Monday, April 12, 2010

Seru perpaduan Michel


LUKISAN Michel bertajuk In the Name of Religion mengangkat konsep perpaduan walaupun rakyat terdiri daripada pelbagai agama.


BERMULA dengan pertemuannya bersama Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Mohamad dua tahun lalu di Marseille, Perancis ia membuka pintu hati Michel Anthony untuk pulang melawat tanah air.

Anak Malaysia yang sudah menempa nama dalam bidang seni dan ukiran itu pulang membawa hasilnya sambil menyahut seruan kerajaan untuk terus membudayakan 1Malaysia di kalangan rakyat pelbagai bangsa.

Jika disebut Michel Anthony di kalangan rakyat Malaysia nama itu mungkin kedengaran agak janggal, namun Michel sebenarnya sudah cukup harum di benua Eropah dalam bidang seni.

Menyingkap sejarah perjalanan hidupnya ketika zaman kanak-kanak, beliau menjadikan kepayahan hidup sebagai dorongan untuk beliau berjaya melakar nama di persada antarabangsa.

Menceritakan perjalanan hidup anak penoreh getah yang lahir di Beruas, Perak itu, mungkin ramai yang tidak percaya ketika zaman kanak-kanaknya dia terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti sekolah ketika berusia 13 tahun.

"Masa itu saya amat berat hati untuk memberitahu ayah bahawa saya ingin berhenti sekolah untuk membantu dia bekerja, tapi saya terpaksa melakukannya kerana hidup kami sangat susah.

"Walaupun pilihan saya untuk berhenti sekolah adalah salah tapi saya bersyukur kerana saya kini berjaya dalam bidang seni sekarang," jelas beliau yang pernah membesar di Sungai Siput, Perak ketika zaman kanak-kanaknya.

"Saya kemudian bekerja di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang bagi mencari tapak yang sesuai untuk saya mencari rezeki bagi menampung keluarga di kampung," ungkapnya.

Bermula pada tahun 1979 hidupnya mula berubah apabila berhijrah ke Eropah. Rentetan perjalanan dunia seninya bermula dari situ, apabila beliau bekerja sebagai pembantu peribadi dengan seorang pereka fesyen di Milan, Itali, Ken Scott.

Belajar malam

Demi mencapai cita-cita untuk menjadi seorang yang lebih berjaya, beliau tekad untuk mengambil kelas seni di sebuah akademi Scuola Breara dell Arte pada waktu malam selepas bekerja di butik pereka itu pada waktu siang.


MICHEL memberikan penjelasan mengenai lukisannya bertajuk Arbre Ardent.


Bermula dari situ beliau kini menyertai pelbagai projek pameran lukisan dan ukiran di seluruh dunia bagi mengenengahkan hasil seninya seperti pameran Amici Dei Artiste pada tahun 1990, di Milan; Exposition International Kobe 2006 di Jepun; Accademia Internationle Santarita Villa Tesoriera di Torino, Itali dan banyak lagi.

Michel yang kini berusia 52 tahun menjadikan gurunya, Ken Scott dan Susan Nevelson iaitu anak perempuan kepada pengukir tersohor pada abad ke-20 iaitu Louise Nevelson sebagai idola untuk dia lebih berjaya mengharungi dunia artis.

Saat diajukan soalan mengenai perkara yang paling dirinduinya di Malaysia, beliau dengan bersemangat menyatakan bahawa tekaknya sentiasa teringatkan masakan tempatan seperti roti canai, masakan kari dan nasi lemak selain hidangan paling dirinduinya iaitu kuetiau goreng.

Hidup menduda selepas kematian isteri dan tidak dikurniakan cahaya mata, Michel tidak berhasrat untuk berkahwin lagi kerana beliau hanya ingin terus memberi perhatian serius untuk menyatukan seluruh masyarakat dunia melalui hasil karyanya.

Dengan semangat itulah, beliau dibawa Menara Kuala Lumpur untuk kembali ke Malaysia bagi menjayakan Pameran Seni Arca dan Lukisan Kontemporari sebagai tanda cinta dan penghargaan beliau kepada tanah air.

Pameran solo beliau yang mengenengahkan budaya 1Malaysia berlangsung di Kampung Budaya, Menara Kuala Lumpur baru sahaja tamat 4 April lalu.


KARYA khas hasil seni Michel untuk Menara Kuala Lumpur.


Sebanyak 15 lukisan dan sembilan buah ukiran gangsa dipamerkan antaranya lukisan bertajuk Arbre Ardent, In the Name of Religion, Quest for Reason, Universal Humanity, What's the Difference!, Marilyn, Unity dan Open Spirit.

Sambil memegang salah satu ukirannya yang bertajuk Bangsa Bersatu atau Unity, Michel memberi penjelasan mengenai kepentingan perpaduan di kalangan rakyat yang seharusnya dipelihara bagi menjamin kemakmuran sejagat.

"Jangan jadikan warna kulit, agama dan bangsa sebagai sebab untuk kita bergaduh, meminggirkan atau menjatuhkan sesama kita kerana kita akan kuat bila kita bersatu padu. Bagi saya keunikan Malaysia terserlah dengan keharmonian pelbagai kaum yang ada," ujarnya yang kini menetap di Nice, Perancis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: