MAKAN bola, tidur bola satu ungkapan yang tepat buat dua aktor muda Fizo Omar dan Farish Aziz. Kedua-duanya boleh dikatakan hantu bola dan amat meminati sukan tersebut memandangkan mereka berdua pernah bergelar pemain bola profesional sebelum masing-masing bertukar karier sebagai pelakon.
Sama seperti peminat bola sepak yang lain, deman bola Piala Dunia 2010 yang melanda seluruh dunia menjelang 11 Jun ini turut dirasai oleh mereka berdua.
Namun apa yang lebih manis, tahun ini mereka dapat mengabdikan diri bersama sukan bola sepak dalam sebuah drama berjudul Jersi 9.
Menurut Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, menjadi pelakon utama dalam drama Jersi 9 merupakan satu pengalaman indah yang tidak dapat dilupakan, sementelah dia sudah lama mengidamkan watak seorang pemain bola sepak sejak mula aktif dalam bidang lakonan.
"Saya memang suka bola. Ini drama pertama saya tentang bola sepak. Jadi bila ditawarkan untuk berlakon dalam drama yang berkait dengan dunia bola sepak, saya tidak berfikir panjang dan terus setuju.
"Perasaan saya setiap kali tiba di set penggambaran terutama di padang bola juga berbeza dengan penggambaran lain yang pernah saya lakukan. Keterujaan itu terlebih daripada biasa kerana saya tidak sabar-sabar untuk main bola sepak setiap kali penggambaran diadakan," ujar pemegang Diploma Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis itu lagi.
Tambah anak kelahiran Kelantan itu, pengalaman bergelar pemain bola profesional suatu ketika dulu memberi kelebihan kepadanya untuk membawa watak Mokhtar dengan lebih semula jadi dan memudahkan penggambaran drama Jersi 9 yang berlangsung selama sebulan sekitar Mac dan April lepas.
"Tidak ada jurulatih profesional diimport khas untuk drama ini, semuanya menggunakan buah fikiran krew, pengarah dan kami sebagai pelakon.
"Malah, pengarah pun banyak bertanyakan pendapat saya dan Farish berkenaan dengan skil dalam sukan bola sepak," ungkap jejaka berusia 25 tahun itu.
Wakil Malaysia
|
|
Menurut Fizo lagi, Jersi 9 sungguh dekat dengan jiwanya kerana jalan ceritanya mirip kehidupan lampaunya sebagai pemain bola sepak yang berasal dari kampung dan memburu kejayaan di padang bola.
"Saya rasa drama ini begitu dekat dengan saya, satu ia tentang bola dan kedua, secara kebetulan jalan ceritanya ada kaitan dengan diri saya sendiri seperti berasal dari kampung, kemudian masuk akademi bola dan seterusnya bergelar pemain profesional," jelasnya.
Walaupun tiada tekanan semasa penggambaran berlangsung, Fizo telah mengalami kecederaan pada bahagian bahunya akibat tersalah jatuh ketika melakukan salah satu aksi jaringan gol, selain kulitnya menjadi hitam legam kerana berjemur di tengah panas.
"Saya cedera di bahu dan ia agak teruk juga. Saya terpaksa dibawa ke klinik dan pada hari yang sama saya teruskan juga penggambaran tetapi tiada lagi aksi lagak ngeri.
"Sehingga ke hari ini bahu saya masih sengal-sengal dan kena diurut jika tidak saya akan berasa sakit.
"Dalam drama ini saya bukan pemain bola sepak biasa, kira hero yang mempunyai kuasa luar biasa. Justeru, bagi menggambarkan kuasa saya itu, pengarah dan penerbit memutuskan untuk menggunakan teknik janaan komputer (CGI)," katanya.
Fizo pernah mewakili Kelantan ketika berusia 12 hingga 20 tahun, mewakili negara untuk Piala Nike di Korea Selatan serta menjadi pemain untuk UiTM Perlis bagi pertandingan peringkat universiti,.
|
|
Dia juga sempat mewakili negeri Perlis ketika berusia 20 hingga 22 tahun untuk Sukma dan Liga Super dan terakhir Fizo mewakili pasukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada tahun 2007 sebelum memberi fokus kepada bidang lakonan.
Disoal mengapa dia berhenti menjadi pemain bola sepak profesional sedangkan profilnya dalam bidang bola sepak tidaklah mengecewakan, Fizo menjelaskan dia tidak boleh melakukan dua kerja dalam satu-satu masa.
"Saya anggap sudah rezeki saya dalam bidang lakonan yang pada mulanya sekadar mencuba kerana saya minat, kemudian melihat saya boleh pergi jauh. Jadi apa salahnya saya mencuba.
"Sungguhpun begitu, itu tidak bermakna saya tinggalkan terus dunia bola sepak, saya masih bermain bola sepak tetapi cuma pada waktu lapang dan hanya untuk keluar peluh sahaja bukannya bermain untuk masuk liga profesional," ujarnya yang masih berhubung rapat dengan rakan-rakan bola sepaknya.
Fizo yang menjadi penyerang dan pemain tengah ketika aktif dahulu memberitahu, negara Sepanyol menjadi pilihannya dalam kejohanan Piala Dunia 2010 yang bermula esok.
"Sepanjang Piala Dunia berlangsung, saya pasti akan luangkan masa untuk tonton perlawanan walaupun saya sedang sibuk dengan penggambaran filem pertama yang berjudul Kongsi," jelasnya yang sebelum ini pernah muncul dengan watak cameo dalam filem Andartu Terlampau, 30 Hari Mencari Suami.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: