Monday, April 5, 2010

Koleksi idaman wanita


Kurung moden hijau pucuk pisang dengan deretan permata berkilat di dada menjadikan si pemakai tampak anggun.


Tidak perlu mengambil nama yang ala kebaratan untuk koleksi pakaian wanita yang dikeluarkannya. Nama Idaman Hawa sudah cukup membawa pengertian yang besar - ringkas, mudah disebut dan sedap didengar.

Walaupun bagi sesetengah orang, koleksi ini masih baru namun sebenarnya Idaman Hawa telah sedekad mewarnai dunia fesyen di negara ini.

Diasaskan oleh Jeffrey Arazmi, Idaman Hawa menepati keinginan golongan Hawa di Malaysia yang mahukan fesyen sopan, selesa, anggun, feminin dan boleh digayakan di banyak tempat.

Memilih fabrik jenis sutera sifon dan sifon yang selesa dan cantik pada badan si pemakai, rekaan baju diperindahkan dengan hiasan atau perincian seperti manik, permata tiruan dan kristal.

Permata tiruan dan kristal yang dijahit pada bahagian bawah dada, lengan atau di bahagian depan baju lebih terserlah pada baju polos tanpa corak.

Sementara baju yang bercorak, diberi kelainan dengan deretan butang bungkus.

Hiasan seperti itu mudah mendapat tarikan di kalangan pelanggan yang mahu mencari pakaian yang nampak berbeza untuk ke majlis.

Pun demikian, hiasan yang sekadar sedikit dan tidak keterlaluan ini juga manis jika dipakai ke pejabat atau acara yang tidak formal.

Mungkin ada yang beranggapan hiasan seperti manik, permata tiruan dan kristal ini sukar dijaga. Sebenarnya cara penjagaannya mudah sahaja kerana boleh dibasuh biasa cuma jangan dimasukkan ke dalam mesin basuh.

Batunya tidak mudah tanggal, tidak berkarat dan boleh digosok dengan cara menterbalikkan baju.

Kata Jeffrey, sebenarnya ada keistimewaan di antara fabrik polos dan fabrik yang bercorak.

Baju yang dibuat daripada fabrik polos tidak jemu dipandang dan boleh dipakai pada bila-bila masa sementara baju daripada fabrik bercorak menjadi pilihan pada musim perayaan seperti hari raya.

Koleksi terkini Idaman Hawa ialah percantuman dua tona warna baju seperti ungu bersama merah jambu, hijau tua bersama hijau muda, jingga bersama coklat dan merah bersama hitam.

Boleh diperoleh dalam rekaan kurung moden, kurung Pahang, dres panjang dan pants suit, setiap wanita yang bersaiz di antara XS hingga XXL berpeluang menggayakan baju daripada koleksi Idaman Hawa.

Bagi yang bertudung pula, anda boleh memilih tudung Hawa yang sepadan dengan warna baju anda.

1 comment:

  1. baju yang bercorak, diberi kelainan dengan deretan butang bungkus, saya suka..tetapi tidak mahal kos membuatnya

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: