Thursday, April 8, 2010

Entiti penyiaran tanah air


PELANCARAN... Dr. Rais Yatim bersama (dua dari kanan) bersama Ketua Setiausaha KPKK, Datuk Kamaruddin Siaraf (kiri), Timbalan Menteri KPKK, Datuk Joseph Salang Gandum (dua dari kiri) dan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya semasa melancarkan buku Merentas Zaman.


DUNIA penyiaran tanah air hari ini semakin berkembang sejak set radio pertama dibawa oleh seorang jurutera British bernama A.L. Birch ke Johor pada tahun 1921.

Itu merupakan tarikh keramat yang merintis kepada penubuhan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang ada sekarang ini apabila ia bermula pada 1 April 1946 di Kuala Lumpur.

Selepas 64 tahun beroperasi, agensi yang berada di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) itu tetap unggul biarpun berdepan dengan persaingan.

Saingan daripada stesen-stesen radio dan televisyen (TV) swasta menurut Menteri KPKK, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, seolah-olah belum mampu melenyapkan badan penyiaran itu.

Persaingan itu contohnya, mula timbul apabila TV3 muncul sebagai saluran televisyen (TV) swasta yang pertama pada tahun 1984 dengan memberi saingan kepada TV1 dan TV2 di RTM.

Namun, menurut beliau, selama lebih enam dekad bersiaran, badan penyiaran milik kerajaan itu masih terus relevan untuk memainkan peranannya kepada masyarakat negara ini.

Bahkan tiada siapa yang mampu menafikan peranan, pengalaman serta kredibilitinya dalam mewarnai mahupun mempelopori dunia penyiaran tempatan sejak sebelum negara merdeka.

"Siapakah yang boleh menafikan bahawa RTM merupakan sebuah entiti penyiaran tempatan terpenting yang telah menjalankan tanggungjawabnya sejak dari dulu lagi?" soalnya.

Dr. Rais menegaskan hakikat tentang kewujudan stesen itu sewaktu beliau melancarkan Sambutan RTM 64 Tahun di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.

RTM yang pernah berada di bawah kepimpinan 14 Menteri Penerangan termasuk beliau telah melakukan banyak perubahan daripada yang kecil sehinggalah perubahan dasar dan polisinya.

Biarpun diasak dengan kemunculan pelbagai saluran TV swasta seperti Astro dan radio-radio swasta yang lain tetapi RTM tetap terus berkembang dan tidak melukut di tepi gantang.

Di saat banyak medium media massa seperti majalah dan suratkhabar tidak mampu meneruskan survival, RTM terus bersiaran dan tetap unggul seiring moto terbarunya 'unggul'.

Peranan RTM yang boleh disifatkan sebagai 'tugas kenegaraan' merupakan antara intipati penting badan penyiaran itu untuk terus mendapat tempat di hati para penonton dan pendengar.

Apatah lagi, dengan keseluruhan kakitangan seramai hampir 4,000 orang yang berada di Angkasapuri sahaja sudah mampu menggambarkan betapa gahnya badan itu.

Jumlah itu tidak termasuk kakitangan RTM yang berada di setiap negeri yang sentiasa menyalurkan maklumat dan hiburan kepada segenap masyarakat tanpa mengira usia dan bangsa.

Jelas Dr. Rais, keunggulan RTM turut banyak didasari oleh prinsip-prinsip khusus dan murni badan penyiaran itu yang mungkin tidak banyak diaplikasikan oleh stesen-stesen penyiaran lain.

"Prinsip utama kita di RTM ada tiga iaitu mendidik, menghibur dan memaklum kepada para penonton. Ini adalah tanggungjawab sosial kami kepada masyarakat sejak dari dulu lagi.

"Pada masa sama, pada setiap masa RTM juga mempunyai fokus tersendiri. Contohnya pada tahun 1963 misi kita adalah untuk mewujudkan Malaysia selepas merdeka pada 1957.

"Sekarang ini fokus RTM pula adalah bagi membantu menjayakan gagasan 1Malaysia yang dipelopori oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak," katanya.

RTM yang mempunyai dua saluran TV iaitu TV1 dan TV2 sentiasa peka dengan kehendak para penonton banyak menyiarkan rancangan yang sesuai ditonton oleh segenap lapisan rakyat.

Sentimen itu menyebabkan dua saluran TV tersebut sentiasa mengambil berat pandangan dan citarasa penonton terhadap rancangan-rancangan yang disiarkannya.

Tiada lagi istilah 'syok sendiri', sebaliknya stesen-stesen TV mahupun 34 radio di bawah naungan RTM sentiasa mencari jalan meningkatkan mutu dan popularitinya.

Jika dulu RTM sentiasa dikritik sebagai stesen tontonan penonton luar bandar atau golongan tua sahaja.

Mujurlah dengan peredaran masa dan keperluan trend bidang penyiaran yang berkembang pesat, RTM mengambil berat permintaan penontonnya.

Justeru, tidak hairanlah di bawah naungan Dr. Rais, RTM telah menubuhkan panel khas yang mengkaji rancangan-rancangan menerusi TV mahupun radio.

"Kalau penonton tidak puas hati, kita ada sebuah panel khas yang sentiasa mendengar dan meneliti komen-komen mereka. Ini tandanya kami ambil berat dan sentiasa peka," tuturnya.

Beliau yang suka menggunakan istilah 'keluar kotak' terutamanya di kalangan pegawai atasannya berharap mereka tidak lagi berada di 'zon selesa', sebaliknya lebih berdaya saing.

Bukan setakat 'keluar kotak' daripada nilai pemikiran dan budaya kerja, tetapi RTM juga harus melangkaui batas ruang, tempat serta keperluan semasa.

Sebagai contohnya, RTM menerusi Orkestra RTM mempunyai perancangan bagi membawa sebahagian pemuzik kumpulan itu mengadakan persembahan jelajah seluruh negara.

Persembahan lagu-lagu popular yang berkualiti sambil diiringi alunan muzik profesional terutamanya di luar bandar mampu untuk memperkenalkan lagi kumpulan terbabit.

Orkestra RTM selama ini seakan-akan terkongkong dengan 'prestij' gaya muzik dan had ruang persembahan kerana ia hanya tertumpu di Angkasapuri dan kawasan bandar sahaja.

Pendekatan RTM yang kini semakin terbuka terutamanya dalam mengambil kakitangan yang mempunyai kaitan secara langsung juga mampu melonjakkan nama badan penyiaran itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: