Tuesday, April 6, 2010

Saya masih solo - Agnes


MENGAKUI masih solo, Agnes mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada karier dan pelajaran.


KALAU meneliti 'sejarah' gosip membabitkan dirinya, artis popular Indonesia bernama Agnes Monica ini tidak terlepas daripada dikaitkan menjalin cinta dengan beberapa lelaki.

Ahmad Dhani, Bam (vokalis Samsons) serta Dirly (pelakon sinetron Jelita) termasuk anak kepada seorang konglomerat Indonesia iaitu Jon Triyadi, mereka tersenarai antara lelaki yang pernah dikatakan punyai hubungan istimewa dengan Agnes.

Namun, di pihak Agnes sendiri, dia sentiasa menafikan gosip itu.

Mengakui masih solo, Agnes berkata, buat masa ini dia mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada karier selaku artis versatil.

Sementelah, dirinya kini sedang menuntut di Oregon State University, Amerika Syarikat secara dalam talian dalam jurusan Sains Politik.

Semuanya itu, ujar Agnes, menuntut pengorbanan yang cukup besar dan dia tidak mahu hidupnya berlangsung dengan sia-sia sahaja.

''Study (belajar) adalah sangat penting. Ia menjadi keutamaan dalam keluarga saya. Lagipun, saya memperoleh biasiswa untuk meneruskan pengajian.

''Saya sangat suka membaca. Tetapi bagi saya, pelajaran bukanlah sekadar untuk memperoleh keputusan yang terbaik semata-mata.

''Dengan adanya pelajaran, ia mampu membuka mata dan minda serta mematangkan fikiran kita,'' katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Minggu Setiausaha Bersama Agnes Monica di ibu negara, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Residen Hotel Quality Kuala Lumpur, Hidzir Abd. Hamid.

Minggu Setiausaha Bersama Agnes Monica anjuran Hotel Quality Kuala Lumpur bakal diadakan pada 28 dan 29 April ini di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC), Jalan Duta.

Dengan bayaran sebanyak RM290, RM390, RM490 dan RM590, selain Agnes, minggu setiausaha berkenaan akan diserikan dengan celoteh Dee selaku pengacara majlis.

Ini merupakan persembahan Agnes yang kedua di negara ini selepas konsert sulungnya di Stadium Negara sekitar 2007.

Menyambung perbualan, kata Agnes, mengenai gosip percintaannya, dia memahami adakalanya peminat ingin mengetahui segala ruang peribadi hidupnya.

Namun, ujarnya, dia juga mempunyai hak untuk tidak berkongsi rahsia hidupnya dengan orang lain.

Siapa lelaki pilihan Agnes?

Menutup bicara tentang gosip, Agnes yang diketengahkan soalan berkenaan jejaka pilihan hatinya berkata, dia lebih suka berpacaran dengan orang biasa berbanding insan yang berkecimpung dalam dunia hiburan.

Bagi Agnes, lelaki itu seharusnya menjadi 'nakhoda' atau ketua keluarga dan disebabkan itu, dirinya suka kepada lelaki yang memiliki kehidupan stabil.

''Kalau boleh, biar saya dikurniakan lelaki biasa sahaja tetapi harus hidupnya stabil kerana mereka akan menjadi nakhoda.

''Lelaki itu pula bukanlah daripada mereka yang hadir dalam dunia hiburan. Saya artis dan tahu bagaimana kehidupan seorang artis.

''Macam-macam yang ada dalam dunia artis. Oleh sebab itulah, kalau saya berada di mana-mana, saya akan ditemani ahli keluarga,'' jelasnya yang dilahirkan pada 1 Julai 1986.

Diaju pula persoalan antara karier dan pelajaran, Agnes memberitahu bahawa ia bukanlah kerja mudah untuk menyeimbangkan dua perkara dalam kehidupan sehariannya.

''Setiap minggu saya akan terikat dengan latihan vokal dan tarian serta persembahan. Belajar juga penting.

''Tetapi, semuanya sudah sebati dalam hidup saya dan ia memudahkan saya untuk menyeimbangkan segalanya,'' tutur Agnes.

Menjayakan minggu setiausaha

Sementara itu, sempena minggu setiausaha yang akan berlangsung selama dua hari pada 28 dan 29 April nanti, Agnes menjelaskan bahawa dia tidak menghadapi permasalahan untuk menghiburkan peminatnya nanti.

''Sebetulnya, saya sudah sentiasa bersedia. Kalau tidak ada persembahan pun, saya akan terlibat dengan sesi latihan pada setiap minggu.

''Latihan tersebut membabitkan vokal, fizikal dan tarian. Kalau ada persembahan pun, latihan tarian akan saya lakukan lebih kerap.

''Saya amat mementingkan kesempurnaan dan begitu juga dengan persembahan. Oleh itu, saya tidak percaya dengan persiapan pada saat-saat akhir,'' tegasnya.

Menurutnya, di Indonesia, dia sering diundang menjayakan persembahan di majlis yang membabitkan golongan korporat.

''Saya selalu akan menjadi diri saya sendiri dan itulah yang peminat mahukan. Saya tidak akan menyanyikan lagu orang lain atau menjadi orang lain sewaktu di pentas.

''Untuk minggu setiausaha nanti, saya akan menyanyikan lagu-lagu popular saya sendiri. Apa yang pasti, saya akan membawa perbezaan dalam persembahan.

''Peminat sudah pasti akan dapat melihat sisi saya yang nyata berbeza daripada apa yang ada dalam album,'' katanya yang cukup popular dengan lagu berjudul Matahariku.

Selain daripada menyaksikan persembahan artis, untuk minggu setiausaha anjuran Hotel Quality itu, pihak penganjur turut menyediakan beberapa hadiah menarik antaranya tiket penerbangan.

Untuk tempahan dan keterangan lanjut, sila hubungi 03-26939233 atau emel kepada fnb@quality.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: