
SELAMA setengah abad, seniman kelahiran Vietnam, Nguyen Van Long melukis filem-filemnya di atas kertas dan media lain berserta kesan bunyi yang direkanya sendiri.
"Filem saya dibuat secara manual sebab itulah ia berharga. Filem saya tidak moden," kata Long, 63, pada satu temu bual di sebuah bilik rumah kayu iaitu kediamannya selama ini.
Selepas 17 tahun berkarya akhirnya Long terpaksa akur dengan masalah kesihatan beliau yang memaksanya untuk berehat lebih awal tahun lalu. Long adalah penghuni tetap di zoo bandar Hanoi dan tugasnya menghiburkan kanak-kanak dan orang dewasa.
Di zoo itu, tidak ada kerusi mewah dan tidak ada layar lebar. Bahkan tidak ada elektrik, hanya Long dengan koleksi-koleksi filemnya untuk ditayangkan kepada penonton.
"Saya memiliki sebanyak 250 buah filem. Saya hasilkan 50 dan selebihnya dibeli," katanya.
Bermula dengan kos sekitar 20 sen, filem yang dihasilkannya lebih murah berbanding menonton wayang di pawagam moden. Lebih-lebih lagi di Hanoi, agak sukar untuk mendapat harga semurah itu.
Long mengeluarkan sebuah beg plastik yang menyimpan kelengkapan produksi terbarunya. Satu set kad lipat yang bersaiz kad nama yang mempunyai gambar yang diwarnakan dengan krayon.
Beg plastik itu juga mengandungi komik Thanh Giong yang menceritakan mengenai seorang lelaki keramat Vietnam bersama jalan ceritanya.
Setiap bahagian daripada dua produksinya mengandungi 200 keping gambar bersaiz kecil berwarna-warni yang boleh menghasilkan kesan animasi apabila dilipat.
Adaptasi cerita dongeng
Seperti filem-filemnya yang lain, ia boleh dilihat menerusi sebuah kotak ringkas yang mempunyai lubang.
Kesemua 200 buah filem dibeli oleh Long telah ditapis menggunakan sejenis alat canggih lama buatan Amerika Syarikat sebelum ditonton penonton.
Menurut Long, beliau menghabiskan masa selama tiga hari untuk menghasilkan setiap filemnya yang diadaptasi daripada cerita-cerita haiwan atau dongeng.
Katanya, bahagian yang paling sukar bukanlah untuk menghasilkan gambar tetapi meringkaskan skrip cerita. Kisah Snow White dan Tujuh Orang Kerdil versi Long, misalnya, perlu disusun dalam 13 kalimat puisi yang dibaca untuk penontonnya.
Long akan memberikan kesan bunyi menerusi suaranya seperti serangga, babi, kuda, kereta api atau lagu rakyat nyaring dari selatan Vietnam.
Suara disampaikan melalui cawan-cawan kadbod di atas tali panjang yang menghubungkan mulut dan telinga penonton.
"Saya seorang yang kreatif," tutur lelaki bersuara lembut itu sambil membaluti badannya dengan baju sejuk, topi dan skaf milik mendiang bapanya.
Long memberitahu, ada yang mahu melakukan perkara yang sama seperti yang dilakukannya, tetapi filem-filem mereka lebih mudah dan tidak mempunyai skrip. Mereka juga kurang komitmen.
![]() |
| FILEM karya Van Long diperbuat daripada kertas yang dilipat dan diwarna dengan krayon. |
"Mereka tidak meletakkan keseluruhan jiwa ke atas karya mereka," katanya.
Menurut Long, teknik yang digunakannya adalah kotak pawagam iaitu teknik yang digunakan oleh orang Perancis pada hari-hari akhir zaman penjajah sekitar awal 1950-an.
"Saya rasa saya yang meniru mereka. Saya rasa ia sesuatu yang aneh dan saya kagum dengan apa yang mereka lakukan," katanya.
Long mendalami kajiannya dengan melawat makmal-makmal filem dan menonton filem-filem yang dipaparkan di luar bilik."Saya tidak mempunyai duit untuk masuk. Saya terpaksa panjat pagar dan cuba fahamkan mengenai teori untuk menghasilkan filem," katanya.
Tetapi pembikin filem itu mengaku dia belum pernah ke pawagam sebenar. Sebaliknya, beliau mula mempertontonkan filem-filem yang disewanya kepada orang awam sekitar tahun 1965.
Sebelum ini Long bekerja sebagai ketua jabatan informasi masyarakat tempatan, namun dua dekad lalu beliau memutuskan untuk memperoleh pendapatan lebih demi mengejar cita-citanya.
Pada mulanya Long mencari penonton di depan sekolah dan kemudian beralih ke zoo. Keluarganya dan orang lain termasuk pihak berkuasa tempatan cuba melemahkan semangatnya.
"Saya tidak membahayakan sesiapa pun. Saya meredah panas dan hujan. Kadang-kadang saya rasa lapar tetapi ia sungguh menyeronokkan," kata Long.Untuk beberapa hari, dia tidak mendapat apa-apa."Tetapi saya membawa nasi dan air untuk mengalas perut, jadi saya fikir ia seperti satu perkelahan dan saya dapat bersenam dengan menunggang basikal. Itu sudah memadai," katanya.
Pada hari-hari berikutnya, dia sering memperoleh lebih 100,000 dong (RM17) sehari, jumlah yang berpatutan dalam negara yang pendapatan tahunan per kapita sekitar AS$1,000 (RM3,184.50).
"Saya juga terfikir apabila saya mati, siapa yang akan mengambil alih perniagaan ini," katanya yang keberatan untuk mempertanggungjawabkan ciptaan-ciptaannya kepada orang luar walaupun ada yang menunjukkan minat.
Long memberitahu, anak perempuannya seorang pedagang pakaian dan anak lelakinya seorang askar. Mungkin kerana mereka terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing mereka tiada masa untuk meneruskan apa yang diusahakan Long selama ini. Bagaimanapun, Long telah mempertimbangkan untuk memberi koleksinya kepada muzium.
Berapa lama lagi pertunjukan itu boleh diteruskan juga masih tidak jelas?
"Kesihatan saya tidak mengizinkan. Jika saya sihat, saya akan teruskan," kata Long.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: