video keadaan huru-hara di atas kapal itu dengan aktivis-aktivis memakai jaket keselamatan berlari-lari di dalam kapal manakala sesetengahnya cuba membantu seorang rakan mereka yang tidak sedarkan diri di atas dek.
Laman web berkenaan turut menunjukkan sebuah helikopter Israel sedang berlegar di atas kapal itu dan beberapa kapal perang Israel yang berada berdekatan.
Kapal-kapal misi bantuan itu kemudian ditunda ke pelabuhan Ashdod di Israel manakala mangsa-mangsa cedera dibawa keluar dengan helikopter bagi menerima rawatan di hospital-hospital Israel.
Setakat ini, tiada maklumat mengenai identiti mangsa yang terbunuh atau cedera mahupun keadaan beberapa individu berprofil tinggi di atas kapal-kapal tersebut termasuk pemenang Hadiah Nobel Keamanan 1976, Mairead Corrigan Maguire dari Ireland Utara, beberapa wakil rakyat Eropah dan mangsa yang terselamat dalam kejadian pembunuhan besar-besaran kaum Yahudi oleh tentera Nazi, Hedy Epstein, 85.
Semua telefon satelit di atas kapal-kapal itu dimatikan dan komunikasi dengan sekumpulan kecil wartawan yang menyertai tentera Israel turut disekat.
Gerakan Membebaskan Gaza adalah sebuah pertubuhan antarabangsa yang mendakwa sekatan terhadap Gaza tidak adil dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: