![]() |
| Anda dilayan bagaikan tetamu kehormat. |
SELAMAT datang ke Malay Village." Kata-kata manis dengan senyuman mesra daripada pekerja restoran menggamit para pengunjung memasuki gerbang restoran yang bersinar dengan hiasan lampu berwarna-warni.
Sebaik kaki melangkah masuk, penulis bagaikan terpukau melihat keindahan panorama yang mendamaikan dengan hiasan pokok-pokok hijau di samping gemerlapan cahaya neon yang mengasyikkan.
Dengan layanan ala tetamu kehormat (VIP), pengunjung akan dibawa ke meja yang disediakan.
Namun, sedikit menggusarkan fikiran penulis apakah harganya mungkin semahal dengan layanan yang diberikan. Ditambah pula suasana ala taman bertaraf restoran lima bintang.
Tapi sebaik sahaja menerima menu, penulis agak terkejut kerana harganya lebih murah daripada yang dijangkakan dengan lebih 120 menu masakan dan 100 jenis minuman tersedia jadi pilihan.
Menerusi harga semurah RM5 hingga RM30, pengunjung dapat menikmati pelbagai jenis makanan masakan Melayu, Thai, Nyonya, makanan laut, Cina dan Barat.
Untuk pemanis mulut mulut pula disediakan n adalah cendol durian, sarang burung dan agar-agar laut.
Pengarah restoran, Hamimah Hussin berkata, sengaja memilih konsep restoran dalam taman yang menjanjikan suasana mendamaikan dengan hiasan pokok-pokok herba serta bunyian air pancut yang menjadi halwa telinga.
''Kita bukan saja menerapkan suasana hijau di restoran ini tetapi harganya yang murah dan berpatutan sesuai dengan semua golongan masyarakat," katanya.
Terletak kira-kira tiga kilometer dari Johor Bahru dan 500 meter dari Dataran Bandaraya, restoran ini satu-satunya mengamalkan konsep kehijauan.
''Saya sukakan suasana hijau, sebab itulah restoran ini saya terapkan elemen-elemen pokok dan air kerana ia menenangkan terutama ketika menikmati makanan bersama keluarga dan teman-teman," kata ibu kepada empat orang anak ini.
Mula beroperasi pada 23 Januari 2010, Malay Village memulakan perniagaan seawal lapan pagi dengan juadah sarapan pagi antaranya ialah nasi lemak Malay Village, roti bakar telur dan pelbagai jenis kuih muih serta roti canai.
Dengan hanya RM3 pengunjung juga boleh menikmati satu set roti bakar serta telur dan segelas teh atau kopi yang pasti mengenyangkan.
Kata Hamimah, untuk sajian tengah hari pula pengunjung boleh memilih hidangan secara ala carte atau bufet.
Antara hidangan yang menjadi kemestian ialah nasi beriani Malay Village, sotong dan udang bakar, siakap stim teo cho, mi Kantonis, pari bakar bersambal, chicken chop grill, fish & chip, lamb chop dan sebagainya.
Bukan setakat menikmati hidangan yang lazat dan suasana mengujakan tetapi halwa telinga pengunjung turut dihiburkan dengan alunan angklung mainan Malek Razali pada setiap hujung minggu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: