Friday, April 23, 2010

Pemilihan huffaz makin sengit


Tenaga pengajar kelas Kursus Intensif Bahasa Arab dikendalikan oleh Mohd. Pakhruddin Abdullah.


Tenaga pengajar kelas Kursus Intensif Bahasa Arab dikendalikan oleh Mohd. Pakhruddin Abdullah.SEJARAH mencatatkan golongan huffaz pada zaman Rasulullah SAW menghafaz kalamullah secara musyafahah (tanpa melihat mushaf).

Justeru, kaedah ini menjadi wasilah yang mampu dipraktikkan oleh Orang Kurang Upaya Masalah Penglihatan (OKUMP) untuk menghafaz al-Quran.

Menyedari masih belum terdapat institusi pengajian tinggi kerajaan yang menawarkan kursus tahfiz al-Quran kepada golongan ini, maka Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Darul Quran (DQ) mengorak langkah, sekali gus melakar sejarah dengan mewujudkan program Pensijilan Tahfiz Al-Quran bagi OKUMP. Ia adalah satu-satunya program secara formal ilmu tahfiz kepada OKUMP di Malaysia.

Menurut Ketua Penolong Pengarah (Akademik) DQ, Mat Lazim Hassan, seramai 18 pelajar baru ini mendaftar pada program Pensijilan Tahfiz al-Quran bagi OKUMP pada 30 Disember 2008 di Kampus DQ, Kuala Kubu Bharu. Sesi pengajian mereka adalah enam bulan bermula Januari 2009.

Katanya, kini telah ada pengambilan kali kedua yang bermula Februari lalu dan dijadual tamat pada Ogos ini. Untuk pengambilan terbaru, lima pelajar berjaya melepasi syarat kelayakan.

"Mungkin nampak ketara dari segi pengurangan jumlah pelajar, namun memandangkan kita telah ada pengalaman sebelum ini, jadi kita memilih pelajar-pelajar yang benar-benar memenuhi kriteria, seiring dengan memastikan aspek kualiti pelajar.

"Program sulung ini adalah ilham mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, rentetan program Pertandingan Hafazan al-Quran di kalangan OKUMP di ILIM, Bangi, Selangor, beberapa tahun lalu," kata beliau kepada Mega, baru-baru ini.

Selain platform kepada OKUMP menceburi bidang tahfiz secara formal, ia menyediakan peluang kepada mereka melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, maka diwujudkan program Intensif Bahasa Arab.

"Program ini melayakkan pelajar OKUMP berusia 18 hingga 30 tahun yang terpilih daripada program pensijilan mengikuti program peringkat diploma bersama pelajar-pelajar normal yang lain di DQ.

"Ini kerana antara syarat untuk ke peringkat diploma adalah kredit Bahasa Arab. Oleh itu, kita sudah ada lapan pelajar lulusan daripada program pensijilan tahfiz al-Quran sesi pengambilan pertama sebagai perintis program ini.

"Apa yang diikuti menerusi kursus intensif ini adalah setaraf dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

Walau bagaimanapun, program enam bulan ini tidak secara totalnya melayakkan mereka meneruskan pengajian ke peringkat diploma.

"Mereka perlu melalui temuduga sebagai memenuhi syarat kemasukan untuk program Diploma Tahfiz al-Quran Wal Qiraat," kata Mat Lazim, pengajian peringkat diploma tersebut akan bermula 2 Mei ini.

Kata beliau, 10 pelajar yang tidak terpilih ke program intensif ini, akan dianugerahkan Sijil Tahfiz al-Quran OKUMP serta sijil penyertaan sejurus tamat kursus enam bulan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: