KUALA LUMPUR – Kaki judi bola sepak harus memikirkan semasak-masaknya sebelum terlibat dengan kegiatan haram tersebut sepanjang berlangsungnya kejohanan Piala Dunia Afrika Selatan 2010 yang bermula esok.
Ini kerana polis Bukit Aman telah memberi amaran bahawa pihak polis telah bersiap sedia untuk menggempur kubu dan pusat operasi sindiket judi selepas menjalankan risikan dan pemantauan sejak dua bulan lalu.
Ternyata ketegasan pihak berkuasa itu bukan sekadar omongan kosong apabila polis mendapati sekurang-kurangnya terdapat empat sindiket perjudian bola sepak secara talian tanpa lesen di negara ini telah bergiat aktif sejak beberapa tahun lalu melibatkan wang pertaruhan lebih RM1 bilion.
Apa yang membuatkan kaki judi ingin bertaruh ialah apabila sindiket berkenaan sanggup bersekongkol dengan ah long untuk memberi pinjaman wang jika kaki-kaki judi kehabisan modal.
Lebih menarik apabila sindiket itu turut mengupah pelajar-pelajar lepasan jurusan teknologi maklumat (IT) untuk menjalankan kegiatan haram itu. Sebagai balasan, mereka akan diberi habuan lumayan.
Sindiket-sindiket terbabit bukan sahaja bergiat untuk Piala Dunia malah mereka turut menawarkan pertaruhan untuk perlawanan bola sepak melibatkan liga dan perlawanan hujung minggu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, sindiket itu juga menjadikan siber kafe sebagai tempat bertaruh selain premis-premis rumah kedai.
Katanya, segala maklumat tersebut diperoleh hasil kerja keras polis memantau kegiatan tersebut sejak April lalu melalui ‘Ops Soca’ (Soccer Games) di seluruh negara.
“Apa yang mengejutkan kita ialah terdapat penglibatan beberapa individu berpengaruh bergelar Datuk yang bersama-sama membantu sindiket tersebut untuk menggalakkan perjudian.
“Polis memberi amaran tegas kepada semua bookie bola sepak bahawa polis sudah siap sedia untuk menggempur mereka habis-habisan,” tegasnya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: