Tuesday, April 13, 2010

Insiden patah gigi

PERISTIWA patah gigi depan ketika jatuh dari tembok dinding menyebabkan Syafiq Bahri, 25, lebih berhati-hati ketika terlibat dalam sukan yang berasal dari United Kingdom itu.

Ceritanya bermula apabila jejaka berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu bertindak berani memanjat tembok dinding (wall climbing) tanpa menggunakan sebarang tali. Syafiq ketika itu sudah mahir memanjat tembok dinding memandangkan sukan itu telah dimulakannya sejak dia berusia 11 tahun lagi.

Kerana terlalu ghairah mencabar diri, batu yang dipijak Syafiq tercabut lalu menyebabkannya terjatuh.

Kenangan pahit tersebut sehingga kini masih tersemat dalam memorinya, lebih-lebih lagi dia terpaksa menanam gigi depannya itu.


SUKAN lasak ini memerlukan peralatan lengkap untuk keselamatan.


"Saya menyesal kerana tidak fikir mengenai soal keselamatan diri ketika itu. Nasib baik hanya gigi yang patah," katanya yang menyeru anak muda supaya tidak mencontohi perbuatannya itu.

Kumpul duit beli alat

Menceritakan penglibatannya dalam sukan itu, Syafiq memberitahu, dia diperkenalkan dengan sukan lasak berkenaan oleh sepupunya, Mohd. Rozaidi Abdul Rashid.

"Sepupu yang berusia 14 tahun ketika itu mengajak saya mengikutnya mendaki gunung batu (rock climbing) di Taman Botani, Gua Musang, Kelantan. Bayangkan usia saya baru 11 tahun dan tidak pernah mendapat sebarang pendedahan mengenai wall climbing tetapi terus mencuba untuk mendaki gunung batu.

"Dialah yang mengajar saya bagaimana cara memanjat, bagaimana membuat ikatan belay (lilit) pada pinggang dan sebagainya," kata anak sulung daripada enam adik-beradik itu.

Sejak itu, minat ke arah sukan itu mula bercambah. Syafiq mula mengumpul wang yang diperoleh ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri semasa usianya 12 tahun untuk membeli peralatan memanjat tembok dinding.


SYAFIQ mempunyai pengalaman hampir 14 tahun dalam sukan lasak memanjat tembok dinding.


Syafiq tidak meminta wang daripada orang tuanya kerana ayahnya tidak suka dan menganggap sukan itu berbahaya.

Dia berjaya membeli kasut memanjat dan harness (alat memanjat yang diikat pada pinggang) pada harga RM220.

"Saya beli alat memanjat sikit demi sedikit jika mempunyai wang. Dalam masa yang sama, saya mengajak beberapa rakan untuk melakukan aktiviti memanjat tembok dinding.

"Saya juga mendapat pendedahan daripada rakan untuk menyertai pertandingan memanjat tembok dinding. Pertandingan pertama yang saya sertai ialah Sukan X-Games anjuran Kementerian Belia dan Sukan," katanya.

Berlatih dengan bersungguh-sungguh, akhirnya Syafiq berjaya mendapat tempat kedua dalam pertandingan memanjat tembok dinding Boulder Magness yang diadakan di Summit, USJ, Selangor.

Sehingga kini, Syafiq telah menyertai sebanyak 20 pertandingan memanjat tembok dinding yang dianjurkan di Malaysia.

Syafiq yang sedang mengikuti pengajian kejuruteraan pesawat di Institut Teknologi Penerbangan Malaysia, Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT) memberitahu, sukan memanjat tembok dinding memerlukan keberanian dan teknik memanjat yang betul, selain kekuatan hampir seluruh otot badan.

"Banyak cabarannya dalam sukan ini memandangkan terdapat pelbagai jenis tembok dinding. Paling mudah adalah 4A hingga 4C kerana dindingnya rata, tempat pegang dan pijak juga besar dan ia sesuai untuk individu yang baru menceburkan diri dalam sukan ini.


SYAFIQ pernah mendapat tempat kedua dalam pertandingan memanjat tembok dinding Boulder Magness di Summit, USJ.


"Paling sukar adalah tembok dinding 9B+. Hanya beberapa orang yang berjaya memanjat tembok dinding tersebut. Keadaan dindingnya melengkung selain batu-batu pemegang dan pemijaknya terlalu kecil," kata Syafiq yang kini berjaya memanjat tembok dinding jenis 7B+.

Sehingga kini, Syafiq telah berhabis sebanyak RM7,000 membeli peralatan memanjat.

Antara peralatan yang digunakan untuk memanjat tembok dinding ialah kasut (climbing shoe), tali (climbing rope), penyangkut tali (quickdraws), kapur tangan dan alat kontrol tali (delay device).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: