![]() |
| Konsep alam semua jadi dengan elemen laut dan pokok hijau menjadi pilihan Nirul Nizam. |
MEMANG ada kelas kediaman yang dikunjungi penulis untuk memenuhi ruangan Dekor kali ini. Rumah jenis apartmen berkeluasan 1,030 kaki persegi itu ternyata memiliki sentuhan tersendiri.
Memang tidak terluah dengan kata-kata sebaik melangkah ke kediaman milik Nirul Nizam ini.
Jejaka yang berasal dari Jitra, Kedah ini nyata bijak mengadunkan kreativiti dengan minat semula jadinya terhadap lautan.
"Pada mula saya bercadang untuk menjadikan rumah saya seperti Aquaria.
"Bayangan saya untuk mentransformasi dinding rumah utama menjadi akuarium sepenuhnya. Namun ia agak sukar dilaksanakan jadi kesudahannya saya menempah sebuah akuarium khas yang menepati selera," jelas Nirul ketika ditemui di rumahnya yang terletak di Pantai Hillpark, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tidak menafikan cintanya terhadap lautan dan pantai menjadi fokus konsep kediaman yang telah didiaminya sejak empat tahun lalu.
Justeru kebanyakan aksesori di apartmen Nirul adalah batu karang dan siput dengan pelbagai saiz dan bentuk.
"Paling istimewa ialah siput besar yang digantung di ruang tamu utama yang saya beli di Kuching, Sarawak," ujar Nirul, 32, yang berkhidmat sebagai pengawai komunikasi korporat di Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).
Memang Nirul bijak menterjemah minatnya dalam suasana penuh dramatik dan elegan.
Buktinya ruang makan kediaman ini dihias dengan meja berkaki pendek dan menggunakan kertas dinding daripada warna hitam yang bermotif seakan cahaya api.
Apabila lampu candelier ruang makan dipasang, cahaya tersebut akan memantul ke dinding dan seolah-olah api benar-benar 'menghangatkan' ruang makan tersebut.
Tambah Nirul, cermin besar yang diletakkan di ruang makan itu juga mempunyai ceritanya yang tersendiri.
"Apartmen ini memiliki lif yang kecil, tangga juga sempit dan agak susah untuk membawa cermin bersaiz dinding itu ke dalam rumah.
"Sudahnya saya mengambil keputusan untuk mengangkut cermin dengan tali dan dibawa masuk menerusi balkoni rumah.
"Memang kecoh dibuatnya, tetapi cermin tersebut berjaya ditarik menggunakan tali jerami dengan bantuan lapan orang rakan saya," ceritanya.
Bukan setakat cermin, Nirul juga berhadapan dengan masalah untuk membawa masuk sebuah lukisan yang dibelinya di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.
"Saiznya yang besar menyebabkan ia tidak muat masuk ke dalam kereta saya, jadi saya terpaksa meminjam kenderaan pick up rakan untuk membawanya ke rumah, mujur lukisan ini tidak sebesar cermin jadi ia masih boleh dibawa masuk ke dalam rumah," imbas Nirul.
Pemilihan warna biru laut (turqoise) sebagai warna utama dinding rumah adalah satu percaturan berani yang dibuat Nirul. Hasilnya memang mengujakan.
Ruang tamu Nirul juga kelihatan 'hidup' dengan adanya pokok-pokok hidup dan ikan jenis flower horn yang menghiasi akuariumnya.
Kreativiti anak muda ini dibuktikan lagi dengan keunikan jam dinding yang direka sendiri. Begitu juga pada langsir yang direka sendiri.
Ruang balkoni juga tidak dibiarkan kosong, di situ ditempatkan set meja taman dan Nirul mengakui ia salah satu tempat kegemarannya terutama selepas pulang dari kerja.
"Bagi saya kediaman adalah tempat untuk meluahkan segala-galanya, terutama setelah penat bekerja. Sebab itu saya tidak selesa meninggalkan rumah untuk satu tempoh yang lama, jika terpaksa atas urusan kerja saya akan amanahkan seorang rakan untuk mengemas dan menjaga pokok dan ikan saya agar terus segar bernyawa," ujarnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: