Tuesday, April 6, 2010

Layar bahagia Amber Chia


AMBER Chia kini bahagia bergelar isteri.


WANITA secantik peragawati terkenal, Amber Chia, 29, ini sudah pasti mengimpikan majlis perkahwinan gilang-gemilang sambil dirai dan direstui kaum keluarga serta para peminat setianya.

Namun, kegembiraannya tatkala disatukan dengan insan tersayang pada tanggal 25 Mac lalu di Bali, Indonesia tidak dapat dikongsi bersama peminatnya di negara ini apabila mengambil keputusan untuk tidak membuat pendedahan kepada media.

Amber sebelum ini memang cukup dikenali sebagai seorang selebriti bersikap ramah-tamah, malah begitu akrab setiap kali bersua dengan mana-mana wakil media.

Bagaimanapun, tindakannya merahsiakan perkahwinannya menimbulkan tanda-tanya di kalangan media terutama para peminatnya.

Jika tidak kerana foto perkahwinannya yang tersebar meluas di pelbagai laman sesawang, mungkinkah Amber masih lagi mengambil sikap berdiam diri walhal dirinya kini telah bertukar status sebagai seorang isteri.

Amber memilih untuk disatukan dengan pemuda yang dikenalinya sejak lapan tahun lalu, Adrian Wong sempena hari kelahiran suaminya yang ke 36 tahun.

Bukan sengaja mengingkari kedudukan diri sebagai selebriti yang seringkali menjadi perhatian ramai, jelas Amber ketika ditemui pada satu majlis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini, keputusan tersebut diambil sekadar menghormati keputusan keluarga kedua-dua pihak yang inginkan privasi.

Apa yang cukup menarik tentang peragawati bertaraf antarabangsa ini, biarpun tidak begitu fasih berbahasa Melayu, namun dalam menterjemah kegembiraan diri yang sedang berbunga sebagai seorang isteri dia tidak malu bertutur dalam bahasa kebangsaan.

Diajak berbicara tentang perkahwinan, kata Amber: "Suami saya larang untuk beritahu media tentang perkahwinan kami sebab mahu privasi untuk majlis tersebut.

"Bagaimanapun, saya tidak tahu macam mana gambar perkahwinan kami boleh tersebar di laman web.

"Memang ramai media yang hubungi saya. Saya tidak menafikan bahawa saya sudah berkahwin," kata Amber diiringi tawa kecil.

Berkenalan sejak lapan tahun lalu, keserasian antara mereka bercambah hari demi hari sehinggalah enam bulan lalu Adrian mencadangkan agar mereka melangkah ke gerbang perkahwinan.

Di Pulau Bali, Amber menyatakan persetujuannya untuk bergelar isteri kepada Adrian. Malah ketika pertemuan dua mata dalam suasana romantik itu, Amber punya kisah lucu tersendiri.

Cukup rapat

"Bila orang tanya saya macam mana Adrian mengajak saya berkahwin, saya hanya tergelak.

"Mana tidak ketika itu saya melihat sebuah kotak kecil di atas meja kemudian apabila saya membukanya ada sebentuk cincin di dalamnya.

"Lucunya, saya sendiri yang pakai cincin itu dan berkata saya setuju mengahwininya," kata Amber sambil ketawa.

Adrian yang dikenalinya memang insan yang cukup rapat dengannya sejak menjalinkan hubungan cinta dua tahun lalu.

Malah, di saat dia berduka dan gembira, Adrianlah yang sering memberi semangat kepadanya agar tidak putus asa dan sentiasa berusaha.

Mengakui tidak banyak perubahan yang berlaku dalam kehidupan hariannya, panggilan Puan Wong daripada orang ramai cukup membuatkan hatinya berbunga riang.

"Tiada bezanya kehidupan saya walaupun telah bergelar isteri. Perubahan yang paling ketara mungkin ialah panggilan orang ramai terhadap saya iaitu Puan Wong," kata Amber yang kini tinggal di Damansara Heights bersama suaminya.

Apa yang pasti, berkahwin bagi seorang Amber tidak lagi mendatangkan kerunsingan bagi dirinya kerana tiada lagi lelaki yang akan datang dan menggodanya.

Malah, perasaan saling menyintai antara satu sama lain serta menjalani kehidupan bersama cukup menggembirakan dirinya ketika ini.

"Inilah kuasa cinta. Mungkin juga inilah kebenarannya bahawa cinta itu buta. Walaupun seseorang itu tidak tampan tetapi jika sudah cinta kita akan rasa orang itu tampan.

"Dalam hidup saya, apa yang penting ialah kebahagiaan dan ketenangan kerana harta yang banyak tidak mampu membeli segalanya," kata Amber lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: