![]() |
| RICHIE mahu terus menyanyi selagi hayatnya dikandung badan. |
UNTUK seseorang artis bertahan sehingga empat dekad bukan satu tugas yang mudah. Mereka perlu menempuh pelbagai rintangan dan cabaran serta pengorbanan yang bukan sedikit untuk mencapai ke puncak.
Lebih penting, seorang seniman memerlukan keikhlasan dan kejujuran serta memiliki minat yang mendalam terhadap karier mereka.
Itulah yang digambarkan oleh penghibur unggul antarabangsa, Lionel Brockman Richie atau lebih dikenali seantero dunia sebagai Lionel Richie apabila ditanya tentang karier seninya.
Kata bekas vokalis kumpulan The Commodores ini, selama 40 tahun menyanyi dan menghiburkan peminat serta masyarakat, dia tidak pernah berasa penat.
Sebaliknya, dia sering teruja dan gembira setiap kali muncul di pentas menghiburkan peminat-peminatnya.
"Jalan ini yang saya pilih dan jauh sekali untuk saya rasa menyesal. Saya menikmati pelbagai kejayaan yang tidak pernah saya idamkan selama ini menerusi seni.
"Seandainya saya sudah mati dan diberikan peluang sekali lagi untuk hidup, jalan ini juga yang saya pilih.
"Begitu juga kalau saya dihidupkan kembali, saya akan tetap memilih untuk menjadi Lionel Richie dan bukan orang lain," demikian jawapan Richie menggambarkan perjalanan seninya.
Anak kelahiran Tuskegee, Alabama, Amerika Syarikat (AS) ini ditemui pada sidang akhbar sempena persembahannya untuk malam gala Perlumbaan Grand Prix Formula 1 (F1) di Hotel JW Marriott, Kuala Lumpur minggu lalu.
Sebetulnya, kehadiran Richie ke negara ini adalah yang kedua selepas tahun 2006 bagi acara yang sama.
Keramahan Richie turut membawa beliau mendedahkan bahawa tiada sebarang rahsia yang membuatkan dia mampu bertahan selama empat dekad.
"Apabila kita melakukan dengan penuh minat, anda tidak akan berasa bosan dan anda mahu terus melakukannya sepanjang hidup anda.
"Malah, saya sempat bertanya kepada Sir Paul McCartney baru-baru ini tentang perkara yang sama.
"Jawapannya juga sama dengan saya. Semuanya perlu ada kecintaan dan minat yang mendalam terhadap kerja kita," ujar penghibur yang dilahirkan pada 20 Jun 1949 ini.
Biarpun penyanyi silih berganti, bagi Richie itu bukan persoalan besar.
Sebaliknya, dia bangga melihat ramai penyanyi yang lahir serta memiliki bakat yang tersendiri.
Biarpun begitu, satu yang pasti jelas Richie, sehingga kini tiada sesiapa yang boleh menggantikan tempat sahabat karibnya, Michael Jackson yang meninggal dunia pada 25 Jun tahun lalu.
Baginya, fenomena yang dicetuskan oleh Jackson luar biasa dan penghibur itu merupakan sebutir bintang yang akan tidak akan berhenti kerdipannya.
"Saya merupakan antara individu yang menyaksikan bagaimana Jackson membesar dengan evolusi muzik yang dilahirkannya.
Muat turun
"Bermula dari zaman The Jackson Five sehinggalah dia bergelar penyanyi solo, muzik adalah nadinya.
"Dia tidak pernah merungut terhadap kerjayanya sebaliknya dia fokus dan tahu apa yang dia lakukannya.
"Kerana itulah dia terus berjaya sehingga ke hujung nyawa. Bagi saya, tiada siapa yang mampu menggantikan tempatnya," ujar Richie yang merupakan komposer bersama Jackson mencipta lagu keramat, We Are The World, 25 tahun lalu.
Kolaborasi itu berjaya meriah empat anugerah Grammy pada tahun 1986 termasuk Rekod Terbaik, Lagu Terbaik, Persembahan Vokal Pop Duo atau Berkumpulan Terbaik dan Video Muzik Pendek Terbaik.
Dalam nada bersyukur, Richie menyifatkan emosi dan jiwa lagu tersebut berjaya mencengkam masyarakat dunia dalam menyampaikan mesej kemanusiaan.
Malah, Richie juga gembira apabila lagu tersebut dirakamkan semula dalam versi baru yang diberi judul We Are The World 25 for Haiti khusus untuk mangsa-mangsa gempa bumi Haiti, baru-baru ini.
Sebagai orang lama dalam industri, pelantun lagu Truly dan Hello ini berhak untuk memperkatakan tentang industri muzik hari ini yang semakin kompleks.
"Jika hendak dibandingkan sedekad atau dua dekad yang lalu, semuanya mengenai rekod dan album fizikal yang dapat kita pegang dan belek.
"Tetapi, kini semuanya berubah. Anak-anak zaman ini hampir tidak dapat melihat semua itu lagi kerana mereka lebih gemar muat turun untuk menikmati muzik.
"Saya percaya bukan semua suka dengan teknologi moden hari ini kerana masih ada yang sukakan album fizikal.
"Seandainya masa dan keadaan menuntut semua pihak harus akur dengan situasi itu, saya sebagai penyanyi lama tidak mampu berkata apa," kata penghibur yang sudah merakamkan sembilan buah album solo ini lagi.
Biarpun perlu berdepan dengan situasi tersebut, Richie tidak berputus asa dan mahu terus merakamkan album.
Tahun lalu, dia muncul dengan album Just Go yang ditangani penerbit-penerbit handalan seperti Akon, Ne-Yo dan StarGate.
Untuk album terbarunya nanti, dia mahu beralih ke muzik country - genre yang belum pernah diterokanya.
Rasional Richie amat mudah. Country menjadi pilihannya kali ini adalah kerana dia dibesarkan di Alabama yang cukup kuat pengaruh muzik berkenaan.
Apatah lagi, dia pernah dicalonkan untuk dua kategori dalam Anugerah Akademi Muzik Country pada tahun 1980 menerusi hasil komposisi bagi lagu Lady nyanyian Kenny Rogers.
"Tetapi, muzik country yang saya mahu hasilkan akan disuntik dengan elemen baru dan saya percaya ia pasti akan memberikan dimensi baru kepada karier seni saya," jelas Richie yang pernah memenangi Oscar bagi kategori Lagu Tema Asal Terbaik menerusi lagu Say You, Say Me yang menjadi lagu tema filem White Nights.
Pada masa yang sama, Richie kepingin mengadakan konsert pertemuan semula bersama The Commodores dan jelasnya, ia berkemungkinan besar akan direalisasikan.
"Kami tidak berkesempatan mengadakan konsert terakhir sebelum membawa haluan masing-masing. Memang perancangan itu ada tetapi tunggu sahaja nanti," katanya tersenyum.
Mengulas persembahan Richie yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, malam Jumaat lalu, memang tidak dapat dinafikan aura dan karismanya sebagai seorang penghibur masih utuh.
Richie cukup bertenaga pada usia 60 tahun. Tenaganya mengalahkan penyanyi muda ketika menghiburkan lebih 1,000 tetamu.
Persembahannya menghiburkan. Apa yang menarik sepanjang satu setengah jam Richie menyampaikan hampir kesemua lagu-lagu popularnya.
Memang panas dan hangat Dewan Plenari dengan persembahan Richie yang tidak membosankan itu.
Richie bijak membahagikan segmen nyanyiannya untuk menstabilkan momentum audiens yang rata-rata cukup teruja dengan persembahannya.
Kualiti vokalnya masih lagi ampuh dan jelas kedengaran seperti di dalam cakera padat saat dia mengalunkan lagu-lagu seperti Easy, Truly, Ballerina Girl, Stuck On You, Three Times A Lady, I Called It Love, Hello, Lady dan Still.
Emosinya dalam lagu-lagu tersebut cukup membuai jiwa dan berjaya membangkitkan rasa romantis di dalam dewan.
Malah, sempat juga dia mendendangkan lagu Endless Love nyanyian asalnya bersama Diana Ross di mana bahagian Ross dinyanyikan oleh audiens.
"Anda semua memang hebat sampaikan bahagian saya pun anda nyanyikan sekali," gurau Richie sambil disambut dengan hilai tawa penonton.
Apabila dia membawakan lagu-lagu rancak popularnya seperti Dancing On The Ceiling, Running With The Night dan All Night Long (All Night), penonton terus bingkas bangun dan menari mengikut ritma lagu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: