Tuesday, April 6, 2010

Dua kali ganda lebih hebat


ABDUL WAHID OMAR


KUALA LUMPUR 5 April - Maybank Islamic Bhd. (Maybank Islamic) dijangka mampu mencapai pertumbuhan lebih 18 peratus tahun ini, dua kali ganda berbanding pencapaian perbankan konvensional.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, bagi separuh pertama tahun kewangannya Maybank Islamic telah mencatatkan pertumbuhan 18 peratus dalam segmen pinjaman dan 15 peratus deposit.

''Kami menjangkakan Maybank Islamic terus mengekalkan momentum yang sama atau meningkat lagi dalam tempoh enam bulan akan datang bagi tahun kewangan semasa,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan pembayaran zakat sebanyak RM5.01 juta untuk 14 pusat zakat negeri kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di sini hari ini.

Maybank Islamic telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 18 peratus pada tahun lalu.

Abdul Wahid berkata, unjuran itu dibuat berdasarkan situasi positif ekonomi termasuk pertumbuhan dalam pasaran modal.

Terdahulu, ketika berucap Abdul Wahid berkata, jumlah bayaran zakat meningkat 38 peratus atau RM1.39 juta berbanding tahun kewangan 2008, jumlah zakat tersebut adalah hasil daripada keuntungan operasi Maybank Islamic bagi tahun kewangan 2009.

Beliau menambah, skim perbankan Islam itu mula ditawarkan pada 1993 sehingga penubuhan anak syarikat perbankan Islam, Maybank Islamic pada 2008.

Maybank Islamic bukan sahaja muncul bank Islam komersial terbesar di Malaysia tetapi juga sebuah perbankan Islam terbesar di Asia Pasifik dan di dalam kelompok 15 bank Islam terbesar di dunia.

''Ini dibuktikan dengan pencapaian keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM475.6 juta pada tahun kewangan 2009 serta pertumbuhan aset pembiayaan 18 peratus bagi enam bulan pertama tahun kewangan 2010 kepada RM31.1 bilion.

''Deposit simpanan pelanggan juga meningkat 15 peratus bagi tempoh sama dan berjumlah RM27.9 bilion,'' katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Ibrahim Hassan mengulas mengenai zakat itu berkata, perbankan Islam itu mengeluarkan 2.5 peratus daripada keuntungan sebelum cukai untuk tujuan tersebut.

Katanya, metodologi itu diambil kira daripada pelbagai perniagaan dijalankan dan tahap kemiskinan negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: