jangan lupa klik disini Loading page Loading page

Friday, April 23, 2010

Input baru berita TV9


EMPAT tenaga penyampaian berita TV9. Dari kiri Zuhairah Mustafa Al-Husin, Amin Hayat Abd. Rahim, Norazura Abu Samah dan Syed Mohammad Khair Syed Hussien.


DIAM tak diam sudah empat tahun saluran berbahasa Melayu yang bernaung di bawah payung Media Prima Berhad, TV9 ke udara di kaca televisyen tempatan secara tidak langsung menambahkan lagi 'warna' dalam industri penyiaran negara.

Sepanjang tempoh tersebut pelbagai usaha yang dilakukan oleh saluran yang pada awalnya cukup sinonim dengan tagline Dekat Di Hati itu dalam memenangi hati penonton terutamanya menambah pelbagai variasi dalam intipati program-programnya.

Bukan hanya sekadar program hiburan dan santai semata-mata, informasi terkini seperti berita tidak dinafikan sebagai salah satu elemen yang cukup kuat bagi sesebuah rangkaian televisyen.

Mengorak langkah pembaharuan, selari dengan pertambahan usia rangkaian itu sendiri, memperkenalkan berita tengahari yang bersiaran setiap hari pada pukul 12 tengahari adalah salah satu usaha yang dilakukan oleh TV9.

Dipadatkan dalam durasi selama 30 minit, konsep santai yang diperkenalkan ternyata membawa pembaharuan ketara bagi saluran itu terutama dalam memastikan penonton setianya memperoleh informasi terkini tentang hal-hal yang berlaku dari dalam dan luar negara.

Apa yang pasti, pembaharuan tersebut ternyata menarik minat ramai penonton. Lebih ketara, hanya dalam tempoh lebih sebulan bersiaran, rating semasa yang diperoleh mereka hampir mencecah 300,000 tontonan.

Ini satu jumlah yang cukup membanggakan malah, memberi inspirasi kepada empat penyampai berita saluran itu iaitu Norazura Abu Samah, Amin Hayat Abd. Rahim, Zuhairah Mustafa Al-Husin dan Syed Mohammad Khair Syed Hussien untuk terus bekerja dengan penuh dedikasi.

Ketua Editor Berita TV9, Lokman Hamidi yang ditemui baru-baru ini di Sri Pentas, Bandar Utama, Damansara baru-baru ini memberitahu, pembaharuan yang dilakukan oleh pasukan beritanya di TV9 yang terdiri daripada 23 orang, menterjemah semangat kerja berpasukan yang kuat di kalangan mereka.

Apatah lagi, dalam membentuk pelbagai pembaharuan yang direncanakan, tenaga kerja muda yang kebanyakannya berusia antara 23 hingga 30 tahun yang terlatih hanya dalam masa tiga bulan, menterjemah betapa TV9 komited dalam memberi persembahan yang terbaik kepada penonton khususnya kandungan dalam penyampaian berita.

"Merencanakan berita di waktu tengahari seperti yang telah dilaksanakan sekarang tidak lama. Ia dirancang pada Disember tahun lalu.

"Sebelum ini, berita di TV9 tertumpu pada waktu perdana sahaja pada sebelah malam. Menyedari informasi terkini tentang hal-hal yang berlaku di dalam dan luar negara begitu penting maka kami rasa perlu untuk menambah satu lagi siaran berita pada waktu tengah hari pula," kata Lokman.

Memulakan siaran berita tengah hari pada tanggal 1 Mac lalu, apa yang menarik kemudahan teknologi terkini diaplikasikan sebaik mungkin oleh wartawan siaran saluran itu dalam memastikan bahan yang lebih kemas dan padat sampai kepada penonton.

Ini termasuklah lintas langsung, bualan telefon, audio serta visual bergambar.

Membentuk pasukan kecil yang mampu melakukan pelbagai kerja bukanlah semudah yang disangka.

Dengan hanya memberi kepercayaan penuh kepada empat orang penyampai berita, sasaran yang ditetapkan oleh saluran itu ialah menarik lebih ramai penonton dalam lingkungan usia antara 18 hingga 35 tahun.

Kerana itu, kata Lokman lagi, kandungan berita yang mengambil kira aktiviti yang dilakukan oleh remaja serta hiburan turut dipadatkan dalam dua buletin yang dipertaruhkan itu.

"Saya sering bercakap dengan pekerja di bawah saya, daripada dahulu kita hanya berniaga gerai makan di bawah pokok, kini hasilnya gerai kita sudah mula ada dinding untuk ke arah restoran," kata Lokman mengandaikan perkembangan kandungan berita di saluran tersebut.

Bercerita tentang kandungan berita yang dimuatkan pada waktu tengah hari, biarpun konsepnya lebih kepada santai namun, kandungan berita yang dipersembahkan tetap mantap dan serius serta lebih banyak mendengar tentang pelbagai masalah masyarakat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: