Friday, June 11, 2010

Tarikan baru Halaqah TV9


MENUSUK ke kalbu penonton. Dr. Harussani (empat dari kanan) bersama karyawan Halaqah musim kedua pada sesi rakaman episod kedua yang berjudul Pohon Hidup.


SELEPAS kejayaan Halaqah musim pertama dengan tema Akar Tradisi Ilmu, kini Halaqah musim baru kembali dengan tema berbeza iaitu Halaqah Sentuhan Qalbu.

Tema Sentuhan Qalbu dikira bertepatan dengan misi dan harapan program tersebut yang bukan sahaja ingin menyedarkan bahkan terus mengusik hati penonton.

Menurut penerbit yang juga pengacara program tersebut, Ahmad Noor Sulaiman, biasanya program berbentuk kerohanian lebih kepada syarahan dan ia terus dilupakan sebaik sahaja program itu bearakhir.

Namun, Halaqah cuba tampil dengan idea yang berbeza iaitu mengundang seorang pendakwah dan tokoh agama berpengalaman serta seorang jurulatih kecerdasan, emosi dan spiritual daripada ESQ Leadership Center (ESQ).

"Kami memilih untuk bekerjasama dengan ESQ supaya penyampaian mesej lebih jelas terutama buat golongan muda.

"Sebelum kami mengambil keputusan untuk menjemput mereka dalam Halaqah, kami terlebih dahulu mengenali apa itu ESQ dan alhamdulillah nampaknya pendekatan yang digunakan oleh ESQ sangat berbeza serta mampu menarik minat semua peringkat usia," jelasnya.

Program 13 episod yang bakal disiarkan setiap Selasa bermula 15 Jun di TV9 itu kini menjalani rakaman di Studio 1 ntv7 di Glenmarie, Shah Alam dan menampilkan 100 orang tetamu. Mereka juga terlibat dalam sesi soal jawab bersama ahli panel.

Ketika Kosmo! berkunjung ke Studio 1 baru-baru ini, pihak produksi sedang menjalani rakaman episod kedua yang berjudul Pohon Hidup dengan ahli panelnya, Mufti Negeri Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria.

Suasana yang tenang tiba-tiba bertukar sebak apabila ahli panel itu mengalirkan air mata ketika menyampaikan hujahnya.

Harussani yang berpengalaman selama 20 tahun dalam memberi ceramah dan dakwah memberitahu, program seumpama itu wajar diubah mengikut perkembangan semasa, jika tidak ia tidak lagi menarik minat penonton.

"Saya boleh dikatakan antara penceramah terawal di Malaysia dan saya pernah muncul dalam kebanyakan program bercorak agama.

"Bagi saya, program Halaqah sedang melalui satu revolusi dan ia bagus untuk penonton. Program televisyen sama seperti makanan, jika disogok dengan makanan yang sama setiap hari untuk satu tempoh yang agak lama, orang akan bosan," ujarnya.

Tambahnya, gabungan Halaqah bersama ESQ adalah satu kerjasama yang baik memandangkan beliau sendiri pernah menghadiri kursus yang dianjurkan oleh ESQ.

"Pengalaman saya selama 20 tahun sebagai penceramah rasa terbuang begitu sahaja apabila saya hadiri kursus ESQ. Selama ini saya tidak pernah melihat semua penonton menangis dan saya tersedar sebegitu termasuk saya sendiri.

"Saya soal diri balik, kenapa saya tidak seperti itu dulu dan bermacam-macam lagi yang berlegar dalam fikiran sehingga membuatkan saya menangis. Saya rasa ESQ mampu menyumbang sesuatu dalam program ini," tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: