![]() |
| Dr. Sharifah Habsah Syed Hassan Shahabudin (kanan) menerangkan kepada Rosmah Mansor dan Shahrizat Abdul Jalil mengenai resolusi konvensyen. |
PERUBAHAN minda, memperkasa diri, mentarbiah keluarga dan semangat kesukarelaan merupakan antara enam resolusi dihasilkan sempena Konvensyen Wanita dan 1Malaysia baru-baru ini.
Konvensyen sehari di Kuala Lumpur itu yang membawa tema 'Memperkasakan Wanita Melalui 1 Malaysia' memberi penekanan kepada peningkatan modal intelektual di kalangan wanita.
Tanpa perubahan minda, wanita yang merupakan aset penting negara tidak mampu mencapai hasrat dan aspirasi kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup yang disasarkan.
Ternyata konvensyen tersebut selain diadakan dengan tujuan memberi tumpuan kepada peranan serta hala tuju wanita dalam melahirkan masyarakat berdaya maju ketika menghadapi cabaran global, ia juga merupakan satu platform di mana suara hati wanita negara ini didengari.
Dalam pada itu, Penaung konvensyen, Datin Seri Rosmah Mansor ketika menyampaikan ucaptamanya turut melahirkan rasa yakin dan berharap agar wanita 1Malaysia akan terus menjadi elemen utama sebagai penjana ekonomi dan menjadi teras terpenting negara.
''Sumbangan mereka (wanita) akan terus mendapat perhatian dan sokongan rakyat serta pemimpin negara.
''Pembangunan modal insan wanita 1Malaysia bukanlah sesuatu yang boleh dipandang rendah atau dipinggirkan.
''Kegagalan untuk membuat pelaburan itu adalah sesuatu yang amat merugikan negara,'' katanya.
Beliau turut menasihatkan agar wanita Malaysia tidak terus bernostalgia dengan kejayaan lampau serta pelbagai jasa yang telah dicurahkan golongan itu kepada negara tanpa mencipta kejayaan baru.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan enam resolusi tersebut merupakan suara hati wanita negara ini yang mahu meningkatkan kualiti hidup.
Tambahnya, rata-rata peserta yang hadir dilihat benar-benar menghayati konsep tersebut dengan merasakan ia sebagai satu konsep penyelamat kepada masa depan negara dan rakyat.
Untuk itu, beliau akan membentangkan resolusi tersebut kepada kabinet secepat mungkin bagi dibincangkan sebelum ia dibawa ke peringkat lebih tinggi agar setiap hasrat tersebut dapat dijadikan kenyataan.
''Kebanyakan idea diberi peserta amat bernas, kreatif serta inovatif dan saya tidak ragu mengatakan bahawa ramai di antara peserta yang benar-benar menghayati konsep 1Malaysia ini.
''Bagi penaung konvensyen ini, Datin Seri Rosmahr turut gembira dengan perjalanan konvensyen ini dan beliau turut berbangga kerana idea-idea yang dizahirkan bersifat realistik untuk dilaksanakan," katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis penyerahan resolusi tersebut di akhir konvensyen.
Resolusi-resolusi tersebut terhasil cetusan suara lebih 1,000 peserta konvensyen berkenaan dan ia telah dibacakan Presiden Pertubuhan Organisasi Wanita Kebangsaan (NCWO), Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Habsah Syed Hassan Shahabudin pada majlis penyerahan resolusi tersebut.
Dengan terhasilnya resolusi tersebut, ia juga secara tidak langsung menunjukkan status wanita hari ini dilihat semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Ini dapat dilihat apabila pelbagai jawatan utama di beberapa kementerian, agensi kerajaan dan syarikat-syarikat swasta diisi oleh kaum Hawa.
Kini sudah tiba masanya, wanita bangun setanding lelaki dalam mengejar setiap peluang yang terbentang di hadapan mata terutama dalam bidang perniagaan dan kerjaya profesional.
Ini semua akan menjadi kenyataan sekiranya kaum wanita terutama di negara ini terus berusaha tanpa jemu di samping meningkatkan modal intelektual yang dimiliki.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: