
LEBIH separuh daripada hayatnya didedikasi kepada muzik dan perjalanan itu belum ada tanda-tanda pengakhiran. Itu perjuangan seorang penyanyi sejati bernama Datuk Sheila Majid. Menabur suara merdunya selama 25 tahun, Sheila bak permata berharga negara.
Bersaiz kecil tetapi berbakat besar, penyanyi berusia 45 tahun itu mahu meraikan fasa istimewa dalam hidupnya sepanjang tahun 2010 ini. Tujuannya hanya satu - sebagai tanda terima kasih atas sokongan padu peminatnya selama ini.
Baginya, tiada rahsia atau resipi yang diamalkan untuk mengecapi kejayaan tetapi sokongan peminat yang membenarkan dia meneruskan minatnya sebagai penyanyi. Agenda sambutan sudah penuh diisi daripada siri persembahan kepada konsert, Sheila juga merakamkan sebuah lagu baru, Dengarkanlah.
Memperkenalkan lagu khas itu pada satu majlis meriah di pusat beli-belah Pavillion minggu lalu, peluang juga diambil untuk melancarkan set kotak cakera padat (CD) edisi khas, Sheila Majid 25 Years yang memuatkan tujuh buah album serta single barunya.
Berdiri di atas pentas dengan dikelilingi peminat, Sheila menguntumkan senyuman tanda kesyukuran. "Pengalaman paling manis bergelar penyanyi adalah semasa melihat audiens yang hadir tanpa mengira usia dan bangsa untuk mendengar muzik saya. Pada saya, muzik adalah hiburan bersalut mesej yang universal," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran tersebut.
Set kotak album itu bukan sahaja diterbitkan semula untuk sambutan ulang tahun ke-25 tetapi juga atas permintaan ramai termasuk peminat dari Indonesia dan Singapura. Buktinya, kesemua 300 set kotak berharga RM99.90 setiap satu itu habis dijual dalam masa sejam setengah.
"Ramai yang minta sebenarnya kerana album saya yang dulu diterbitkan dalam bentuk kaset. Jadi kini mereka boleh menyimpan album Dimensi Baru (1985) dalam bentuk CD serta album Emosi (1986), Warna (1988), Legenda (1990), Ratu (1996), Ku Mohon (1999) dan Cinta Kita (2004) sekali gus kerana album pertama dan kedua saya sudah tidak diterbitkan lagi," tambahnya yang terlibat secara tidak langsung dalam penghasilan set kotak itu.

Memulakan jadual tahun 2010 dengan persembahan Festival Java Jazz di Jakarta, Indonesia pada 5 Mac lalu, Sheila juga akan menjayakan Minggu Setiausaha PNB pada 7 April sebelum memakai kebaya termahal di dunia untuk majlis Ratu - A Charity Gala Tribute to Malaysian Women of Substance pada 10 April nanti.
"Tidak kira persembahan besar atau kecil, saya hanya mempunyai satu matlamat iaitu mendekati sebanyak boleh peminat saya di seluruh negara. Selepas ini, saya akan menjalankan konsert di Pusat Konvensyen Jakarta pada 23 September. Sementara itu, konsert di Singapura masih belum ditentukan tarikhnya," sambungnya.
Namun, dalam senarai perancangannya, Sheila paling berharap konsert penutup untuk sambutan 25 tahunnya akan direalisasikan. Memilih lokasi Stadium Negara kerana pernah melangsungkan konsert pertamanya, Lagenda di tempat sama pada 1991, Sheila telah menetapkan tarikh 27 November sebagai kemuncaknya.
"Tarikh dan lokasinya adalah sama seperti konsert pertama saya. Sebenarnya, sejak Oktober lalu lagi kami sudah membuat kertas cadangan dan memulakan proses mencari penaja. Tetapi sehingga kini, kami belum mendapat penaja.
"Saya tidak tahu apa masalahnya. Mungkin kerana banyak syarikat telah menetapkan bajet mereka untuk kempen Piala Dunia 2010. Saya tidak salahkan mana-mana pihak dan masih belum berputus asa. Cuma sekarang sudah bulan April. Banyak lagi persediaan yang perlu dilakukan," kata pemilik nama Shaheila Abdul Majid.
Tidak berasa kecewa dengan kekurangan sokongan penajaan, ibu kepada Wan Nur Khaleda, 19, Megat Abdul Majid, 16, Khadeja Zaireen Murshim, 5 dan Khalifa Laila Murshim, 3, tahu muziknya masih dihargai.
"Walaupun tidak ada penajaan, saya tahu muzik saya dihargai. Cuma mungkin sekarang saya kurang pendedahan yang membuatkan mereka kurang yakin untuk menyokong misi saya.
"Hakikatnya, saya menyanyi hampir setiap minggu tetapi di majlis tertutup yang tidak dihebohkan oleh media. Siapa tidak mahu menjalankan konsert di tanah air sendiri? Jika betul tidak jadi, saya akan memberikan tumpuan kepada konsert luar," senyum penyanyi yang mempunyai ketinggian 150 sentimeter itu.
![]() |
| PADA usia 45 tahun, Sheila masih belum lelah untuk menghiburkan peminat setianya. |
Dihalang ayah
Anak bongsu daripada lapan adik-beradik ini pernah mendapat bantahan daripada ayahnya, Abdul Majid Abdul Shahid ketika mahu menyertai dunia hiburan.
Kata Sheila, ayahnya seorang yang mementingkan akademik dan berpendapat menyanyi bukan satu bidang pekerjaan yang stabil tetapi hanya sekadar hobi. Namun, Sheila amat berterima kasih apabila ayahnya kemudian mula menyokong serta gembira atas pencapaiannya.
"Ayah meninggal dunia pada tahun 1996 tetapi ketika itu dia amat gembira dengan hasil yang saya kecapi. Dia takut saya masuk bidang ini atas sebab yang salah. Abang dan kakak saya semuanya melanjutkan pelajaran sehingga ke universiti.
"Saya pula mula menyanyi di sekolah dan semasa menunggu keputusan peperiksaan tingkatan lima, saya merakam demo serta album pertama saya, Dimensi Baru di bawah label indie, Titra Records.
"Album itu mencatatkan kejayaan dan EMI membeli kontrak saya daripada Titra. Kemudian muncul album kedua saya yang laris hingga ke Indonesia. Ketika itu, saya tidak boleh berpatah balik lagi," ujarnya yang mempelajari piano sejak berusia 4 tahun.
Berharap untuk terus menyanyi selagi memiliki kemampuan, Sheila mahu menjadi seperti penyanyi, Barbra Streisand. Dia mahu terus berbakti kepada industri walau suatu hari nanti dia bercadang untuk bersara.
"Saya melihat penyanyi seperti Najwa, Atilia dan Noryn Aziz mempunyai potensi. Jika saya mahu mengambil penyanyi di bawah penjagaan saya, penyanyi itu perlu menjadi seorang yang berdisiplin.
"Bukan senang untuk berada di bawah pengurusan saya. Pada saya, peringkat awal itu amat penting kerana kehidupan artis di Malaysia tidak mudah. Ia hanya satu pekerjaan glamor," katanya serius.
Kini, dia bukan sahaja sibuk dengan sambutan ulang tahun ke-25 kariernya tetapi juga mempunyai perniagaan lain termasuk Spa Jentayu, Studio Akarkarya dan produk kecantikan, Jerneh. Bagaimana Sheila membahagikan masanya?
"Saya bernasib baik kerana sudah berada di tahap di mana orang ramai sudah mengenali saya. Jadi saya tidak perlu sentiasa keluar untuk tujuan promosi.
"Semua mesyuarat juga dijalankan di rumah saya. Rumah saya adalah pejabat saya. Jadi saya hanya keluar rumah apabila perlu membuat persembahan," ungkapnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: