Sunday, April 18, 2010

Minat bertukar kerjaya


Sokker Koors adalah kejayaan terbaik Kamarul sepanjang menceburi bidang penyiaran.


SEMASA zaman kanak-kanak, Kamarul Anuar Mohamed Nasir pernah berangan untuk menghasilkan klip video artis tempatan. Tidak kira sama ada artis popular atau yang baru membina nama. Semuanya dirancang bermula dari jalan cerita, kesinambungan antara babak sehingga ke penghujungnya.

Anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini benar-benar berminat dalam dunia penyiaran. Berkemungkinan besar ia timbul akibat terlalu banyak menonton televisyen. Namun tanpa disedari, Kamarul mempelajari teknik penggambaran di situ secara tidak langsung.

Lelaki yang selesa disapa Kamarul pernah berangan untuk menghasilkan klip video penyanyi malar segar Aishah. Segala persiapan sudah dilakukan termasuk menyiapkan story board dengan idea sendiri. Jadi tidak hairanlah sekiranya jalan cerita itu masih berada dalam kotak pemikirannya sehingga ke hari ini.

‘‘Alhamdulillah, ibu dan bapa saya memahami minat saya. Mereka memberi galakan dan sokongan untuk dan laluan kepada saya untuk mencapai impian itu. Disebabkan terlalu meminati bidang penyiaran, saya pernah menolak tawaran menyambung pelajaran dalam bidang persembahan seni di sebuah universiti,’’ katanya.

Anak sulung daripada dua beradik itu kemudiannya ditawarkan bidang yang diminati di Kolej Yayasan Melaka. Meski pun lokasinya agak jauh daripada tempat kelahirannya, namun Kamarul tidak kisah. Asalkan dia dapat memperoleh pengalaman dan pelajaran dalam bidang berkenaan, jarak tidak menjadi penghalang.

Hasil

Selepas tamat belajar, Kamarul berpeluang menjalani latihan praktikal di sebuah rumah produksi. Di situ, Kamarul bertindak sebagai pembantu produksi yang mencabar kewibawaannya untuk menghasilkan klip video terbaik. Antara klip video yang pernah dijayakannya adalah penyanyi Siti Sarah, Bienda dan Haslinda.

Atas tiket pengalaman itu Kamarul kemudiannya memohon untuk bekerja di RTM. Bermula sebagai editor visual pada 2003 lalu Kamarul dipertanggungjawabkan untuk membuat program sendiri tidak lama kemudian. Pada hari ini pula, Kamarul ditugaskan sebagai penolong penerbit rancangan.

‘‘Dalam banyak penerbitan rancangan yang terlibat, saya lebih meminati program Sokker Koors sempena demam Piala Dunia. Ia adalah rancangan persembahan paling menarik, interaktif dan rancak pernah dihasilkan.

‘‘Rancangan itu penuh pengisian. Ada soal jawab, aktiviti fizikal yang ringan, kuiz bukan sahaja di kalangan dua kumpulan. Malah ia turut diadakan pertandingan kumpulan sorak. Sudah pasti, ada habuan yang menarik untuk setiap penyertaan,’’ jelas Kamarul yang lebih selesa bekerja di belakang tabir.

Pemuda berusia 28 tahun itu memberitahu, Sokker Koors juga boleh menambah maklumat tentang pasukan bola sepak yang menyertai Piala Dunia. Selain itu, penonton juga dapat berkenalan dengan pemain-pemain bola sepak tempatan yang menyertai program yang bermula 16 April hingga 25 Jun.

Ditanya tentang kesukaran program 14 episod di bawah pemantauan penerbit Kamal Roslim, Kamarul memberitahu dia berdepan dengan masalah untuk mendapatkan peserta. Selain itu, kadang kala terpaksa ditangguhkan kerana masalah ketiadaan penonton yang bertindak sebagai penyorak program.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: