SUATU masa dahulu, dia sering tertanya pada diri sama ada dia punya peluang untuk mengecap dunia yang diidam-idamkannya. Ketika mengharapkan sokongan teman-teman, lain pula yang diterimanya.
"Kawan-kawan cakap saya tidak sesuai untuk mengejar impian tersebut. Mereka kata hidung saya besar, badan terlalu kurus dan tinggi," imbas Aimee King.
Impiannya adalah untuk menongkah arus dunia peragaan. Dunia yang sebenarnya 'kejam' kerana mempunyai jangka hayat yang pendek dan terlalu menuntut seseorang untuk cantik, segak, bergaya dan tahu serba-serbi tentang cara menyerlahkan diri. Baik di media cetak, di atas pentas catwalk mahupun di majlis-majlis yang seumpamanya.
"Tetapi saya gelak sahaja dengan kata-kata orang lain. Dalam hati terdetik mahu membuktikan bahawa diri saya boleh bergelar model sehingga mampu merantau ke luar negara," tambahnya.
Walau bagaimanapun, disebabkan minat yang mendalam, Aimee yang berasal dari Amerika Syarikat (AS) tidak mudah patah semangat dan nekad mahu meneruskan kata hati untuk mencuba.
Memiliki bentuk badan langsing dan tinggi lampai merupakan tiket bagi Aimee mengembangkan lagi kerjayanya. Ternyata sekali teman-temannya silap. Dengan aset wajah dan statistik tubuh yang ideal, dia mengorak langkah mengejar peluang. Satu demi satu tugas peragaan diterimanya, dari dalam negara hinggalah namanya mula dikenali di luar sempadan negara Uncle Sam itu.
Sehingga hari ini Aimee tidak berpaling ke belakang lagi. Penglibatan di dalam dunia peragaan begitu sinonim dalam diri, hinggakan statusnya kini sebagai ibu kepada seorang cahaya mata bukan satu halangan buatnya.
Asyik bersembang dengan krew Stailo, empunya diri yang mudah mesra itu turut sibuk melayan telatah anaknya, Ikkai Khalil Esam yang berusia empat bulan. Si comel itu dibawa bersamanya tinggal di Malaysia.
Wanita anggun berusia 33 tahun itu tersenyum manis apabila memperkenalkan Ikkai. Bayi lelaki itu merupakan cahaya mata pertama hasil perkongsian hidup bersama suaminya yang berasal dari Singapura.
"Saya tinggal di Malaysia sudah empat tahun dan sebelum ini di Singapura selama lapan tahun. Ternyata, saya lebih banyak tinggal di negara orang berbanding tempat sendiri demi kerjaya model ini," ujarnya yang sudah berkecimpung selama 18 tahun sebagai model dan banyak kali berpindah lokasi kerja seperti Bangkok, China, Hong Kong, Perancis dan Australia.
"Itulah yang mungkin menyebabkan saya bertemu jodoh dengan rakyat Singapura dan bukannya dari negara saya sendiri," katanya berseloroh sambil menepuk bahu suaminya, Esam Salleh, 36, yang turut hadir dalam sesi temu bual itu. Pasangan itu kini tinggal bersama di Kuala Lumpur.
Bertanya tentang pengorbanan terbesar Aimee untuk serius dalam bidang itu, dia menjelaskan tentang hakikat dirinya terpaksa berjauhan dengan keluarga.
"Seorang model berjaya biasanya akan mendapat peragaan atau mengutip pengalaman di tempat orang. Jadi ketahanan diri dari segi mental dan fizikal adalah antara keperluan terbesar. Ini kerana mereka akan tinggal di luar negara berdasarkan kontrak yang dipersetujui bersama pihak agensi model," katanya.
Menurut Aimee, model akan tinggal di negara orang dalam tempoh beberapa bulan atau memakan masa sehingga bertahun-tahun lamanya. Jadi perasaan seperti rindukan kampung halaman atau keluarga tidak boleh mengganggu fokus tugas model ketika di perantauan.
|
|
"Segelintir model yang gagal di pentas peragaan biasanya mempunyai masalah tersebut. Rindukan teman istimewa dan sebagainya. Mereka yang bersikap sebegini memang tidak akan kekal lama," ulasnya.
Liku kehidupan
Dalam pada itu, Aimee turut menyifatkan pekerjaan yang dilaluinya kini memaksa seseorang itu sentiasa ceria supaya mereka akan mendapat lebih banyak tawaran untuk sebarang pertunjukan.
"Agensi akan cari kerja untuk kami. Tetapi pelanggan mereka akan pilih dahulu bakat setiap model sebelum membuat keputusan. Jadi, memiliki hati yang gembira amat penting kerana ia menunjukkan diri anda sentiasa cantik dan segar.
"Selain pertunjukkan fesyen, model akan mendapat tawaran lain yang dipilih untuk menghiasi iklan televisyen, majalah dan sebagainya," terang Aimee lagi.
Dari segi penginapan pula, seperti biasa agensi mereka akan menyediakan tempat tinggal. Namun, ada juga agensi yang meminta model tersebut membayar terlebih dahulu perbelanjaan masing-masing.
Seterusnya, sebelum kontrak tamat mereka akan dibayar kembali segala perbelanjaan seperti elaun tempat tinggal dan sebagainya.
Mungkin sebelum ini ramai yang menganggap kehidupan peragawati adalah mewah dan sering bergaya dengan jenama mahal. Namun, situasi tersebut bukannya gambaran sebenar, bahkan mereka perlu melalui pelbagai cabaran seperti kemungkinan besar tidak mendapat bayaran yang bagus.
"Bayaran bergantung kepada syarikat itu sendiri. Setiap model tidak boleh menetapkan harga dengan sesuka hati. Pernah juga sebilangan model tidak menerima bayaran lumayan tetapi diberi produk yang mereka peragakan," katanya.
Bercerita mengenai penjagaan badan pula, akui Aimee dia perlu menikmati tumbuhan hijau yang banyak berbanding makanan berat yang lain.
"Diri perlu dijaga rapi, kawalan berat badan misalnya amat penting untuk mendapat tawaran kerja sampingan. Disebabkan bekerja dalam tempoh yang tidak menentu, kesihatan dititikberatkan dengan mengambil vitamin supaya tenaga sentiasa cukup," ujarnya sambil memberitahu tidak berdepan dengan banyak masalah mengenai makanan di Malaysia kerana terdapat banyak pilihan termasuk untuk golongan ekspatriat.
Sukakan makanan mamak
Perkara itu turut diakui oleh teman sealirannya iaitu Antoine B, 23, yang lebih banyak mengamalkan makanan seperti rebusan sahaja.
Tapi itu bukanlah bermakna dia tidak menikmati langsung juadah makanan Malaysia sebalik jejaka yang berasal dari Perancis itu perlu menyimbangkan dietnya atas tuntutan kerjaya.
Bagaimanapun sudah berada lima bulan di Malaysia dia mengakui gemarkan makanan di restoran mamak seperti roti canai, teh tarik selain nasi lemak.
Memiliki ijazah hospitaliti, Antoine mempunyai persepsi tersendiri mengenai tuntutan seorang model yang perlu bekerja di negara orang. Bagi Antoine tinggal di luar negara bagaikan satu peluang melancong.
|
|
Sepanjang lima tahun berada dalam industri glamor itu, dia pernah berada di England, Ireland dan Itali. Antoine mengakui keseronokan berada di pentas peragaan apabila dapat mencuba pelbagai fesyen terbaru yang belum lagi berada di pasaran.
"Saya masih baru dalam bidang ini jadi pengalaman itu tidak terlalu banyak tetapi bagi saya seronok terutama dapat berjalan-jalan di negara orang," katanya.
Menurut Pengarah Pemasaran Blivene Talents Agency, Iyvene Lee, tugas menguruskan setiap model luar negara akan dijalankan satu persatu supaya keselesaan mereka di Malaysia terjamin. Setiap kekurangan atau masalah yang dihadapi pastinya dirujuk kepada agensi.
"Agensi akan memastikan mereka mendapat tawaran kerja sepanjang berada di sini. Kami perlu bersungguh-sungguh mengadakan sesi uji bakat untuk diberikan kepada syarikat yang memerlukan model.
"Biasanya sesi uji bakat ini merupakan peluang yang mereka kejar kerana bayarannya agak besar," ujarnya.
Menyentuh mengenai peluang rakyat negara ini untuk mendapat peluang peragaan di luar negara, Iyvene menjelaskan mereka yang mempunyai darah kacukan sentiasa mendapat permintaan agensi luar negara.
Bagaimanapun di Malaysia, ramai yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan model Brazil, AS dan Perancis. Alasannya adalah kualiti model tersebut lebih tinggi kerana mempunyai pakej paras rupa yang lengkap.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: