Thursday, April 8, 2010

Taklukan seni Sheila Majid


TIDAK pernah kenal erti putus asa, Sheila Majid masih lagi menaruh harapan untuk beraksi dalam sebuah konsert mega tahun ini.


MENJADI seorang anak seni selama 25 tahun merupakan momen terindah buat Datuk Sheila Majid.

Beliau bersyukur kerana sehingga hari ini muzik dan lagu-lagunya masih diterima dengan baik oleh segenap lapisan masyarakat.

Tetapi, di sebalik kejayaannya sebagai seorang penghibur tersohor negara, jelas Sheila, apa yang dikecapinya hari ini sebenarnya tidak datang bergolek.

Sebaliknya, ia adalah kerja keras serta berkat doa dan restu daripada keluarganya biarpun di awal pembabitannya tidak mendapat sokongan daripada bapanya, Allahyarham Abdul Majid Mohd. Shahid yang meninggal dunia pada tahun 1996.

"Bapa saya memang tidak bersetuju saya menjadi seorang penyanyi kerana dia mahukan anak-anaknya memiliki pendidikan yang tinggi.

"Memang apabila kali pertama saya meluahkan hasrat untuk menjadi penyanyi, dia menentang habis-habisan kerana menganggap ia tidak mampu menjamin masa depan.

"Tetapi, lama-kelamaan dia sendiri menyaksikan kejayaan yang saya kecapi, dia sedar bahawa saya tidak silap percaturan memilih bidang nyanyian sebagai mata pencarian," demikian luahan Sheila atau nama sebenarnya Shahiela Abdul Majid ini menceritakan detik-detik awal pembabitannya dalam bidang seni.

Anak bongsu daripada lapan beradik ini ditemui pada majlis pelancaran album set kotak (box set) sempena ulang tahun ke-25 pembabitannya dalam bidang seni di Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Set itu merangkumi tujuh album Sheila iaitu Dimensi Baru, Emosi, Warna, Legenda, Ratu, Ku Mohon dan Cinta Kita.

Bukan itu sahaja, peminat Sheila yang membeli album set kotak ini juga berpeluang mendapatkan album single yang memuatkan lagu terbarunya, Dengarkanlah.

Cerita Sheila lagi, apa yang membuatkannya bangga dan gembira apabila arwah bapanya berpeluang menyaksikan persembahannya di beberapa buah konsert termasuk di Tokyo, Jepun dan Jakarta, Indonesia.

"Apabila dia melihat bagaimana saya membuat persembahan di hadapan ribuan penonton selain mengecapi nikmat kejayaan lain, dia memang bangga dengan saya.

"Saya bersyukur kerana dia merestui dan menyokong minat saya sehingga saya mampu berdiri sehingga ke hari ini," ujar Sheila yang mula didedahkan dengan muzik sejak kecil dan mengikuti kelas piano pada usia empat tahun.

Pelayaran seni Sheila selama suku abad memang boleh dianggap sebagai kejayaan yang menakjubkan.

Manakan tidak, dia merupakan salah seorang penghibur negara yang mampu menyatukan pelbagai kaum dan bangsa tanpa mengira usia serta latar belakang menerusi muziknya.

Muzik dan lagu-lagunya memang cukup diminati dan sehingga kini, ia masih menjadi siulan ramai sekali gus meletakkannya sebagai antara penyanyi wanita terbaik negara yang pernah dilahirkan.

Kerana itu kata Sheila, dia tidak faham dengan sikap segelintir pihak apabila ada yang cuba mencipta jurang dalam industri muzik tempatan.

Sheila sendiri pernah terkena tempias itu apabila ada yang mengatakan muziknya hanya layak untuk dinikmati oleh sesetengah golongan sahaja.

Bagi wanita genit berusia 45 tahun ini, muzik adalah universal dan ia mampu dinikmati oleh semua pihak tanpa perlu ada rasa prejudis.

menikmati muzik

"Istilah muzik elit, kampung atau urban, pada saya semua itu adalah karut kerana apabila membicarakan tentang muzik, ia adalah tentang minat.

"Bukan semua orang minat pada muzik yang sama. Kalau tidak minat, mereka mempunyai pilihan untuk menikmati muzik yang lain.

"Pada hemat saya, tidak perlulah melabelkan muzik tanpa sebarang alasan kukuh. Kalau mahu tahu, muzik saya pun dinikmati oleh mereka yang berada di luar bandar," ujarnya yang gembira apabila muzik dan lagu-lagunya berjaya dinikmati serta diminati oleh semua lapisan masyarakat di negara ini.

Menyentuh tentang perkembangan terkini projek yang sudah dirancangkan sempena sambutan jubli perak tahun ini, ibu kepada empat cahaya mata ini masih lagi tidak putus asa mencari penaja bagi merealisasikan konsert mega yang diimpikannya.

Walaupun tarikhnya sudah ditetapkan iaitu pada 27 November depan, tetapi masih belum ada tanda positif bahawa konsert itu akan direalisasikan.

Biar enggan meluahkan isi hatinya secara langsung, tetapi daripada nada suara Sheila, dia memang begitu mengharapkan konsert yang dianggap kemuncak sambutan jubli perak itu akan menjadi kenyataan.

"Sehingga kini, saya masih belum putus asa dan saya masih ada lapan bulan untuk memikirkan langkah seterusnya.

"Namun begitu, saya tidak boleh menunggu lama kerana untuk menerbitkan sebuah konsert, ia memerlukan perancangan yang sungguh teliti dan rapi.

"Sudah pasti saya mahukan yang terbaik untuk audiens dan peminat saya kerana saya mahu menyambut ulang tahun ke-25 saya bersama-sama mereka yang menjadi nadi kekuatan saya selama ini," katanya penuh mengharap.

Memang pelik apabila tiada pihak yang mahu menaja sebuah konsert untuk artis ternama dan hebat seperti Sheila Majid.

Tanpa ragu, kalau konsert mega itu berjaya dizahirkan, ia mampu menarik ribuan peminat menonton persembahan Sheila yang tidak pernah membosankan itu.

Malah, sewaktu hari pelancaran juga menjadi saksi dan bukti apabila karisma Sheila sebagai penghibur masih belum hilang di hadapan ratusan peminat membanjiri Pavilion petang itu.

Semuanya hadir mahu menonton Sheila yang menyampaikan tujuh buah lagu dan persembahan Sheila petang itu umpama sebuah konsert mini apabila penonton menyanyi serta berdansa bersamanya.

Memang menyedihkan nasib yang menimpa Sheila dan lebih 'memalukan' apabila pihak luar lebih menghargai Sheila daripada anak tempatan sendiri.

Buktinya, penghibur yang menempa nama menerusi lagu Pengemis Muda ini sudah pun mengesahkan penglibatannya untuk dua konsert besar di Jakarta dan Singapura.

Konsert di Jakarta bakal berlangsung pada 23 September depan manakala di Singapura pula sekitar penghujung tahun ini, di Esplanade Theatre.

Apa yang membuatkan Sheila terharu apabila pihak di Indonesia sendiri sudah memberi senarai lagu dan konsep yang akan dipersembahkan untuk konsert tersebut,

"Semua peluang ini hadir ketika saya membuat persembahan di Festival Jazz Jawa, Indonesia bulan lalu. Memang banyak kertas kerja yang kami terima ketika itu.

"Saya tidak mahu menjadi tamak dan hanya memilih yang terbaik sahaja. Insya-Allah, konsert saya akan diadakan di Pusat Konvensyen Jakarta," jelas penyandang trofi Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik 1997 ini dalam nada teruja.

Menyentuh soal album set kotak pula, Sheila mengucapkan terima kasih kepada Warner Music kerana berjaya memenuhi permintaannya demi peminat yang sudah lama mendambakan album-albumnya.

Penghasilan album berkenaan yang berharga RM99.90 itu cukup memuaskan hati Sheila kerana dia sendiri terlibat dari awal hingga akhir.

"Peminat saya memang sudah lama mahukan album-album lama saya khususnya Dimensi Baru, Emosi dan Warna yang memang sudah tiada lagi di pasaran.

"Jadi, dengan adanya set istimewa ini, mereka boleh menyimpannya sebagai koleksi berharga dan tidak perlu lagi risau untuk mendapat album-album lama saya," katanya yang masih lagi berkira-kira untuk menghasilkan album terbaru apabila memikirkan pasaran muzik masa kini.

Bagi mereka yang mahu mendapatkan album set kotak ini, pastikan anda menyerbu toko muzik berhampiran kerana bilangannya cukup terhad iaitu 3,000 salinan sahaja.

Hits juga difahamkan sebanyak 1,000 salinan pertama sudah habis dijual dalam tempoh tiga hari sejak ia dilancarkan pada 31 Mac lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: