Friday, June 18, 2010

Sesi bermain memulih trauma




RUMAH teres bercat putih itu bukan sebuah kediaman biasa yang dihuni keluarga. Premis yang terletak di berhampiran Balai Polis Petaling Jaya itu sebenarnya merupakan pejabat operasi P.S. The Children.

Sesiapa yang melangkah ke rumah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mungkin mengandaikan suasana riuh rendah kanak-kanak. Mungkin juga terbayangkan wajah-wajah comel yang menanti perhatian dan kasih sayang seperti di pusat penjagaan kanak-kanak.

Namun, semua itu tidak akan ditemui di rumah itu. Sungguhpun ruang tamu dan dua bilik di rumah pejabat itu penuh dengan potret, lukisan, alat permainan dan pelbagai buku kanak-kanak, ia tidak dihuni atau dikunjungi oleh sembarangan si kecil.

P.S. The Children yang turut dikenali sebagai Pertubuhan Pelindung dan Penyelamat Kanak-Kanak Selangor dan Kuala Lumpur itu beroperasi sebagai pusat membantu kanak-kanak mangsa penderaan seksual.

Ditubuhkan pada tahun 2001, ia menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk membantu kanak-kanak tidak bernasib baik itu mendepani pelbagai cabaran seperti gangguan tingkah laku, pos trauma, halangan perhubungan dan masalah interaksi dengan golongan dewasa.

"P.S. The Children lebih kepada tempat mendidik, memberi kesedaran dan membantu perkembangan kanak-kanak yang mengalami penderaan seksual untuk membina kehidupan semula.

"Kanak-kanak ini memerlukan bimbingan untuk membantu mereka melepaskan diri daripada trauma penderaan seksual dan memerlukan perlindungan daripada dianiaya sekali lagi," kata Pengarah Pertubuhan Pelindung dan Penyelamat Kanak-Kanak Selangor dan Kuala Lumpur, Madeleine Yong kepada Kosmo! pada pertemuan di pusat tersebut.

Wanita itu memberitahu penderaan seksual selalunya bersifat rahsia. Masyarakat umum di negara ini selalunya mengelak untuk berbincang secara terbuka tentang gejala itu yang menjadikan kanak-kanak sebagai mangsanya.


BILIK terapi kanak-kanak dipenuhi pelbagai peralatan dan barangan permainan untuk membantu sesi penilaian keadaan dan emosi mangsa.


Dipercayai penderaan seksual kanak-kanak kini semakin berlaku dalam nisbah 1:4 yang disifatkan sesuatu situasi yang membimbangkan semua pihak baik ibu bapa, guru sekolah, badan bukan kerajaan dan kerajaan. Trend mangsa yang terus menyembunyikan rahsia penderaan itu membuatkan isu ini semakin menghantui semua pihak.

Individu dipercayai

Mengapa kanak-kanak berahsia? Madeleine menjelaskan bahawa orang yang mendera secara seksual itu selalunya merupakan individu yang dipercayai dan mempunyai hubungan rapat dengan kanak-kanak tersebut. Misalnya, bapa tiri, ibu tiri, guru tuisyen, guru sekolah dan sebagainya.

Senario itu membuatkan kanak-kanak tidak berani membuka mulut tentang nasib malang mereka pada ibu bapa ataupun penjaga yang bertanggungjawab terhadap mereka. Kebiasaannya, apabila berlaku kes penderaan seksual kanak-kanak, pihak berkuasa hanya tertumpu dalam mengesan orang yang mendera.

Sebaliknya, ramai yang lupa untuk melakukan sesuatu bagi menangani trauma yang dihadapi mangsa mahupun ibu bapa mangsa.

Menangkap dan menghukum si pelaku sumbang itu langsung tidak dapat membantu meredakan kecederaan emosi yang dihadapi si kecil itu. Lebih malang, mangsa berisiko untuk terus menjadi mangsa disebabkan tiada bantuan dan sokongan diberikan untuk memulih keadaan.


WONG LAI CHENG lazim terlibat dalam penganjuran forum dan bengkel kesedaran mengenai isu penderaan seksual kanak-kanak.


Katanya, selain memberikan sokongan kepada ibu bapa dan kanak-kanak, P.S. The Children membantu menyiapkan proses laporan dan juga terapi kepada mereka. Pertubuhan berkenaan juga mendidik golongan dewasa mengenai kesedaran berhubung pesalah seksual, cara-cara melihat perubahan tingkah laku mangsa, pengurusan sikap dan pencegahan penderaan seksual dalam persekitaran mereka.

Madeleine turut menerangkan tentang terapi dan sesi kaunseling yang dijalankan di pusat itu untuk kanak-kanak dan para ibu bapa mereka. Sesi terapi itu dijalankan dengan bantuan seorang kaunselor dan ahli terapi.

Aktiviti untuk berekspresi

Semasa sesi tersebut, kanak-kanak didedahkan kepada pelbagai aktiviti menarik. Antara lain, kanak-kanak itu diajak menyertai aktiviti melukis, bermain dengan pasir dan patung terapi, mengikuti perbualan dengan boneka sarung tangan dan sebagainya.

Segala aktiviti itu sebenarnya menggalakan kanak-kanak berkenaan mengekspresi perasaan yang terpendam dalam jiwa mereka. Ia juga menjadi salah satu cara menyembuh tahap emosi akibat penderaan seksual itu. Pendedahan secara berterusan kepada aktiviti berkenaan akan membina pemikiran positif dan mengubah mereka menjadi kanak-kanak yang periang.

Terapi yang dijalankan dalam sesi persendirian dan kumpulan itu diadakan dalam sebuah bilik yang penuh ceria, selamat dan indah. Suasana seumpama itu, secara tidak langsung menggalakkan kanak-kanak tersebut meluah perasaan dan fikiran kepada ahli terapi sekali gus membantu mereka keluar daripada belenggu trauma.


SESI bermain dengan pasir adalah antara teknik yang digunakan dalam sesi pemulihan emosi.


Seorang lagi, Pengurus Latihan dan Pendidikan P.S. The Children, Wong Lai Cheng berkata sesi terapi itu diadakan seminggu sekali untuk kanak-kanak dan golongan ibu bapa dalam tempoh masa 30 hingga 45 minit ataupun 45 minit sehingga sejam.

Jelasnya, ahli terapi itu secara purata memerlukan enam hingga lapan sesi untuk menilai masalah ataupun tekanan yang dihadapi oleh kanak-kanak tersebut. Setelah tamat sesi penilaian tersebut, barulah dimulakan sesi terapi sebenar dengan sokongan padu keluarga.

Lai Cheng berharap, golongan ibu bapa tampil membawa anak-anak mereka menjalani terapi seumpama ini untuk membantu mereka meneruskan kehidupan yang lebih bermakna.

Sekumpulan pegawai P.S. The Children juga aktif mengendalikan program-program kesedaran tentang penderaan seksual kanak-kanak di pusat itu. Bengkel-bengkel dan forum berkaitan isu itu selalu diadakan sama ada di sekolah, firma korporat ataupun di lokasi tumpuan orang ramai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: