Tuesday, April 6, 2010

Pahit manis pasangan polis


Sebagai isteri, Hannis tidak akan lupa tanggungjawabnya untuk memastikan pakaian seragam suaminya sentiasa kemas.


MEMULAKAN tugas di pagi Isnin sememangnya boleh menyebabkan kebanyakan daripada kita menguap kebosanan kerana masih terpengaruh dengan kesan cuti hujung minggu.

Tetapi senario itu tidak berlaku suatu ketika dahulu terhadap para pegawai penyiasat khususnya golongan lelaki di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul yang begitu bersemangat.

Ia kerana mereka mendapat tahu pada hari tersebut, seorang pegawai penyiasat muda wanita akan memulakan tugas di IPD tersebut.

Berita kemasukan pegawai wanita berpangkat Inspektor, berusia 21 tahun ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik itu sememangnya begitu cepat tersebar di seluruh bangunan IPD.

Ramai ingin tahu perihal anak gadis kelahiran Terengganu iaitu Hannis Faizura Mustafa (kini berusia 25 tahun) itu.

Akhirnya, setelah kelihatan di depan mata, rupa-rupanya Hannis itu sememangnya cantik dan manis orangnya, sekali gus membuatkan senior-senior lelaki berebut-rebut ingin memberikan tunjuk ajar.

Antaranya, Inspektor Mohd. Aswad Md. Saad, 27, jejaka kelahiran Alor Setar, Kedah yang bertugas sebagai pegawai penyiasat di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial.

Lantas timbul di hati Mohd. Aswad yang masih bujang itu untuk membuat 'tempahan' dan mendahului pesaing-pesaing lain.

Namun segala-galanya tidaklah begitu lancar untuk beliau. Baru sahaja hendak berkenalan dengan gadis pujaannya itu, diterimanya pula surat pertukaran ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Sebelum terlambat, Mohd. Aswad terpaksa menggunakan segala 'kelicikan' dan 'kepakaran' sebagai seorang pegawai penyiasat untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) misteri kepada Hannis tanpa memperkenalkan siapakah dirinya. Taktik itu nampaknya berkesan dalam tempoh hanya sebulan.

"Saya sekadar menamakan diri saya sebagai 'peminat misteri' bertujuan untuk membuatkan Hannis tertanya-tanya. Lama-kelamaan, akhirnya dia tahu siapa saya dan dari situ cinta mula berputik.

"Kami kemudian mula berpacaran dan semakin mesra di antara satu sama lain, sering keluar bersama untuk makan dan menonton wayang," kata Aswad bersama Hannis yang ditemui Mega di IPD Sentul, minggu lalu.

Mungkin ditakdirkan bersama, Aswad tidak bertugas lama di Bukit Aman dan kembali ke IPD Sentul pada awal 2008.

Bagi Hannis, di kalangan semua kenalan lelakinya, hatinya lebur dengan keikhlasan serta sikap bertanggungjawab Aswad, walaupun mengakui satu ketika tidak suka kepadanya.

Lama-kelamaan, secara tidak disedari, hati Hannis mula menjadi milik Mohd. Aswad.

Pergaulan mereka juga semakin intim dan akhirnya mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga pada 15 Mac 2008. Hubungan mereka bukan saja direstui orang tua kedua-dua pihak, malah turut disokong seluruh warga IPD Sentul.

Hasil perkongsian hidup, mereka telah dikurniakan seorang puteri comel dinamakan Wan Arfa Hadirah yang kini sudah berusia setahun tiga bulan.

Akui Hannis, sebenarnya tidak pernah terfikir ingin memilih pasangan hidup yang sama kerjaya, tetapi hakikatnya, suaminya kini juga seorang pegawai polis.

Kehidupan rumah tangga mungkin bahagia untuk sesetengah pasangan, tetapi yang pastinya bukan kepada pasangan suami-isteri polis seperti Aswad dan Hannis.

Tanya saja kepada mana-mana pasangan suami isteri polis, 'masa' merupakan elemen yang paling mencabar dalam melayari kehidupan bersama.

Kekurangan itulah yang telah dialami kedua-duanya sejak berkongsi hidup dua tahun yang lalu. Ini kerana kesibukan bekerja sebagai pegawai penyiasat, waktu kerjanya tidak menentu.

"Jarang sekali kami sekeluarga duduk makan semeja dan adakalanya seharian langsung tidak berjumpa atau berbual satu patah perkataan pun.

"Seperti kami ini, Aswad biasanya pulang pada awal pagi ketika saya tidur, dan apabila saya bersiap ke tempat kerja pada keesokannya, dia pula yang tidur lena," katanya.

Hadirah pun kami sempat menjenguknya untuk seketika kerana masih tidur, tidak kira pada lewat malam, ketika baru pulang dari kerja mahupun awal pagi apabila mahu pergi kerja.

"Ada masanya saya agak iri hati melihat pasangan suami isteri lain yang sesudah waktu pejabat, boleh pulang meluangkan masa bersama suami dan anak dan apabila tiba hujung minggu, boleh berkunjung ke kompleks beli belah. Ini sesuatu yang amat sukar untuk kami dan Hadirah," luah Aswad dan Hannis.

Justeru, sekiranya berpeluang duduk bersama di rumah, kedua-duanya langsung tidak akan menyentuh topik perbualan kerja, sebaliknya merancang ke mana mahu pergi bersantai.

Cuma ketika di pejabat, mereka akan meminta pendapat atau tunjuk ajar antara satu sama lain sekiranya timbul sebarang masalah dalam kes kendalian masing-masing.

Tekad Aswad dan Hannis hanya satu iaitu sentiasa hidup bertolak ansur kerana masing-masing tahu tugas tetap menjadi keutamaan, tetapi pada masa sama tidak melupakan tanggungjawab dan peranan dalam rumah tangga mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: