Monday, June 7, 2010

Hanif tenggelam dalam Star Wars


Hanif, 34, tidak bercadang meninggalkan dunia kostum fiksyen.


KATA orang, kalau sudah minat terhadap sesuatu, seseorang itu sanggup berbuat apa sahaja. Tidak kisahlah jika hobi itu dikategorikan sebagai mahal atau sebaliknya. Apa yang penting berasa puas lantaran dapat memenuhi kegemaran yang tidak boleh ditahan-tahan.

Bagi Muhamad Hanif Hosainel Majidi, 34, dunianya dikelilingi kostum karakter-karakter filem sains fiksyen yang diminati terutama karakter filem arahan pengarah Hollywood terkenal Steven Spielberg, Star Wars.

Bukan sekadar meminati, tetapi, jejaka yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu turut menggaya dan menghasilkan sendiri setiap kostum yang ada dalam simpanannya.

Mula berjinak-jinak menghasilkan kostum ketika berusia 15 tahun menerusi karakter Super Force, Hanif tidak membataskan minatnya. Ia dikembangkang kepada rekaan kostum satria, samurai, Cyborg dan Predator.

Cintanya terhadap dunia fiksyen Star Wars mula mekar sekitar 2007 menerusi karakter Imperial Royal Guard. Beliau kemudian beralih cinta kepada karakter Mandalorian Mercs, askar upahan dalam filem epik peperangan galaksi tersebut.

‘Bertukar’ sebagai Boba Fett dan bernaung di bawah Kelab Kostum Mandalorian Mercs yang bertapak di California Utara ternyata memberikan Hanif sejuta kepuasan apabila beliau menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records pada 2008.

Anugerah itu dinobatkan kerana beliau merupakan rakyat Malaysia pertama yang menjadi ahli rasmi organisasi kostum Star Wars antarabangsa.

“Filem Star Wars memberi makna yang tersendiri buat saya, mungkin orang lain tidak faham mengapa saya memilih karakter Boba Fett sedangkan watak seperti Jedi, Darth Vader atau Luke Skywalker lebih popular.

“Namun ada sebab mengapa saya tertarik dengan watak ini. Selain kostumnya yang mudah direka mengikut kreativiti sendiri, Boba Fett juga berkongsi kisah hidup yang sama dengan saya tetapi terlalu peribadi untuk diceritakan, ” jelasnya.

Ditanya kos bagi menghasilkan sesuatu kostum, Hanif yang mesra disapa Red berkata, ia boleh mencecah sehingga ribuan ringgit bergantung kepada material yang digunakan.

“Setakat ini kostum Boba Fett adalah koleksi termahal yang saya miliki iaitu RM4,000 sepasang.

“Pun begitu saya pernah dibayar RM10,000 oleh seorang peminat karakter popular komik Marvel, Iron Man untuk kostum superhero itu,’’ katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Biologi Akuatik Universiti Sains Malaysia (USM) itu memberitahu, beliau telah menghasilkan sebanyak 100 pasang kostum. Sebanyak 30 pasang adalah koleksi peribadi.

Menjadikan hobi sebagai kerjaya sepenuh masa, Hanif mengakui tidak kesal meninggalkan pekerjaannya sebelum ini demi bergelar pereka kostum.

“Apa yang saya lakukan semuanya demi kepuasan diri, tambahan pula menjadi seorang penggaya kostum (cosplayer) memberi peluang untuk kita berinteraksi dan mendekatkan jurang dengan orang ramai,” katanya.

Bagi mereka yang ingin berkongsi minat dan mengenali Hanif, layari laman web www.facebook/jebatclan atau red@mandoarts.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: