Friday, April 23, 2010

Program Insan Cemerlang Perkim


Hasbullah L. Isa (kanan) menyampaikan hamper kepada wakil kumpulan terbaik 'Program Insan Cemerlang' di Kem Alang Sedayu, Gombak, Selangor baru-baru ini.


Bagi memperkasakan pengetahuan agama Islam, akidah dan motivasi untuk melahirkan murid yang cemerlang, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Program Insan Cemerlang di Kem Alang Sedayu, Batu 12 Gombak, Selangor pada 9 hingga 11 April lalu.

Program itu menghimpunkan 131 peserta yang akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Menengah (UPSR) dari Sekolah Kebangsaan Sungai Pelong (SKSP), Sungai Buloh, Selangor. Ia mendapat kerjasama Sedayu Event Management dan unit bimbingan kaunseling sekolah.

Penyelaras Program, Muhammad Farhan Tee Abdullah berkata, program itu memberi kesedaran motivasi kepada peserta bagi menghadapi UPSR, September ini.

"Program ini dilihat sebagai medan untuk diberi bimbingan kerohanian yang bersifat praktikal dan mudah untuk dilaksanakan seperti amalan rukun Islam, rukun Iman serta mereka juga dipupuk supaya merasa hampir dengan Allah dalam urusan kehidupan harian," jelas Farhan.

Beliau yang juga Pegawai Dakwah Perkim Kebangsaan berkata, program tersebut melahirkan peserta yang memiliki nilai-nilai murni dan menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup untuk mencapai kecemerlangan di dunia dan di akhirat.

"Ia adalah usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara seimbang dari segi intelektual, jasmani, rohani dan emosi berasaskan kepercayaan kepada Allah," tambah Farhan.

Melalui program tersebut, ia memberi pendedahan serta latihan kepada peserta berkaitan amalan kehidupan Islam seharian, disiplin diri, berdikari, tepati masa, kepimpinan, kerjasama, jasa pengorbanan ibu bapa dan formula untuk cemerlang.

Dalam program itu, majlis taklimat dan taaruf (suai kenal) menjadi agenda pembuka acara dan pembahagian peserta kepada 13 kumpulan.

Ia disusuli pelbagai aktiviti seperti solat berjemaah di padang, tazkirah selepas solat, qiamullail, latihan dalam kumpulan (LDK), kuiz antara kumpulan, senaman dan sesi pembentangan kertas kerja.

Tidak ketinggalan juga aktiviti 'Malaysia Cergas' bagi mencergaskan fizikal dan mencerdaskan minda dengan sesi senaman ringan peserta.

Turut diadakan, aktiviti penerokaan Kembara Iman membentuk peserta sentiasa bersabar dan mempunyai matlamat serta hala tuju mencapai kejayaan yang cemerlang dipimpin oleh Ketua Jurulatih, Mohd. Azizan Yunus.

Aktiviti jelajah hutan membawa peserta mengharungi beberapa anak sungai dan meredah belukar untuk tiba ke kawasan air terjun dengan mengabdikan diri bersama keindahan alam semulajadi ciptaan Allah. Peserta juga diberi peluang mandi di kawasan air terjun.

Antara pengisian LDK adalah rukun Islam, rukun Iman, kesempurnaan solat, bacaan doa qunut dan senibina daripada bahan terbuang.

Turut diadakan adalah serta motivasi ibadah yang diketuai oleh Muhd. Faiz Mohd. Asri selaku ketua fasilitator dan 18 siswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Mohd. Faizal Sapri dari Dzal Consultancy menyampaikan ceramah motivasi muhasabah diri kepada peserta iaitu Mind Mapping dan Aspirasi S.T.E.P.

'Peranan Manusia di Muka Bumi, Allah Sumber Motivasi dan Mencari Keredaan Allah' adalah slot ceramah oleh Muhd. Anwar Idris.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada peserta disempurnakan oleh Penolong Setiausaha Agung Kehormat, Datuk Hasbullah L. Isa.

Majlis diserikan lagi dengan nyanyian Cerita Hati dan Asmaul Husna oleh peserta serta tayangan multimedia Program Insan Cemerlang Kem Alang Sedayu.

Hasbullah berharap, peserta berazam untuk berubah dengan keimanan yang teguh dengan jati diri, perubahan positif dalam hidup, benteng diri dari gejala sosial, serta meningkatkan kecerdasan minda, ketenangan rohani dan kecergasan fizikal bagi persediaan menghadapi UPSR tidak lama lagi.

Turut hadir, Pegawai Dakwah dan Hal Ehwal Sosial Perkim, Amran Abdullah dan Guru Besar SKSP, Ramlah Yaakob.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: