Friday, April 23, 2010

Persidangan forum hijau


OTHMAN SULIEMAN berharap ramai pihak yang mahir dalam bidang alam sekitar dapat berkongsi pendapat sempena Forum Malaysia Hijau (MGF) 2010.


ISU perubahan iklim, pemanasan global dan alam sekitar yang semakin ternoda akibat perbuatan tidak bertanggungjawab manusia sendiri, membuatkan ramai pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu tampil memberi kesedaran kepada masyarakat.

Ini termasuklah penganjuran program-program memelihara alam sekitar, menghijaukan bumi dan banyak lagi yang bertujuan membangkitkan rasa prihatin di kalangan masyarakat terhadap masalah tersebut.

Dalam kerancakan kempen mengajak orang ramai menghayati peri pentingnya menjaga bumi yang semakin tua dan lemah ini, Landskap Malaysia juga tidak mahu ketinggalan menjadi salah satu badan yang mampu memberi sedikit bantuan dalam menangani isu berkaitan.

Justeru, satu forum akan diadakan untuk mencari resolusi atau jalan penyelesaian bersama bagi mengatasi isu kemersotan alam sekitar yang semakin hangat dibincangkan sama ada di peringkat nasional mahupun global.

Menurut Pengurus Besar Landskap Malaysia, Othman Sulieman, Forum Malaysia Hijau 2010 (MGF 2010) itu akan diadakan pada 26 dan 27 April ini di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya, Putrajaya.

"Sebenarnya forum ini merupakan kesinambungan daripada komitmen yang dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu Persidangan Iklim 2009 di Copenhagen, Denmark baru-baru ini untuk mengurangkan pengeluaran gas karbon dioksida negara sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2020.

"Melalui forum ini, kami berharap ramai individu penting dan terkenal dalam bidang alam sekitar dapat berkongsi pendapat dan merumuskan kaedah terbaik dalam merealisasikan hasrat murni tersebut," kata Othman ketika ditemui Kosmo! di pejabat Landskap Malaysia di Petaling Jaya.

Tambah Othman, sepanjang dua hari forum ini berlangsung, terdapat empat ahli panel antarabangsa dari Danish Centre for Forest Landscape & Planning, University of Copenhagen, Denmark; University of Melbourne, Australia; Queen Sirikit Botanic Garden, Thailand dan Parks Victoria, Australia akan berucap dan membentangkan kertas kerja masing-masing.

Selain itu, 16 ahli panel tempatan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang juga akan memainkan peranan dan menyampaikan pendapat mengenai isu alam sekitar yang diketengahkan.

Antara pertubuhan yang mengambil bahagian termasuklah Jabatan Landskap Negara, Jabatan Alam Sekitar, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Institut Arkitek Landskap, Balai Ikhtisas Malaysia, Persekutuan Bangunan Hijau Malaysia dan Advance Maintenance Precision Management Sdn. Bhd.

Secara keseluruhan, seramai 450 peserta daripada pegawai tinggi kerajaan, ahli akademik dan ahli NGO dan swasta akan hadir pada forum yang bertemakan 'Malaysia Yang Lebih Hijau dan Mapan'.

MGF 2010 dianjurkan oleh Landskap Malaysia dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Perbadanan Putrajaya. Program ini turut mendapat perhatian syarikat korporat seperti UEM Group Berhad, Sime Darby Berhad dan TSR Capital Berhad yang bertindak sebagai rakan kongsi dalam penganjuran forum ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai forum ini, hubungi Landskap Malaysia di talian 03-7957 6472 atau Sekretariat MGF 2010 (03-8946 4013).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: