
RESAM menjadi seorang anak wayang, cabaran utama sudah tentu dalam merealisasikan watak-watak lakonan. Semakin mencabar watak yang perlu dilakonkan, semakin disegani seseorang pelakon itu.
Aktor berwibawa Rosyam Noor tidak terkecuali. Kali ini menerusi filem terbaru lakonannya, Libas, Rosyam, 42, memikul tanggungjawab yang agak besar dalam melakonkan watak utama, Adnan Saladin yang juga dikenali dengan gelaran Raja Libas.
Watak itu mengembalikan nostalgia terhadap pemain sepak takraw tersohor negara, Adnan Saidin yang pernah mengharumkan nama negara suatu ketika dahulu. Justeru, Rosyam menghadapi cabaran dalam mengangkat watak tersebut kerana Adnan Saidin merupakan satu nama besar dunia sukan tanah air.
"Saya perlu menunjukkan kepada penonton watak yang saya bawa ini adalah setanding dengan Adnan Saidin dan kalau boleh Libas dapat menaikkan semangat anak muda terhadap sukan sepak takraw," ujarnya yang menerima tawaran berlakon Libas daripada pengarah, Jurey Latiff Rosli tujuh tahun lalu.
Tambah Rosyam yang patah bahu kiri ketika menjalani penggambaran, risiko berlakon dalam Libas memang agak tinggi kerana banyak babak dalam filem ini memerlukan dia bergantung kepada tali.
Malah, pengarah urusan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. itu terpaksa menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC) di Damansara Heights pada Julai, tahun lepas bagi memasukkan besi pada bahu kirinya itu.
"Parut kesan daripada kejadian itu akan meninggalkan kenangan buat saya dan akan ingat sampai bila-bila," katanya yang memberitahu kecederaan yang dialaminya itu adalah pertama kali sejak menceburkan diri dalam industri perfileman menerusi filem Gila-Gila Remaja pada tahun 1975.
Rosyam yang ditemui pada majlis pelancaran filem Libas di Kuala Lumpur baru-baru ini menaruh harapan yang tinggi terhadap filem selepas segala usaha dan kudrat dirinya yang diberikan untuk Libas yang turut menampilkan lakonan Scha Al-Yahya, Beego, Johan Raja Lawak dan Corrie Adam Lee itu.
![]() |
| AKTOR Rosyam Nor menunjukkan skil bermain sepak takraw semasa sidang media filem Libas. |
Dalam pada itu, apa yang menarik tentang filem terbitan filem terbitan MDAG Marketing Sdn. Bhd. itu adalah ia sebenarnya telah terperam sejak tahun 2002 dan hanya pada 2009 mula menjalani penggambaran dengan kos mencecah RM1.9 juta dan bakal menemui penonton di pawagam menjelang hujung tahun ini.
Daya tarikan utama Libas rentetan penggunaan hampir 80 peratus teknik janaan komputer (CGI). Ia diperkuatkan lagi dengan olahan skrip yang mengisahkan mengenai Adnan Saladin seorang pakar libas dalam permainan sepak takraw.
Dia lantas digelar Raja Libas Malaysia apabila kebolehannya melibas sepak takraw sangat digeruni terutamanya dari pasukan Thailand. Namun, dia tidak lagi dapat bermain sepak takraw selepas kakinya ditempangkan oleh pemain-pemain sepak takraw pasukan Thailand.
Namun, mahu mengembalikan maruah diri dan negara, Adnan berusaha membentuk regu baru sepak takraw bagi mewakili negara sedangkan dalam masa yang sama pasukan sepak takraw Thailand cuba menganiaya usaha Adnan itu.
Sementara itu, menurut Pengarah Urusan MDAG, Azlan Ghazali, Libas tidak syak lagi mampu mengangkat sukan sepak takraw yang tidak asing lagi di kalangan rakyat negara ini.
"Filem ini diharap dapat menaikkan semangat anak muda terhadap sukan sepak takraw," katanya.
Dalam pada itu, pihak produksi filem itu turut melancarkan Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Libas 2010 yang bermula pada 1 Mei ini di Terengganu. Kejohanan tersebut dianjurkan sempena tayangan filem Libas dan akan bermula pada 1 dan 2 Mei depan. Pusingan akhir kejohanan ini dijadualkan di Kuala Lumpur pada 4 dan 5 Disember ini.
Menurut Azlan lagi, Piala Raja Libas 2010 akan menjadi platform untuk menggalakkan golongan muda bermain sepak takraw dan mengambalikan kegemilangan sukan itu di negara ini.
"Dengan tawaran hadiah berjumlah RM35,000, kami yakin kejohanan itu dapat menarik penyertaan regu yang besar dari seluruh negara.
"Kami berharap Piala Juara Libas dapat terus kekal di masa depan dan berpeluang menjadi acara tahunan dengan sokongan dari penaja," jelasnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: