
TIGA tahun lalu, tidak pernah terlintas dalam fikiran wanita berkulit cerah ini untuk menjadi jurulatih selam skuba. Sewaktu dia mula berjinak-jinak mengenali aktiviti yang banyak didominasi oleh kaum Adam itu, niat asalnya hanya mahu meneroka keindahan alam dasar laut.
Seiring dengan kelembutan naluri kewanitaannya, pengalaman itu mahu dijadikan ilham untuk dicurahkan ke dalam hasil seni kreatifnya.
Zuzila Zain, 41, yang tidak lokek menguntumkan senyuman memberitahu bahawa minatnya dalam penghasilan seni arca dan lukisan telah menjadi pendorong buatnya mengenali aktiviti selam skuba.
"Seni lukisan yang membawa saya ke dasar laut. Dengan cara ini saya dapat berkongsi dengan orang ramai mengenai keindahannya," katanya yang dilahirkan di Kangar, Perlis.
Baginya, apa yang disaksikan di dalam laut akan diterjemahkan semula ke dalam karya seninya.
"Selain itu, saya amat sukakan kanak-kanak dan banyak meluangkan masa bersama mereka melakukan aktiviti seni iaitu melukis.
"Secara tidak langsung, kanak-kanaklah yang mendorong saya menjadi seorang jurulatih skuba," ujarnya yang kelihatan kuyup dengan sut selamnya kerana baru selesai mengadakan sesi tunjuk cara di kolam renang.
Psikologi kanak-kanak
Zuzila yang baru diiktiraf sebagai jurulatih kira-kira lima bulan lalu memberitahu bahawa dia tidak kekok menjadi jurulatih skuba kanak-kanak kerana hubungannya dengan mereka sememangnya rapat.
"Bekerja dengan kanak-kanak dalam kelas seni dan kelas selam skuba membolehkan saya melihat karakter mereka yang berbeza dan ini amat menyeronokkan.
"Lagipun, lebih mudah mendisiplinkan kanak-kanak berbanding orang dewasa. Walaupun mereka ini kecil lagi, mereka tahu apa yang perlu dilakukan dan sangat mematuhi arahan yang diberikan," ujarnya.

Contohnya, setiap kali sebelum memulakan latihan, kanak-kanak itu diminta membasahkan diri dan memanaskan badan dengan berenang terlebih dahulu.
"Mereka mudah memahami tata cara memakai peralatan selam dan menuruti peraturan memasuki kolam secara berpasangan dan bukannya secara berseorangan," jelas Zuzila.
Sebagai jurulatih, Zuzila sedar bahawa tanggungjawabnya bukan sekadar mengajar cara yang baik dan selamat untuk menyelam. Pada masa yang sama, dia perlu mendidik aspek tanggungjawab terhadap alam sekitar dan kepada rakan mereka.
"Untuk menjadi seorang jurulatih skuba, seseorang itu perlu tahu berenang, tidak takut air dan tidak mudah panik selain perlu mendapatkan kursus penyelamat dan kursus mendidik kanak-kanak," terangnya.
Zuzila menjelaskan, hanya dua bulan diperlukan untuk persediaan itu jika seseorang memberikan sepenuh komitmen terhadap latihan.
"Amat memeranjatkan apabila ibu bapa mereka memberitahu bahawa anak-anak mereka menunjukkan perubahan dalam interaksi dengan adik beradik dan keluarga. Mereka lebih bertanggungjawab dan sayangkan keluarga.
"Antara perubahan lain adalah mereka juga bersifat lebih yakin pada diri dan pandai berdikari. Itu yang kita mahukan sebenarnya, semai sikap tanggungjawab semasa usia muda," katanya.
Wanita ini memberitahu, mengajar kanak-kanak lebih mudah kerana mereka tidak takut disebabkan sifat ingin tahu yang tinggi. Sepanjang pemerhatiannya, kanak-kanak perempuan dilihat lebih berani berbanding kanak-kanak lelaki.
Bercerita tentang pengalamannya menyelam, Zuzila menyifatkan pemandangan dasar laut di Malaysia adalah yang terbaik di dunia.
"Bagi saya melihat keindahan batu karang yang berwarna-warni dan menikmati alam semula jadi memberikan inspirasi untuk saya berkarya," katanya yang akan mengadakan pameran lukisan karya-karya ilham dasar laut Julai ini.
Berbanding Zuzila, 'sifunya' Zanarita Nasir, 39, mula berkecimpung dalam dunia skuba sejak dia berhijrah ke Pulau Tioman pada tahun 2003 selepas jatuh cinta dengan keindahan dan kedamaian tinggal di pulau tersebut.
Anak ketiga daripada lima beradik kelahiran Johor ini mula menjadi jurulatih selam kanak-kanak sejak awal tahun 2007 dan menjadi jurulatih selam laut lepas pada awal 2008.
![]() |
| MENURUT Zuzila, kanak-kanak cepat memahami cara dan peraturan selam skuba lantaran sifat ingin tahu mereka yang tinggi. |
Kenangan menyelam
Baginya, dengan menjadi jurulatih, dia boleh mengajak lebih ramai orang menyertai aktiviti ini terutamanya kanak-kanak dan wanita.
"Mempelajari selam skuba tidak rumit dan susah. Hanya perlu mengikut peraturan yang betul. Ia bukan sahaja satu aktiviti yang menyeronokkan dan selamat, malah ia berkonsepkan pelajaran kerana setiap kali menyelam kita akan belajar sesuatu yang baru terutamanya apabila mengenali jenis terumbu karang dan jenis-jenis ikan.
"Kekuatan mental dan fizikal perlu ada dalam diri setiap individu yang melibatkan diri dalam aktiviti skuba. Selain itu, jumlah selaman juga penting untuk kutip pengalaman dan dalam masa yang sama ia dapat memahirkan seseorang penyelam," ujarnya.
Walaupun sudah berpengalaman luas dalam bidang ini, Zanarita punya memori pahit yang tidak dapat dilupakan. Dia pernah ditinggalkan oleh bot di laut lepas gara-gara pasangan selam telah meninggalkannya dan jurumudi bot pula tidak peka pada bilangan penumpang yang dibawanya.
Insiden di perairan Sabah dekat Taman Tunku Abdul Rahman, Pulau Mamutik pada tahun 2006 itu menyebabkannya terapung-apung dan dipukul arus kuat selama setengah jam. Mujur akhirnya dia dijumpai kumpulan penyelam lain lalu membawanya pulang.
"Banyak cabaran harus ditempuhi untuk menjadi jurulatih selam skuba. Yang penting, kita kena bekerja keras untuk buktikan bahawa wanita Melayu pun boleh berjaya dalam bidang ini.
"Saya juga perlu banyak bersabar dan ikhlas ketika mengajar terutamanya apabila mengajar kanak-kanak memandangkan ibu bapa menaruh harapan kepada jurulatih sepenuhnya," katanya.

Wanita yang dibesarkan di Kuala Lumpur ini bertekad dalam diri untuk melahirkan lebih banyak jurulatih skuba tempatan selepas melihat ramai warga asing bekerja sebagai jurulatih tanpa permit.
"Saya berharap lebih ramai wanita menyahut cabaran untuk berjinak-jinak dalam aktiviti selam skuba dan dalam masa yang sama memeriahkan industri selam skuba di Malaysia.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: