Monday, April 12, 2010

Mahkota rockers ranggi


RAMBUT gaya rock sebenarnya sesuai untuk apa jua majlis yang dihadiri.


DENGAN penampilan bertema rock, seseorang wanita yang artistik pasti akan melengkapi imej dengan dandanan yang bersesuaian.

Pokok pangkalnya, rambut perlu diurus dengan rapi dan diberi penjagaan sewajarnya agar aset wanita itu kelihatan sihat sekali gus si empunya diri tidak kekok sewaktu berada di hadapan orang ramai.

Pesona wanita bukan hanya bergantung dari aspek pemakaian semata-mata. Sama seperti fesyen yang disarungkan ke tubuh, begitu juga dengan gaya rambut yang kerap berubah-ubah.

Menurut pendandan rambut terkenal dari Jepun, Yutaka Kanai, pengubahsuaian rambut yang ditonjolkan wanita membuat mereka kelihatan luar biasa dan dikagumi.

"Apa yang ditonjolkan saya dalam acara ini merupakan trend baru gaya rambut seperti selebriti rock. Sebelum ini ada antara kaum wanita masih ragu-ragu sama ada rambut mereka boleh atau tidak dilakukan sebegitu," ujarnya.

"Memandangkan ada yang berambut panjang dan pendek, itu yang mereka takut untuk membuat perubahan. Bagaimanapun, tidak kira macam mana sekali pun gaya rambut anda, fesyen rock masih boleh dilakukan," katanya dalam pertunjukan Fesyen Rambut Shiseido baru-baru ini di ibu negara.

Potongan ala rock bagi mereka yang berambut pendek sebenarnya banyak menggunakan bantuan produk kecantikan seperti wax atau semburan rambut. Dengan menggunakan dua produk tersebut, ia sudah boleh membantu seseorang tampil lebih menawan.


PENGGAYA rambut, Kim Lau, tidak ketinggalan mempamerkan kemahirannya.


"Ambil wax, kemudian gunakan hujung jari anda untuk mengasak hujung rambut seperti gaya seorang bintang rock. Jangan lakukannya dengan kemas tetapi anda serabutkan gaya itu," katanya memberi tip.

Sementara itu, bagi mereka yang berambut panjang pula, kelebihan yang mereka memiliki sebenarnya lebih ringkas berbanding individu berambut pendek. Gunakan pengering rambut dan sikat sudah memadai.

Namun, perlu diingatkan sebelum menggunakan pengering rambut, anda perlu mengusap pelembap terlebih dahulu supaya rambut tidak mudah kering dan rosak.

Antara petua yang diberikan oleh Yutaka untuk mengerbangkan rambut dengan ketara adalah dengan menggunakan sikat besar.

"Sikat kecil boleh digunakan tetapi hasilnya rambut anda tidak terlalu mengerbang. Caranya nampak mudah namun sukar apabila anda melakukannya sendiri. Anda perlu tarik dan gosok rambut tersebut.

"Akhir sekali sembur sedikit rambut dengan produk terpilih sebelum mengakhiri langkah dengan menggunakan pengering rambut sebagai pengekal rupa bentuknya," katanya.

Dalam pada itu, trend mewarnakan rambut dengan memilih warna perang adalah lebih selamat. Warna lain seperti ungu, hijau atau merah sebenarnya tidak akan tahan lama kerana lama-kelamaan anda akan mudah bosan.


MENYISIR dengan sikat atau tangan jika perlu untuk memperkemas penampilan akhir.


Lagipun, warna keperangan merupakan warna yang digemari oleh semua kaum wanita mahupun jejaka. Malah, warna itu juga amat sesuai dengan warna kulit golongan Asia.

"Bukannya warna-warna funky yang lain tidak boleh dicuba tetapi mungkin ia tidak sesuai dengan gaya kerja, warna kulit atau penampilan seseorang," terangnya mesra.

Ketika persembahan itu berlangsung, kemunculan Yataka sememangnya dinanti-nantikan oleh peminat apabila dengan sekelip mata sahaja lelaki berusia 47 tahun itu dapat mengubah gaya rambut seorang model di atas pentas.

Tidak ketinggalan barisan pendandan rambut tempatan yang diberikan peluang untuk mendandan beberapa model di belakang pentas terlebih dahulu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: