Sunday, February 22, 2009

Ujian cinta jarak jauh kuatkan kasih Tini - Sol

Tini dan Sol kini sah bergelar suami isteri

[SEMASA] KUALA LUMPUR: Setelah lebih dua tahun menyulam cinta, penyampai radio Hot FM, Kartini Kamalul Ariffin (Tini), 31, dan kekasih hatinya, Nur Sulhi Jasmin atau Sol, 29, akhirnya selamat dinikahkan pada majlis pernikahan mereka yang cukup sederhana di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, di sini, hari ini.

Dengan dua kali lafaz, Sol yang dinikahkan oleh bapa Tini sendiri, Datuk Kamalul Ariffin, sah bergelar suami kepada Tini yang mula dikenalinya sejak penyampai radio berusia 31 tahun ini mula bertugas di Hot FM pada awal tahun 2006. Sol juga berkhidmat di tempat yang sama sebagai Pengurus Acara Hot FM.

Pada majlis yang serba ringkas itu, Tini menerima mas kahwin RM80, wang hantaran sebanyak RM10,000 serta 11 dulang hantaran daripada pihak lelaki termasuklah sebentuk cincin, sejadah, telekung, jam tangan dan pewangi.

Tanda cinta...Sol menyarungkan cincin di jari Tini

Pihak pengantin perempuan pula membalas sebanyak 13 dulang hantaran antaranya senaskhah Al-Quran, kasut, kek, pewangi, coklat dan kemeja.

Majlis bersejarah pasangan mempelai itu telah dihadiri oleh kira-kira 100 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan rapat kedua-dua belah pihak.

Sebaik dinikahkah kira-kira pada pukul 10.40 pagi, pasangan tersebut terus mengadakan majlis persandingan di tempat yang sama sekitar jam 1 tengah hari.

Majlis persandingan mereka yang dihadiri sekitar 1,000 tetamu itu berlangsung dalam konsep tradisional dengan mengenengahkan tema warna merah hati dan krim. Pasangan tersebut menggayakan busana rekaan Lubis House untuk kedua-dua acara itu.

Faizal Ismail dan Rafidah Abdullah bertindak selaku pengacara pada resepsi tersebut selain dihiburkan oleh persembahan termasuklah oleh Dina Malaysian Idol.

Sama cantik, sama padan...Tini dan Sol mengadakan majlis persandingan di lokasi yang sama sejurus majlis pernikahan mereka

Rakan-rakan penyampai radio Hot FM seperti Leya, Anne dan Kieran serta 'orang kuat' stesen tersebut, Seelan Paul turut hadir memeriahkan majlis bersejarah pasangan ini.

Terdahulu, ketika ditemui selepas majlis pernikahan berlangsung, Tini melahirkan rasa bersyukur setelah hubungan cinta mereka yang terjalin itu mendapat restu keluarga untuk diakhiri dengan ikatan perkahwinan.

"Saat melangkah ke tempat ini tadi, saya akui agak panik juga. Alhamdulillah, saya kini sudah sah bergelar isteri kepada Sol dan Insya-Allah, saya akan cuba menjadi isteri yang terbaik," kata Tini yang kelihatan anggun pada majlis itu.

Mengakui cukup tertarik dengan sikap Sol yang menerima dirinya seadanya, kata Tini, dia bersyukur kerana ujian percintaan jarak jauh selama setahun setengah tidak lama dulu telah menguatkan lagi cinta antara mereka.

"Pada awal perkenalan kami, memang tidak timbul lagi perasaan cinta dalam hati saya. Kami hanya berkawan ketika itu. Tetapi sebulan sebelum saya menyambung pelajaran di United Kingdom pada September 2006 untuk mengikuti kursus Sarjana Kewartawanan Penyiaran di sana, barulah Sol ajak saya keluar dan kemudiannya meluahkan perasaannya pada saya.

Tini akui cukup tertarik dengan sikap Sol yang menerima dirinya seadanya sehingga membuatkan gadis ini nekad untuk meneruskan hubungan mereka secara serius

"Ada hikmah juga saya ke sana. Entah-entah jika saya tidak ke UK, mungkin dia tidak luahkan perasaannya langsung," kata Tini tersenyum sambil memandang suaminya di sebelah.

Dalam pada itu, Sol akui dirinya memang sudah lama meminati Tini, sejak penyampai itu mula bertugas di stesen radio popular itu.

"Tetapi ia sekadar di situ saja, malah saya tidak pun ambil 'langkah' seterusnya. Apabila saya dapat tahu dia ingin ke UK, saya terus nekad untuk bercakap sendiri kepadanya tentang perasaan saya.

"Bagi saya, kami berdua mempunyai banyak persamaan termasuklah dari segi hobi. Kami suka aktiviti 'outdoor'," kata Sol.

Ditanya destinasi bulan madu pilihan mereka, kata Tini, buat masa ini mereka belum dapat berbuat demikian kerana komitmen kerja masing-masing. Malah, Tini juga akan kembali bertugas di konti esok, meskipun baru selesai mengadakan majlis perkahwinan hari ini.

"Kami akan cuba cari masa yang sesuai nanti...mungkin pada bulan Mac. Jika ikut kepada perancangan, kami ingin berbulan madu di sebuah pulau di sini dan ingin mengambil lesen menyelam bersama," tutur Tini yang menambah, mereka tidak mahu terburu-buru berbicara soal cahayamata ketika ini.

Tini dan Sol akan mengadakan sebuah lagi resepsi di sebelah pihak lelaki pada 28 Februari ini di Kota Tinggi, Johor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: