SIAPA sangka rezeki hos dan pelakon Shamsul Ghau Ghau akan melimpah ruah sehingga kini selepas menjuarai Sinaran... Pasport Kegemilangan yang pertama pada tahun 1994.
Hampir 15 tahun beraksi di dalam arena seni tempatan, perjuangannya masih diteruskan sehingga sekarang memandangkan tawaran kerja yang tidak putus-putus.
Seawal penglibatan beliau di dalam industri seni ini lebih menampakkan kecenderungannya di dalam bidang nyanyian dan lakonan, kini pemilik nama Shamsul Azhar Alidin, 41, semakin serasi memonopoli bidang pengacaraan pula.
Selain tiga tahun bergelar hos program Apa-Apa Aje di TV3 bersama penyanyi dan pelakon Amy Mastura, terbaru Shamsul ditugaskan untuk mengendalikan program Apa Ke Halnya di TV9 bersama pelawak Din Beramboi, aktor Os dan Juara Gadis Melayu, Khairul Noormaidah Zali atau Aida.
Kedua-dua program tersebut disiarkan secara langsung di mana Apa-Apa Aje pada setiap Isnin dan Khamis manakala Apa Ke Halnya pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.
“Pada tahun 2009 ini, saya ditugaskan untuk mengendalikan dua program oleh Media Prima iaitu Apa-Apa Aje dan Apa Ke Halnya sekaligus memberikan lebih cabaran kepada saya.
“Program Apa Ke Halnya merupakan program bual bicara yang membincangkan isu semasa secara serius tetapi diberi sentuhan santai dan bersahaja.
“Di dalam program itu, masing-masing mempunyai karektor tersendiri. Misalnya, saya membawakan karektor orang kelas bawahan yang pandai serba-serbi tetapi berlagak pandai.
“Kami tidak diberikan skrip tetapi apabila diberikan topik perbincangan, kami diberi peluang untuk bercakap mengikut kreativiti masing-masing.
“Misalnya, kalau kita jemput Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kami akan bertanyakan tentang bagaimana beliau menjaga pemakanan di mana kami menggunakan format persembahan di luar daripada bahasa pengacaraan,” tuturnya.
Sebelum ini, Shamsul juga pernah mengacarakan program Mister Potato Gila-Gila bersama Din Beramboi dan penyanyi Maya dan Shamsul At Bazar Ramadan sempena bulan Ramadan pada tahun lalu,” jelas suami kepada Sharifah Azrinah Syed Ibrahim, 35, ini.
Bapa kepada Megat Ummar Azhar, 4, ini turut muncul dalam beberapa buah drama bersiri seperti Sari Maya (26 episod), Romeo (13 Episod) dan terbaru Kasut Tumit Tinggi manakala sebilangan filem iaitu Sara, 9 September, Senario The Movie: Episode 1 dan terbaru Sifu & Tongga.
Menurut penyanyi yang pernah hits dengan lagu Selamat Jalan Romeo dan Lagu Hit Buatmu ini, beliau bersyukur kerana perjalanan karier seninya masih diteruskan sehingga sekarang.
“Alhamdulillah, sehingga tahun 2009 ini rezeki saya masih ada lagi. Saya akan tetap meneruskan karier seni saya mengikut kemampuan saya.
“Walaupun sekarang saya agak sibuk dengan pengacaraan, namun tidak bermakna saya akan menolak tawaran untuk berlakon.
“Saya akan cuba meluangkan masa untuk pengambaran di sekitar Melaka dan Kuala Lumpur sahaja.
“Kadangkala, tawaran untuk berlakon tu ada tetapi disebabkan pertembungan waktu dengan masa saya mengacarakan program tv, jadi terpaksalah saya tolak.
“Bukan apa, takut nanti terkejar-kejar pula,” ujar Shamsul yang turut bergelar juri tetap Raja Lawak Astro musim ketiga yang sedang disiarkan di Astro Prima (saluran 105).
Selain itu, jika ada masa terluang, Shamsul akan menghabiskan masanya di Restoran Selera Bonda Apa-Apa Aje di Jalan Reko, Bangi milik beliau sekeluarga.
Sepanjang restoran tersebut beroperasi kira-kira 10 bulan lalu, Shamsul bersyukur kerana perniagaannya agak memberangsangkan sehingga mampu mengumpul pelanggan tetap terutama waktu tengah hari dan petang.
Sebelum ini, Shamsul juga pernah menjadi artis Warner Music selama lima tahun dan muncul dengan dua album, Beza Berbeza dan Oh Ya Ya.
Namun, dengan arus perkembangan dunia nyanyian tempatan yang agak merosot sekarang, penyanyi kelahiran Kubu Gajah, Perak ini belum lagi berkesempatan untuk meneruskan agendanya untuk membuat album tetapi sekadar memenuhi undangan persembahan ‘show’.
“Sekarang kalau saya nak buat album, saya perlu mengikut arus dan melihat kepada bajet.
“Buat masa ini, saya banyak menyertai ‘dinner show’ di mana saya mengacara, menyanyi dan berlawak jenaka.
“Kiranya semua ini bonus bagi saya sebab tahun lepas saya susah dan kurang mendapat tawaran ‘show’,” kata Shamsul.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: