Tuesday, April 13, 2010

Wadah tampil ke khalayak




SETIAP kali hakim menyatakan, ‘Pengadilan berkata....’ pasti berlaku kekecohan dan ketidakpuasan hati di kalangan penduduk desa tersebut.

Kepetahan dan kelicikan hakim terbabit dalam menghujahkan faktanya membuatkan sebilangan pengadu kebingungan. Ditambah pula dengan sikap hakim yang menjatuhkan hukuman denda sebanyak 1 pound bagi setiap pengadu. Tindakan itu nyata menambahkan lagi kekecewaan mereka.

Hakim yang keji itu seboleh-bolehnya mencari helah dalam memastikan hujahnya diterima dengan tujuan melindungi skandalnya.

Demikianlah sebahagian jalan cerita pementasan teater berjudul Mahkamah Keadilan oleh pelajar-pelajar minor Fakulti Seni dan Muzik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Panggung Budaya institusi tersebut baru-baru ini.

Nurul Aida Abd. Aziz, 23, yang membawa watak sebagai hakim mengakui sukar baginya menjiwai watak sebagai hakim yang keji, lidah bercabang dan berperangai seperti seorang ahli sihir. Bertentangan dengan sifat semula jadinya, Nurul Aida mendakwa dirinya adalah seorang yang berterus-terang dan penyayang.


SETIAP kali hakim membuat keputusan, ia pasti menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan para pengadu.


“Saya sendiri melakukan kajian selama dua bulan untuk menjiwai watak keji itu dengan mengamati gaya lakonan dalam drama atau filem.

“Penjiwaan tersebut bagi memastikan watak yang dilakonkan benar-benar hidup dan memberi impak ke dalam diri penonton,” katanya.

Tegas pelajar jurusan Seni Komunikasi Visual itu, bukan mudah untuk menjadi pelakon teater apatah lagi menerajui watak utama.

Pelbagai aspek harus dititikberatkan terutama ekspresi muka kerana pelakon utama merupakan fokus dalam sesuatu perjalanan cerita.

“Ekspresi muka itu sendiri bertindak mewarnai suasana sesuatu plot cerita. Pada masa yang sama, ekspresi ini mampu menjadikan cerita itu lebih dramatik,” jelasnya.

Aida turut mengakui dia gugup dan bimbang sekiranya terlupa skrip dalam pementasan. Kesalahan itu hanya akan membebankan pelakon lain seterusnya boleh mengakibatkan jalan cerita terganggu.

Menceritakan lebih lanjut, bagi memastikan dialognya sentiasa di hujung lidah, Aida bersimulasi dengan rakan-rakan pementasan sekali pun selepas tamat sesi latihan.

“Sepanjang dua bulan ini, saya berlatih siang dan malam termasuk dengan rakan sebilik agar ayat-ayat tersebut tersemat di dalam fikiran saya. Malah sekarang pun, saya masih khuatir sekiranya perkara yang tidak diingini itu terjadi,” ulas Aida.

Mahkamah Keadilan diadaptasikan daripada karya agung Tewfik al-Hakim, seorang penulis dari Mesir.

Penulisannya berkisar soal kepincangan corak keadilan yang dilakukan oleh hakim terhadap pengadu-pengadu hal. Mohamad Nor Rakhim Amat Jallani, 23, pula mempunyai pandangan berbeza.

Pelajar pendidikan seni muzik tahun tiga itu menyatakan dia sungguh bersemangat melakukan pementasan seumpamanya sekali pun itu bukanlah keperluan subjek utamanya.

Kepada Mohamad Nor Rakhim, berteater memberikan kebebasan dan inspirasi untuk meluahkan bakatnya sebagai seorang penggiat seni walaupun mengambil jurusan pendidikan.

Bentuk keperibadian

“Seni itu sendiri unik dan luas. Malah, dalam teater sendiri terdapat cabang-cabang terjemahannya seperti realisme, muzikal atau bermonolog.

“Namun, kesemua itu berfungsi memberikan ruang kepada penggiat seni menonjolkan bakat mereka melalui kepelbagaian aliran,” katanya.


SESUAI dengan pementasan bercirikan Asia Barat, tarian gelek diselitkan dalam teater Mahkamah Keadilan.


Sifat Mohamad Nor Rakhim yang spontan dan pandai mengawal keadaan memudahkannya menjayakan watak tukang roti.

“Watak saya lebih bersifatkan seorang yang jahat, sombong dan kroni hakim. Disebabkan ikatan yang teguh itu, si tukang roti ini bermaharajalela kerana sering mendapat pertolongan daripada hakim.

“Sebab itulah dia mudah bebas lantaran segala tuduhan dan aduan akan disangkal oleh si hakim,” jelasnya.

Berbalik kepada refleksi teater dalam kehidupan, Mohamad Nor Rakhim menjelaskan, berteater dapat membentuk keperibadian seseorang melalui aspek displin. Baik teater, muzik mahupun tarian, semuanya memerlukan komitmen dan disiplin yang ketat.

“Andai kata seseorang pelakon itu tidak memberikan tindak balas terhadap orang yang sedang berlawan cakap dengannya pada waktu yang sepatutnya, nescaya pertunjukan itu gagal.

“Begitu juga dengan pelakon teater yang tidak memasuki ruang persembahan pada masa yang ditetapkan, ia turut merosakkan kelancaran penceritaan tersebut. Ini bererti displin dalam dunia seni adalah displin yang berlandaskan perasaan dan ketepatan masa,” tambahnya berfalsafah.

Seorang lagi pemegang watak sebagai pemilik itik angsa, Mohd. Firdaus Hashim, 26, berkata, penindasan dan keadilan itu berlaku di mana-mana. Malah kadang-kadang, tidak semua pengadu hal akan mendapat keadilan sewajarnya.


BARISAN pelakon pementasan teater Mahkamah Keadilan bersama Ketua Jabatan Muzik, Fakulti Seni dan Muzik UPSI, Raja Azuan Nahar Raja Adnan (tujuh dari kiri).


Orang berkuasa boleh membuat apa sahaja kepada orang bawahan, manakala orang bawahan tidak dapat berbuat apa-apa kerana kedudukan mereka.

Sebagai pemegang watak pemilik itik angsa, beliau juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa penganiayaan hakim.

“Perbuatan mencuri ternakan yang dilakukan si tukang roti mendapat pembelaan daripada tuan hakim gara-gara hubungan mereka yang rapat. Setiap aduan penduduk desa tersebut turut mengalami nasib yang sama. Sehubungan itu, semua pengadu di desa itu beredar dari kandang pengadilan dengan rasa kecewa,” jelas Firdaus.

Bagi Firdaus, teater itu sendiri adalah saranan pendidikan dalam membentuk peribadi, memperbaiki kelemahan, menambahkan keyakinan dan memahami setiap orang itu mempunyai kelebihan dan kekurangan.

“Berteater adalah wadah untuk mengajar siswa-siswi itu tampil ke khalayak umum. Melaluinya juga, kami mempelajari teknik berkomunikasi dengan baik,” ulasnya.

Pengarah pementasan Mahkamah Keadilan, Leina Farida Hussain menyatakan pemilihan karya itu disebabkan plot cerita yang penuh dengan komedi. Tambahan pula sarat dengan pemikiran atau falsafah yang berkaitan dengan pemerintahan dan penyalahgunaan kuasa.


PENDOKONG utama teater Mahkamah Keadilan. Dari kiri: Mohammad Nor Rakhim, Nurul Aida dan Mohd. Firdaus.


“Dengan menyelitkan unsur komedi, sesuatu teater itu tidaklah terlampau berat. Malah mesej yang ingin disampaikan akan lebih jelas terutama kepada penonton yang kebanyakannya terdiri daripada golongan remaja.

“Konsep teaternya adalah realisme yang bercirikan dunia Asia Barat sesuai dengan asal-usul penulis karya tersebut,” katanya.

Tambah Leina, pementasan itu bertujuan melihat kefahaman pelajar-pelajar yang mengambil subjek teater sebagai minor dan mempraktikan teori yang telah dipelajari. Pada masa yang sama, ia adalah sebahagian daripada penilaian terakhir mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: