Friday, April 23, 2010

Cacat tidak halang cita-cita


Pelajar OKUMP di Darul Quran turut menjalani kehidupan sama seperti pelajar normal yang lain. nazariah Ali sentiasa bersikap positif ketika di dalam kelas dan tugasnya bertambah mudah dengan adanya komitmen Muhamad Firdaus Hairi.


MASA depan golongan tunanetra (buta) seringkali dilihat gelap segelap penglihatan mereka. Namun, kenyataan ini tidak tepat sebenarnya.

Hakikatnya, insan yang dikategorikan sebagai golongan Orang Kurang Upaya Cacat Penglihatan (OKUMP) di negara ini, mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang normal lain.

Ikuti kisah beberapa orang pelajar yang mengikuti program Pensijilan Tahfiz Al-Quran OKUMP dan program Intensif Bahasa Arab dalam misi mereka bergelar penghuffaz berwibawa.

Di mana ada kemahuan, si situ ada jalan

ANAK ketiga daripada tujuh beradik ini tidak pernah menyesal dilahirkan ke dunia ini dengan hanya mampu menikmati keindahan alam sekeliling yang gelap gelita.

Malah pemuda berasal dari Pelabuhan Klang, Selangor ini sentiasa ditatang bagai minyak yang penuh oleh pasangan Hairi Ramlan dan Kamisah Rashid sejak dilahirkan 22 tahun yang lalu.

Dia yang meminati muzik dan sukan ini pernah menyertai sukan paralimpik dalam acara lari jarak jauh 400 meter, 800 meter dan 1,500 meter di Stadium Bukit Jalil pada tahun 2006 dan 2008.

Muhamad Firdaus Hairi sebelum ini pernah memperoleh pendidikan dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas di Setapak, Kuala Lumpur sebelum menyambung Tingkatan Enam di St. John, Bukit Nenas, Kuala Lumpur.

Mengetahui mengenai temuduga pengambilan pelajar program pensijilan Tahfiz Al-Quran menerusi teman-teman, Firdaus memberanikan diri mencuba nasib, waima mengetahui dirinya tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama.

“Sesi temuduga itu diadakan di Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) pada Disember 2008. Saya datang dengan harapan tidak mahu mengecewakan ibu bapa yang berharap sangat dan memang menggalakkan saya mengambil bidang agama supaya dapat menjadi pakar rujuk kepada ahli keluarga terutamanya dalam soal berkaitan ilmu agama.

“Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana niat awal saya sekadar mahu memfasihkan bacaan al-Quran. Sebab itulah, saya tidak terfikir akan dapat berada di sini.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kini bukan sahaja melepasi peringkat sijil tetapi sedang berusaha menyambung ke peringkat diploma. Sebab itulah dalam kelas Bahasa Arab ini, saya kena buat yang terbaik. Saya mahu buktikan kemampuan diri.

“Malah yang lebih saya bersyukur, saya beroleh lebih daripada yang diniatkan dahulu. Saya telah berjaya menghafaz lebih 10 juzuk al-Quran. Rasa ketenangan apabila kita hampir dengan al-Quran dan perasaan itu sukar hendak digambarkan dengan kata-kata.

“Kalau sebelum ini kita dengan kemampuan orang lain menghafaz, tetapi kali kita sendiri yang berjaya membuktikan kemampuan diri. Seronoknya hanya Allah yang tahu, apatah lagi apabila dapat menghafaz enam juzuk dalam tempoh pengajian selama enam bulan. Saya bersyukur.

“Sebab itulah, sebaik menjejakkan kaki di sini, saya berusaha berkali ganda daripada pelajar lain. Pertama kerana saya tidak ada asas dalam tulisan Jawi dan bahasa Arab boleh dikatakan agak mencabar.

“Saya selalu pegang dengan kata-kata ayah: Di sebalik kekurangan itu, ada kelebihan dan di sebalik kelebihan itu, ada kekurangan.

“Saya tidak segan bertanya kepada teman-teman dan para pensyarah. Di samping itu, saya selalu belajar berkumpulan dan membuat rujukan dengan para pelajar normal.

“Kebiasaannya saya menggunakan mesin braille pada waktu petang kerana pada sebelah malam, takut menganggu teman sebilik yang mungkin mahu tidur atau mentelaah. Saya memperuntukkan antara dua hingga tiga jam sehari untuk mengulangkaji pelajaran.

“Agak sukar juga untuk menyakinkan keluarga bahawa golongan OKUMP juga mampu berjaya.

“Saya percaya selagi kita tidak mencuba dan tidak ada keberanian, maka sukar untuk kita berdikari di luar sana,” kata Mohamad Firdaus yang bercita-cita bergelar perintis kepada pendidikan khas Bahasa Arab.

Pucuk dicita ulam mendatang

SEBAIK sahaja terpilih mengikuti program tahfiz al-Quran di DQ tiada kata yang dapat diluahkan, hanya air mata kegembiraan membasahi pipi.

Kutron Nada Marzuki, 29, gadis putih melepak dari Pendang, Kedah ini menganggap peluang itu umpama orang mengantuk disorongkan bantal.

Peluang ini juga adalah penawar kecewa selepas permohonan belajar di universiti tempatan dalam bidang pengajian Islam ditolak kerana tidak mempunyai Bahasa Arab.

“Saya amat kecewa masa itu, tetapi saya pujuk hati mengatakan ada kebaikan di sebalik kepedihan itu. Lantaran peluang ini tidak saya lepaskan begitu sahaja dan berusaha serta memastikan ruang dan peluang ini digunakan sepenuhnya.

“Setakat ini saya banyak bergantung kepada pensyarah kerana kami kekurangan bahan dan kamus bersuara, memandangkan ini adalah program sulung di sini. Di samping terpaksa meminta bantuan teman-teman normal kerana mereka sudah menguasai bahasa Arab.

“Masalah yang paling ketara adalah kesukaran mendapatkan bahan lain untuk kembangkan kemahiran bahasa kerana bahan dalam bentuk braille adalah terhad.

“Kebolehan menghafaz al-Quran ini adalah sesuatu yang unik dan tidak semua orang boleh menguasainya, apatah lagi bagi insan seperti kami. Jadi, perancangan masa depan saya ialah menamatkan pengajian peringkat diploma. Kemudian, habiskan 30 juzuk dengan menghafaz sekali,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Tunku Abdul Malik, Alor Merah, Alor Setar, Kedah ini.

Hendak seribu daya

SEBELUM ini, dia mampu berlari dan bermain bola sepak dengan teman-teman dan menikmati keindahan alam sekeliling. Namun apabila nikmat itu ditarik Allah secara tiba-tiba, Wan Mohd. Fadhil Wan Pauzi, 22, bagai layang-layang putus tali.

Anak muda kelahiran Kota Bahru, Kelantan ini hilang keyakinan diri, malu, rendah diri dan lebih suka menyendiri. Kehilangan salah satu pancaindera utama itu bagai merentap ‘roh’ dan semangat muda dalam diri remaja yang suatu ketika begitu ceria dan aktif itu. Semuanya kerana tidak menjangka dan tidak bersedia menyebabkan dirinya tertekan.

“Saat hampir-hampir kehilangan deria penglihatan ini, saya telah diberikan tanda-tanda yang ia akan menjadi kekal. Saya masih ingat bagaimana sengsaranya menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kerana terpaksa menggunakan kanta pembesar serta merayu guru pengawas peperiksaan membantu saya membacakan soalan.

“Doktor kata kerosakan mata saya disebabkan kerosakan pada saraf dan saya teruja untuk melakukan pembedahan mata pada 2003. Sayangnya selepas beberapa bulan, pendangan mata semakin teruk dan akhirnya tidak nampak langsung. Saya mengambil masa setengah tahun untuk memujuk diri dan menerima kenyataan dan takdir Ilahi ini.

“Sebenarnya, saya tidak mahu menjadi beban kepada masyarakat dan keluarga.

“Saya bersyukur kerana diberi peluang meneruskan cita-cita, sekali gus berusaha menggunakan segala ruang dan peluang yang tersedia di sini. Inilah tempat paling sesuai untuk saya kembangkan personaliti. Golongan OKUMP juga mampu berjaya dan mereka ini adalah insan-insan yang istimewa,” kata Wan Mohd. Fadhil.

Belakang parang jika diasah akan tajam juga

DISAHKAN buta pada usia 16 tahun, hakikatnya sukar diterima bagi golongan remaja. Apatah lagi, sudah belasan tahun mengenal dan menyaksikan kecantikan dunia ini.

Farhana Ngaspan dilahirkan normal 19 tahun yang lalu. Dia yang sebelum ini rabun sekadar memakai cermin mata untuk menajamkan penglihatan.

Namun, penyakit glaukoma yang dihadapinya dari sehari ke sehari semakin serius dan paling terjejas adalah mata sebelah kanan.

Kini, gadis dari Klang, Selangor ini hanya mampu melihat 50 peratus sahaja.

Pun begitu, ia bukan jaminan kerana penyakit ini boleh semakin teruk sekiranya ia tidak dijaga. Ini kerana ia boleh menjangkit ke mata sebelah pula.

Menariknya, gadis ini sedikitpun tidak menggunakan kekurangan diri sebagai alasan untuk tidak berani mencuba sesuatu yang diakui berat dilakukan.

“Saya tidak mahu terus lemah dan mahu lakukan sesuatu bermanfaat. Lebih-lebih lagi, setelah diberi peluang menyambung pelajaran di sini.

“Walaupun baru dua bulan di sini, saya telah berjaya menghafaz dua juzuk dan semangat itu sentiasa berkobar-kobar untuk membuktikan kepada semua, yang kita boleh.

“Saya juga berharap ilmu yang diperoleh ini akan dapat dikongsi oleh insan senasib yang lain.

“Mungkin kejayaan kami ini akan menjadi role model kepada golongan OKUMP di luar serta ibu bapa tentang kemampuan kami,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kampung Jawa, Klang, Selangor ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: