![]() |
| CERIA... Aznil Nawawi bergambar kenang-kenangan bersama juara Festival Tari Kanak-Kanak 2010 iaitu kumpulan Galang Maya dari Sekolah Kebangsaan Pulau Meranti, Puchong, Selangor di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini. |
PERSONALITI unggul ini memang cukup prihatin dengan apa sahaja permasalahan yang melibatkan kanak-kanak.
Bagi Aznil Nawawi, anak-anak kecil ini memerlukan didikan dan sokongan yang mampu memberikan semangat kepada mereka untuk meneruskan minat serta cita-cita mereka.
Kadangkala hati kecilnya terusik apabila mengenangkan sikap birokrasi sesetengah pihak yang seolah-olah memandang sebelah mata sahaja aktiviti yang melibatkan kanak-kanak.
"Jangan kerana aktiviti kanak-kanak ini tidak bersifat komersial dan tidak mampu memberikan pulangan modal, mereka harus dipinggirkan.
"Cuba hadir ke majlis mereka dan lihat kesungguhan serta semangat yang ditonjolkan mereka.
"Saya percaya kalau semua pihak memberikan sokongan kepada setiap aktiviti mereka dan memberikan pendedahan sewajarnya, tidak mustahil mereka mampu pergi jauh," jelas Aznil meluahkan pendapatnya sewaktu ditemui selepas berakhirnya Festival Tari Kanak-Kanak 2010 (Festaka 2010) anjuran Kolej Kediaman Kinabalu, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut hadir ialah Pengetua Kolej Kediaman Kinabalu, Profesor Madya Dr. Zulqarnain Mohamed dan pengarah projek Festaka 2010, Nur Atiqah Mohamad Khir.
Festival yang sudah dua tahun dianjurkan itu merupakan pertandingan tarian tradisional Melayu yang melibatkan penyertaan sekolah-sekolah rendah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.
Menamakan Festaka sebagai contoh terbaik, Aznil yang juga penaung untuk festival tersebut menyifatkan penganjuran Festaka sebagai wadah terbaik dalam memupuk warisan bangsa kepada kanak-kanak.
Ketika generasi muda hari ini terdedah dengan arus permodenan sehingga membuatkan mereka hampir terlupa dengan tarian tradisional mereka sendiri, Aznil melihat Festaka hadir tepat pada waktunya.
Justeru, dia berbesar hati untuk terlibat secara langsung dalam festival ini kerana baginyam acara ini berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat nasional.
"Kalau hendak diharapkan kepada saya seorang sahaja, memang ia tidak akan menjadi kenyataan.
"Kerana itu, saya menyeru kepada pihak korporat, swasta dan sesiapa sahaja untuk sama-sama membantu agar festival seumpama ini dapat direalisasikan di peringkat yang lebih tinggi.
"Bukan wang ringgit atau hadiah lumayan yang dikejar kanak-kanak ini tetapi semangat dan kesungguhan mereka untuk menyertai pertandingan ini sudah cukup membuktikan segala-galanya," kata pengacara nombor satu negara ini dalam nada terharu.
Tambahnya, Festaka merupakan platform terbaik untuk terus memupuk perasaan cinta dan sayangkan kepada budaya serta warisan khususnya tarian tradisional.
"Apabila kanak-kanak ini mempersembahkan tarian tradisional ini, kita dapat melihat betapa gemalainya pergerakan mereka.
"Semuanya tepat mengikut rentak lagu yang dialunkan menjadikan persembahan mereka begitu mengasyikkan dan memukau," katanya sambil memuji kesemua 10 kumpulan yang bertanding.
Kerana itu kata Aznil, sekiranya festival ini dapat diperluaskan lagi, setidak-tidaknya ia dapat melibatkan penyertaan daripada sekolah-sekolah di seluruh negara pula.
"Tetapi dengan syarat. Kenalah ada pihak yang sudi membantu dan menghulurkan bantuan untuk terus memartabatkan budaya bangsa kita," pinta anak jati Kuala Lumpur ini berkali-kali.
Festaka 2010 menyaksikan kumpulan Galang Maya dari Sekolah Kebangsaan Pulau Meranti, Puchong, Selangor diangkat sebagai juara.
Dengan kemenangan itu, kumpulan tersebut berjaya membawa pulang wang tunai RM1,500, trofi dan sijil.
Bukan itu sahaja, mereka turut memenangi kategori Koreografi Terbaik yang melayakkan mereka menerima hamper bernilai RM50, plak dan sijil.
Gelaran naib juara pula disandang oleh Kumpulan Seni Anak Mahmeri (Kuseri) dari Sekolah Kebangsaan Sungai Bumbun, Pulau Carey, Banting, Selangor.
Sementara itu, tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Astana Budaya dari Sekolah Kebangsaan Puchong Perdana, Puchong Perdana, Selangor.
Pada majlis itu, Aznil menyumbangkan sumbangan peribadi sebanyak RM10,000 bagi mengisi dana untuk projek Festaka yang akan datang.
Pada masa sama, personaliti berusia 48 tahun ini turut memuji kesungguhan mahasiswa UM yang bertungkus-lumus menjayakan Festaka biarpun berdepan dengan pelbagai rintangan khususnya kekangan bajet.
Secara tidak langsung, Aznil terus terkenangkan bagaimana kepayahan dan jerit perih yang harus dilaluinya dalam menganjurkan aktiviti serupa sewaktu bergelar pelajar di UM pada awal tahun 80-an.
Sehinggakan, ada ketika dia perlu menjadi seorang pengemis semata-mata mahu mendapatkan pertolongan untuk merealisasikan projek yang telah diamanahkan.
"Mahasiswa seharusnya belajar berdikari dan tidak mengharapkan semuanya terhidang kepada mereka.
"Tetapi, ini semua satu cabaran buat mahasiswa ini dalam menimba pengalaman kerana semuanya bermula di menara gading dalam membentuk serta membina keyakinan sebaik sahaja melangkah keluar kelak.
"Kalau ikutkan, saya boleh gunakan platform saya untuk membantu mereka menguar-uarkan tentang Festaka, tetapi sewajarnya mereka belajar dari bawah dan itu akan membantu mereka kelak," ujar pemegang ijazah dalam bidang ekonomi itu lagi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: