Tuesday, April 6, 2010

Jaga malam tangkap tikus

KALI pertama memburu tikus bandar yang berkeliaran di lorong gelap pada waktu malam memberi pengalaman menarik yang tidak mungkin dapat dilupakan tiga gadis, Nozieakmaar Mohd, 22, Ayli Aziz, 22, dan Norsadzliza Mohd Amin, 21.

PENGALAMAN UNIK...(dari kiri) Norsadzliza, Nozieakmaar dan Ayli  mengumpulkan tikus bandar ketika operasi.
PENGALAMAN UNIK...(dari kiri) Norsadzliza, Nozieakmaar dan Ayli mengumpulkan tikus bandar ketika operasi.
PERLU PANTAS...Nozieakmaar (kiri) dibantu kakitangan MPK menangkap  tikus menggunakan penyauk.
PERLU PANTAS...Nozieakmaar (kiri) dibantu kakitangan MPK menangkap tikus menggunakan penyauk.
Lantaran minat yang menebal terhadap kerjaya di bidang kesihatan itu juga, sifat jijik dan geli terhadap haiwan perosak seperti tikus dapat diatasi dengan mudah tanpa bebanan.


Selama sebulan mengikuti latihan sambil belajar dengan Unit Vektor Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), pelajar Universiti Industri Selangor (Unisel) Shah Alam itu diberi peluang mengikuti operasi musnah tikus di sekitar Kuantan.


Bagi Nozieakmaar, kali pertama mengikuti operasi, dia tidak sanggup memegang tikus yang dianggap jijik.

Namun, perasaan itu hilang dengan sendirinya terutama apabila mendapat sokongan moral daripada kakitangan MPK.


Walaupun hanya ditugaskan untuk mengumpul tikus yang ditangkap, tugas berkenaan dianggap mencabar apabila terpaksa mengutip, mengangkat dan mengumpul bangkai tikus.

"Setiap kali operasi, antara 60 hingga 100 ekor tikus bandar ditangkap. Tikus ditangkap menggunakan penyauk kecil sebelum dimusnahkan dan ditanam di kawasan pelupusan sampah.


"Hampir semua lorong gelap yang menempatkan restoran di bandar Kuantan diselongkar bagi mengesan tikus yang bersembunyi," katanya yang berasal dari Selangor.

Menurutnya, walaupun tugas itu dianggap kotor dan zalim apabila tikus dibunuh dengan cara menghempasnya, demi menjaga kebersihan seterusnya mengelak penyakit berjangkit, tanggungjawab berkenaan perlu dilakukan.


Rakannya, Ayli berkata, sebelum ini dia tidak pernah memegang tikus terutama tikus bandar yang bersaiz besar namun kerana tanggungjawab perasaan geli terpaksa dibuang.


Menurutnya, saiz tikus bandar 10 kali lebih besar daripada tikus rumah, justeru, kerja menangkap haiwan berkenaan memerlukan kemahiran selain kelengkapan seperti penyauk.


"Bau tikus yang busuk dan hanyir sememangnya meloyakan tekak. Saya muntah setiap kali mengikuti operasi terutama apabila haiwan berkenaan mengalami luka dan berdarah.


"Pengalaman tikus lari ke arah saya selain dapat melihat beratus tikus mati dalam satu masa akan menjadi antara kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan," kata anak keempat daripada enam beradik itu.

Dia mengikuti pengajian dalam jurusan Diploma Kesihatan Persekitaran berkata, ini kali pertama dia melihat aktiviti menangkap tikus bandar menggunakan penyauk sebelum melupuskannya.


Bagi Norsadzliza, walaupun hanya ditugaskan sebagai pengutip tikus yang dimusnahkan, itu sudah cukup memberi pengalaman unik dan tidak mungkin dapat dilupakan.


Katanya, perasaan geli dan loya hilang apabila terpaksa mengutip seterusnya mengumpul tikus yang berjaya dimusnahkan walaupun pada peringkat awal sukar untuk melakukan tugas itu.

"Selama sebulan mengikut latihan dengan unit vektor MPK, sebanyak empat kali saya berpeluang mengikuti operasi basmi tikus bandar yang kini menjadi antara musuh utama pihak berkuasa.


"Setiap kali operasi, saya bukan saja ditugaskan untuk mengumpul, tetapi juga diberi peluang memburu tikus di dalam longkang, tempat pengumpulan sampah dan celah lorong.


"Tikus binatang yang cekap dan mudah mengesan kehadiran manusia. Untuk menangkapnya kita perlu mengejar seterusnya menyauk dengan pantas," katanya yang juga berasal dari Selangor.

1 comment:

  1. tul tu tapi ada gok tikus yang baik punya tgk gambar dia kat sini

    http://petai.my/2010/04/15-rekaan-tetikus-bergaya-kreatif/

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: