MINGGU lalu, kecoh seketika bila pemenang Anugerah Juara Lagu, kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH) dikatakan sudah goyah akibat tiada sefahaman lagi.
Apalagi bila salah seorang ahli MUH, Taja memberi kenyataan tentang ‘perangai sebenar’ vokalisnya, Lan, nasib kumpulan ini seperti ‘bom jangka’ yang bakal berkecai tidak lama lagi.
Taja mendakwa Lan dikatakan mula sombong, angkuh, tidak berdisiplin dan macam-macam lagi, yang mampu menjatuhkan karier rakannya itu.
Mulalah, orang bertanya-tanya apa punca mereka jadi begini sedangkan nama MUH kini sedang berada di puncak kejayaan sebagai kumpulan band yang berjaya.
Sejauh manakah kebenaran itu, Kosmo! cuba mendapatkan komen daripada bekas ahli MUH serta ahli kumpulan itu sendiri.
Mendapat reaksi daripada dua bekas ahli MUH yang kini menjadi ahli kumpulan Pesawat, Kudux (bekas pemain drum) dan Jipie (bekas pemain keyboard), ternyata mereka terkejut dengan kenyataan Taja itu. Ini kerana mereka tahu sejauh mana atitud vokalis popular ini biarpun dirinya dikelilingi kemasyhuran.
|
|
Tak kesal beri kenyataan
SEMINGGU selepas kejadian panas ini, Kosmo! menghubungi semula Taja untuk mengetahui status mereka ketika kini.
Seperti yang dijangkakan, mereka kembali bersatu. Bak kata orang, buang yang keruh, ambil yang jernih. Namun sejauh mana kekeruhan itu dapat dibersihkan sepenuhnya?
Enggan memikirkan perkara yang lepas, Taja memberitahu mereka kembali normal dan menjalankan kerjaya dan tanggungjawab mereka seperti biasa.
Setelah membuat perbincangan bersama ahli kumpulan, mereka bersepakat untuk kekal bersama dan tidak menyingkirkan Lan.
“Semua dah okey. Memang ada sedikit salah faham, tapi sekurang-kurangnya apa yang nak diberitahu sudah dikatakan.
“Benda dah terjadi, saya pun tak mahu panjang-panjangkan lagi. Takut keadaan kembali keruh dan boleh menegangkan perhubungan kami sebagai sebuah band,” ujarnya berterus terang.
|
|
Kesal dengan kenyataan yang telah diberi? Langsung tidak. Lelaki ini tahu, hanya dengan cara ini dia dapat meluahkan perasaannya yang terpendam terhadap Lan.
Namun katanya, dia tidak sangka kenyataan yang dibuat ‘diolah’ dengan cara percakapan yang agak tajam maksudnya.
“Saya tak rasa menyesal langsung dengan kenyataan yang saya keluarkan itu. Kalau tak keluar cerita ini, mungkin keadaan kami masih sama.
“Cuma saya kesal kerana kenyataan itu sudah terkeluar. Saya tak sangka apa yang saya cakap ditulis dengan cara sedemikian rupa, terlalu tajam.
“Kalau tanya adakah saya berdendam dengan Lan, taklah. Kami dah okay,” katanya.
Tak mahu ambil hati – Lan
SEBELUM ini, ketika menemubual Lan, pernah dia berkata, dia akan menangis jika dia seorang perempuan kerana masalah ini.
Sedihnya, tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Cuma, apa yang tidak boleh diterimanya, dirinya dipersalahkan kerana tidak mempunyai tawaran persembahan pentas.
|
|
“Nak ikutkan tentang tawaran, itu bukan urusan saya kerana bukan saya yang menguruskan, saya hanya menyanyi. Tapi kalau band ini diletakkan dengan harga yang tinggi, itu saya tak tahu.
“Sebelum Anugerah Juara Lagu (AJL), memang tak banyak persembahan yang kami terima, tapi selepas AJL dan banyak publisiti daripada akhbar, kami menerima banyak panggilan untuk mengadakan persembahan. Tapi persembahan yang kami hadir tidaklah sebanyak yang disangkakan orang,” katanya.
Baru-baru ini pula, mungkin masing-masing sudah meluahkan kata-kata tidak puas hati, Lan reda dengan perkara yang telah berlalu.
Selepas ‘bertengkar’ dalam perbincangan mereka. MUH kembali dengan mood normal.
|
|
“Alhamdulillah, walaupun bertengkar sesama sendiri ketika berbincang, kami dah okey. Biasalah, setiap orang ada salah silapnya.
“Cuma saya tak tahu kenapa dia berani membuat kenyataan kepada pihak media. Saya pun tak mahu ambil hati sangat. Kalau panjangkan, lagi besarlah masalah.
“Sekarang ini, kami kena lebih berhati-hati dan tak akan menceritakan masalah dalaman kami kepada orang luar,” ujarnya tekad..
Sebelum mengakhiri perbualan, sempat lagi Lan berseloroh: “Rasa-rasanya kami dah okey sebab jadual kami masih penuh dengan persembahan pentas.”
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: