Friday, June 18, 2010

Dudus, Robin Hood Jamaica?




"JESUS mati untuk kami dan kami akan mati untuk Dudus." Kata-kata semangat itu tertera lantang pada sepanduk-sepanduk yang dibawa oleh sekumpulan penyokong Dudus di satu jalan di Kota Kingston, Jamaica.

Letusan emosi dalam perarakan hari itu bukan satu demonstrasi membuta tuli. Tetapi protes jalanan itu tercetus akibat pemburuan besar-besaran ke atas penjenayah paling dikehendaki, Christopher 'Dudus' Coke (Dudus) oleh pasukan keselamatan Jamaica.

Satu waran tangkap telah dikeluarkan untuk Dudus yang didakwa mengetuai sebuah kumpulan pengedar dadah di negara itu. Lebih penting, Dudus dikehendaki hidup-hidup oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) kerana lelaki itu dipercayai dalang utama di sebalik penyeludupan bekalan senjata api dan dadah di serata Caribbean, Amerika Utara dan United Kingdom.

"Adalah sangat penting untuk Dudus diberkas hidup-hidup. Saya tidak mahu dia mati dalam operasi buruan ini.

"Dudus harus dibicarakan dan jika benar dia bersalah, saya mahu dia dihukum," kata Owen Ellington, seorang Pesuruhjaya Polis kepada sekumpulan wartawan dan pengarang di pejabatnya di St. Andrew, Jamaica baru-baru ini.

Menurut Ellington, tindakan itu mustahak kerana Dudus dan para penyokongnya sedar bahawa tiada pesalah yang boleh terlepas daripada hukuman undang-undang.

Sebagai ketua kumpulan gengster, Shower Posse, lelaki berusia 41 tahun itu dikatakan bijak memanipulasi wanita untuk menyeludup kokain di dalam tubuh mereka ke kota New York. Sebagai balasan, dia memperoleh wang dan senjata api untuk agenda barunya.

Bagi kerajaan AS, Dudus tidak lebih daripada seorang penjenayah jahat. Justeru, operasi buruan yang bermula dari Tivoli Gardens, Jamaica berterusan sehingga ke dua lokasi lain iaitu kediaman Dudus di Plantation Heights, St. Andrew dan Greater Portmore di St. Catherine.

Hakikatnya, kira-kira dua dekad yang lalu, raja dadah paling ditakuti di Jamaica itu pernah jatuh dalam genggaman kerajaan AS. Pada tahun 1988, pemilik nama Michael Christopher Coke itu dituduh kerana memiliki hartanah curi di Carolina Utara. Terlepas daripada hukuman penjara, Dudus sebaliknya diusir semula ke negara asalnya, Jamaica.


SEORANG anggota tentera membuat rondaan pemeriksaan di sekitar Kingston.


Di negara yang memiliki populasi berjumlah 2.8 juta orang itu, kehadirannya seakan-akan diterima baik. Lebih-lebih lagi di sekitar kawasan kediamannya di Tivoli Gardens, Dudus dipuja oleh penduduk di situ.

Wira di mata rakyat

Populariti lelaki itu bertitik-tolak daripada sifat murah hatinya menghulurkan bantuan kepada golongan penduduk miskin. Duit disalurkan bagi membolehkan kanak-kanak menerima pendidikan, manakala orang dewasa pula berpeluang meneruskan kehidupan seperti biasa.

Selain memenuhi keperluan material dan fizikal golongan serba daif, Dudus juga berusaha memastikan kelompok masyarakatnya itu dilindungi. Lalu, satu perintah berkurung dikuatkuasakan olehnya bermula dari pukul 8 malam. Kanak-kanak dilarang keluar rumah dan hasilnya, Tivoli Gardens dikatakan hampir bebas sepenuhnya daripada kes-kes kecurian.

Jasa Dudus itu secara tidak langsung mengangkatnya sebagai wira dalam kalangan masyarakat. Malah, ada yang menyifatkannya Robin Hood versi Jamaica.

"Dia tinggal di kawasan miskin dan disebabkan penjualan kokain, namun dia tidak pernah melupakan orang miskin di Jamaica. Dudus pada asasnya memainkan peranan Robin Hood," kata seorang pensyarah Universiti Miami, David Rowe yang dilahirkan di Jamaica.

Maka, tidak hairanlah serbuan pihak berkuasa di kediamannya di Kingston Barat tempoh hari 'disekat' dengan cabaran baru. Penyokong-penyokong Dudus bertindak membentuk penghadang untuk mencegah polis daripada memasuki kawasan setinggan itu.

Pertempuran jalanan tersebut mengorbankan lebih 70 orang yang majoritinya orang awam. Pasukan keselamatan terpaksa bertindak keras dalam usaha memberkas Dudus memandangkan dia gagal untuk hadir di mahkamah bagi menjalani perbicaraan tuduhan menyeludup dadah dan senjata api.

Majoriti warga Jamaica yang hidup dalam keadaan serba daif di Kingston dilihat enggan membantu kerajaan untuk menyerah semula Dudus kepada AS.

"Mereka tidak tahu siapa lagi yang akan membantu mereka jika Dudus diberkas. Akan ada ibu-ibu yang bertanya, 'Siapa yang akan memberi makanan kepada anak saya?' atau 'Kalau saya sakit, siapa yang akan bayar bil hospital saya?' terang Rowe. Pendek kata, bagi khalayak pertengahan dan miskin, Dudus diagung-agungkan sebagai Raja Segala Kebaikan.


ADAKAH berbaloi penduduk-penduduk ini untuk terus mempertahankan hero mereka itu?


Dudus yang tersenarai antara 13 ahli kumpulan gengster paling dikehendaki polis sebenarnya adalah anak kepada bekas raja dadah tahun 80-an, Lester Lloyd Coke. Selain Dudus, abangnya, Laighton Coke yang popular dengan gelaran Livity turut diburu.

Lloyd Coke merupakan pemimpin Shower Posse sering menembak musuh dan orang awam secara bertubi-tubi. Pada tahun 1992, dia terkorban apabila sel penjaranya tiba-tiba terbakar.

Menurut pihak berkuasa AS, Dudus mengikut jejak bapanya dalam arena penyeludupan dadah. Malah, dia dipercayai menjadi pengemudi Shower Posse sejak kematian bapanya.

Berselindung sebagai usahawan

Di sebalik kegiatan jenayah yang dilakukan, lelaki ini sebenarnya seorang yang gemar berada di belakang tabir. Dua perniagaan utamanya, Incomparable Enterprise dan Presidential Click dikatakan sangat berjaya.

Bekas peguam bela Dudus, Tom Tavares Finson pernah berkata, Dudus seorang peniaga yang rajin.

Satu laporan yang dipetik daripada Jamaica Gleaner mendedahkan, Incomparable Enterprise telah menerima keuntungan berjuta-juta dalam projek kontrak kerajaan negeri. Syarikat Presidential Click pula terus menjadi penganjur utama acara-acara muzik dan parti-parti jalanan terbesar.

Sebab itulah, Dudus turut dikaitkan dengan hubungan rapatnya bersama Perdana Menteri Jamaica, Bruce Golding yang kebetulan menjadi wakil parlimen Tivoli Gardens.

'Keakraban' hubungan antara pemimpin politik dan ketua-ketua gengster di Jamaica juga bukan perkara baru. Para penganalisis politik turut melihat adalah mustahil Golding mampu menduduki Parlimen tanpa sokongan kumpulan gengster.

Perdagangan dadah telah lama berakar umbi di Jamaica. Negara yang merupakan pengeluar marijuana terbesar di rantau itu turut terkenal dengan penganjuran rangkaian jenayah hebat.

Ini termasuk jenayah penyeludupan senjata api yang sekali gus menjadi antara sebab kadar pembunuhan tertinggi di dunia.

Apa yang pasti selain menghasilkan raja dan ratu pecut dunia serta pemuzik terkemuka yang juga dua pencapaian positif warga Jamaica, negara itu lebih menggoda dengan berita-berita sensasi sosialnya.

Gangguan psikopatik

Mengulas mengenai kes Dudus, penjenayah yang bermurah hati, pensyarah psikologi klinikal dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Azhar Md. Zain yang dihubungi Kosmo! berkata, golongan penjenayah seperti pengedar dadah biasanya adalah kelompok masyarakat dengan gangguan psikopatik.


PASUKAN tentera Jamaica terpaksa berdepan dengan sekatan orang awam dalam usaha memberkas Dudus.


Masalah mental yang dihadapi oleh pengedar dadah tegar seperti Dudus dapat dilihat menerusi kecenderungan mereka untuk tidak menurut arahan pihak berkuasa.

"Mereka ini lazimnya menganggap diri lebih berkuasa dan sebagai seorang peniaga psikopatik, golongan pengedar dadah ini tahu bila untuk menggunakan kuasa itu bagi kepentingan maksimum," jelasnya.

Malah, kelakuan negatif yang bersifat psikopatik itu dikatkan boleh dikesan sejak di bangku sekolah. Apa sahaja perkara yang dilarang oleh pihak sekolah seperti ponteng sekolah dan merokok adalah simptom awal dalam diri seorang psikopatik. Jika tidak dibendung awal, gangguan mental itu berkemungkinan besar bertambah teruk, sekali gus menjadi sebahagian daripada personaliti seseorang individu.

Menurut Azhar, hakikatnya golongan pengedar dadah bersifat psikopatik itu juga merupakan individu yang bijak. Terlalu bijak sehingga mampu meloloskan diri daripada pihak berkuasa beberapa kali. Dek sukakan cabaran, mereka ini juga sentiasa gemar mencabar kebijaksanaan dan organisasi demi kepuasan diri. Faktor kebijaksanaan golongan itu juga boleh dilihat pada kecederungan mereka untuk terlibat dalam aktiviti yang dianggap arif.

"Kalau personaliti psikopatik itu dikesan seawal usia 7 hingga 8 tahun, memang masih sempat untuk diperbetulkan. Tetapi, jika sudah lepas umur 21 tahun, ia agak sukar untuk dirawat," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: