|
|
PELAKON dan pengarah filem terkenal dari India, Kamal Hassan merupakan nama yang tidak asing lagi dalam dunia perfileman di peringkat antarabangsa termasuklah di negara ini.
Hero popular dalam filem Tamil berusia 56 tahun ini bukan setakat berlakon dan mengarah, tetapi turut menerbitkan banyak filem yang bertaraf pecah panggung di negaranya.
Sebagai penerbit, Kamal sentiasa mencari jalan menambah baik mutu filem-filem terbitannya termasuklah dengan menggunakan kepakaran teknologi daripada karyawan di negara lain.
Karyawan filem berasal dari Paramaku, Madras, India ini misalnya, turut melihat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sebagai badan yang boleh membantunya ke arah tersebut.
Menurut Kamal yang juga pelakon filem Telegu dan Hindi, kunjungan kali pertamanya ke Finas diharap mampu menjalin kerjasama dengan perbadanan itu dalam filem terbitannya pada masa depan.
"Saya anggap kunjungan ini sebagai trip bisnes saya ke Finas dan negara ini. Kalau boleh saya mahu berkongsi pengalaman dengan teknologi yang dimiliki oleh Finas.
"Misalnya berkongsi kepakaran dengan kemudahan Studio Mix Stage milik Finas yang ada di sini," katanya pada sidang akhbar di Finas, Hulu Klang, Selangor baru-baru ini.
Beliau yang berlakon pada usia empat tahun dalam filem Kalathur Kannamma arahan A. Bhimsingh juga membayangkan akan bekerjasama dengan Finas bagi menerbitkan filem secara usahasama.
Antaranya menerbitkan filem yang berkonsepkan Pan Asia yang sesuai untuk dipasarkan di wilayah ini pada masa akan datang.
"Ini adalah antara impian saya sejak dulu. Saya melihat Finas boleh membantu merealisasikannya dengan cara berkolaborasi," ujarnya.
Kamal yang kini sedang menyudahkan pembikinan filem terbarunya berjudul Muruda Nayagam berharap lawatannya ke Finas dan Studio Mix Stage bernilai RM50 juta itu sebagai permulaan.
Jelas pelakon filem Hey Ram, Dasavathaaram, Apoorva Raagangal dan Indian ini akan membuat perbincangan susulan dengan Finas dalam pembikinan filemnya yang seterusnya.
Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim berkata, kunjungan Kamal merupakan antara galakan perbadanan itu dalam usaha menarik pembikin filem luar melabur di sini.
Katanya, ia juga ekoran daripada memorandum persefahaman antara pihak kerajaan menerusi kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib ke India beberapa bulan lalu.
"Kehadiran Kamal ini pun atas jemputan MDEC (Perbadanan Pembangunan Multimedia) yang merupakan antara delegasi negara pada kunjungan tersebut," jelasnya.
Pada kunjungan itu, Kamal dibawa oleh para kakitangan Finas meninjau segala kemudahan perfileman yang terdapat di perbadanan itu termasuklah di Studio Mix Stage.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: