Friday, April 23, 2010

Penghargaan LOG buat Peter Steele


LAMB Of God


KUMPULAN Lamb of God (LOG) sukar untuk menafikan bahawa mereka begitu teruja apabila pertama kali menjejakkan kaki ke Singapura. Apatah lagi, dalam kunjungan itu mereka juga mendapat peluang mengadakan konsert sulung di negara tersebut.

Namun, Konsert Wrath World Tour 2010 itu meninggalkan sedikit kenangan pahit apabila mereka menerima berita kematian penyanyi kumpulan Type O Negetive, Peter Steele pada 14 April lalu iaitu sehari sebelum konsert itu berlangsung.

Kesan dan emosi itu dapat diungkapkan menerusi kata-kata serta gaya persembahan kumpulan yang berasal dari Richmond, Virginia, Amerika Syarikat itu yang begitu meminati serta mengenali penyanyi tersebut.

LOG yang kini sedang mengadakan siri konsert bergerak jelajah ke seluruh dunia itu agak terkejut dengan pemergian Steele sehinggakan salah satu segmen dalam konsert itu disulami dengan iringan petikan gitar secara solo menerusi lagu instrumental berjudul The Passing.

Judul lagu itu yang kebetulan dimuatkan dalam album terbaru mereka berjudul Wrath seakan-akan mempunyai kesinambungan yang tersendiri dalam mengiringi pemergian Steele yang telah terbabit dalam bidang muzik sejak hampir 25 tahun lalu.

Pada konsert yang mengenakan tiket berharga sehingga S$250 dolar (RM575) itu, vokalis LOG, Randy Blythe seakan-akan tidak dapat menahan emosinya saat dia mendapat tahu berita itu, lantas mengumumkannya kepada para penonton malam persembahan itu.

"Kami baru sahaja menerima berita Steele meninggal dunia semalam kerana penyakit jantung. Ini suatu berita yang amat menyedihkan kami kerana beliau amat disegani dalam persada muzik metal.

"Saya secara peribadi mengenali dan meminati Steele dan amat kagum dengan bakatnya dalam bidang muzik selama ini," ungkap Randy sewaktu konsert LOG diadakan di D'Marquee, Downtown East, Pasir Ris, Singapura baru-baru ini.

Pengumuman Randy itu menyebabkan dewan yang dipenuhi sekitar 2,000 penonton itu sunyi seketika seolah-olah tidak percaya dengan berita tersebut selain lampu dipadamkan dan hanya diterangi dengan cahaya pemetik api para peminat semata-mata.

Sebagai pengetahuan umum, Peter Steele yang juga merupakan bekas kumpulan thrash metal veteran dari California iaitu Carnivore bukan sahaja diminati oleh anggota LOG tetapi mendiang juga berbakat dalam bidang lakonan.

Mendiang yang meninggal dunia pada usia 48 tahun juga dikenali ramai menerusi drama bersiri O2 dan juga filem lakonannya berjudul Bad Acid di mana album terakhirnya bersama Type O Negetif ialah Dead Again yang diterbitkan pada 2007.

Cukup serasi

Selepas menghela nafas panjang, Randy dan empat lagi anggota LOB iaitu Willie Adler (gitaris), Chris Adler (dram), John Campbell (bassis) dan Mark Morton (gitaris) kemudiannya meneruskan persembahan mereka dengan lagu-lagu yang dipetik daripada album Wrath.

In Your Words, Set To Fail dan Reclamation merupakan lagu-lagu pada set awal persembahan mereka yang dipersembahkan dengan begitu jitu sekali terutamanya gaya vokal Randy yang pelbagai lontarannya.

Vokalis utama LOG itu misalnya, menukar tonasi dan penyampaian suaranya dalam dua gaya yang berbeza iaitu nada kasar serta disulami jeritan panjang yang menjadikan variasi sesebuah lagu nyanyiannya kedengaran cukup berbeza sekali.

Muzik kumpulan yang ditubuhkan sejak kira-kira 16 tahun lalu itu cukup padat dengan petikan gitar yang amat teknikal skilnya ditambah ketukan dram Chris Adler yang saling beriringan antara satu sama lain.

Kombinasi skil muzik gabungan ketukan dram Chris Adler dan petikan gitar adiknya, Willie Adler seolah-olah cukup serasi bagi melengkapkan permainan lagu-lagu LOG pada malam itu.

Selain terus menerus menghiburkan para peminat mereka yang rata-rata berusia 18 hingga 30 tahun, kumpulan itu menerusi Randy tidak putus-putus melahirkan rasa bangga dan kagumnya dengan sambutan para peminat di Singapura.

"Ini adalah antara konsert kami yang meninggalkan kesan kerana anda semua hafal lirik lagu-lagu kami dan menyanyikannya bersama-sama. Kami sangat bangga dengan sambutan anda itu," katanya.

Kunjungan LOG ke Singapura merupakan antara lokasi jelajah dunia mereka ke-71 tempat di seluruh dunia termasuk Asia, Eropah, Amerika Utara dan Amerika Selatan bagi mempromosikan Wrath yang berada di pasaran pada 24 Februari 2009.

Lagu-lagu lain yang mereka persembahkan pada konsert yang mengambil masa selama satu jam 45 minit itu antaranya berjudul Fake Messiah, Grace, Broken Hands, Dead Seeds, Everything To Nothing dan Choke Sermon.

Selain Wrath, sebelum ini LOG juga pernah menghasilkan album dan album mini berjudul New American Gospel, As The Palace Burn, Terror And Hubris, Ashes of the Wake, Killedelphia, Sacrement dan Walk With Me In Hell.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: