|
|
PENGALAMAN menyediakan 100,000 cucuk sate untuk satu majlis sentiasa segar dalam ingatan pengusaha Kelisa Corner, Mohd Sharom Malik.
"Memang kelam kabut kami waktu itu, bayangkan berapa banyak daging lembu dan ayam yang perlu dicincang, diperap dan dibakar. Akhirnya seluruh keluarga terpaksa turun padang membantu," katanya mengimbau kembali memori yang berlaku lebih sepuluh tahun lalu.
Menurutnya, pesanan itu diterima daripada seorang ahli politik berpengaruh ketika itu. Dia tidak menyangka, dalam beberapa pengusaha sate Kajang yang dilawati ahli politik tersebut, beliau memilih untuk membuat tempahan dengan sate Juwara yang diusahakan keluarga Mohd Sharom.
Apa istimewanya sate Juwara hingga menjadi tarikan ramai? Menurut beberapa pengunjung yang gemar dengan hidangan ini, keistimewaannya terletak pada daging ayam atau lembu yang lembut dan sebati dengan rempah yang diperap. Juga kuahnya yang pedas dan manis.
"Dari dulu hingga kini, kami kekalkan rasa dan kualitinya, begitu juga dengan hidangan lain yang terdapat di Kelisa Corner," katanya.
Berlainan dengan pengusaha lain, sate Juwara menghidangkan nasi himpit yang dibungkus dengan daun pisang, tidak dengan plastik seperti kebiasaan.
"Aroma daun pisang menjadikan nasi himpit kami wangi dengan warna hijau semula jadi," kata Indun Ahmad, ibu kepada Mohd Sharom yang juga pengusaha awal restoran ini.
Walaupun restoran tumbuh bagai cendawan lepas hujan di Bangi, Kelisa Corner masih punya peminat tersendiri yang menjadi pelanggan setia sejak hampir 15 tahun beroperasi di sini.
Sebelum itu, Indun dan arwah suaminya pernah mengusahakan beberapa gerai termasuk di Kajang dan Kuala Lumpur.
Menurut Indun, Pakar Kaunseling terkenal, Datuk Dr Mohd. Fadzilah Kamsah merupakan pelanggan paling setia di sini, malah beliau turut dilantik sebagai Penasihat restoran.
"Apa sahaja majlis yang beliau anjur, tetap mahukan hidangan daripada Kelisa kerana kami tahu selera beliau," katanya lagi.
Antara menu lain yang popular di sini adalah ayam penyet, pecal lele, murtabak jala, soto, tauhu bakar, rojak Singapura, steamboat dan banyak lagi.
Kelisa Corner turut menerima tempahan katering bagi majlis kecil hingga sederhana.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: