|
 |
| SEKIAN lama menghilang, tiba-tiba peminat filem dan drama tempatan dikejutkan dengan berita dramatis yang cukup popular sekitar 90-an, Salina Zainom atau Lydiawati, 43, berhadapan masalah rumah tangga. |
Sebelum ini, tidak ramai yang tahu pelakon yang kini menetap di Klang, Selangor sudah berkahwin baru. Bagaimanapun, baru-baru ini Lydia tampil menjelaskan perkara yang berlaku.
Katanya, dia baru saja mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki bergelar Datuk pada Ogos tahun lalu. Mengharapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.
Akui pelakon utama filem Perempuan, Isteri dan...itu, rumah tangga dibina hampir enam bulan itu tidak dapat bertahan lama apabila ketika perkahwinan memasuki usia dua bulan sering berselisih faham dengan suami.
"Pelbagai perkara menjadi punca dan antaranya berkaitan dua orang anak perempuan saya, Normunira, 23, dan Siti Nuranisah, 7.
"Suami tidak berapa gemar anak tinggal bersama kami. Masalah saya pula, jika mereka tidak tinggal bersama saya di mana pula mereka mahu berteduh?
"Apabila memikirkan perkara ini, saya fikir lebih baik kami berpisah. Saya tidak mungkin meninggalkan Nurmunira dan Nuranisah kerana merekalah jantung hati saya," katanya.
Cemburu buta dan ego turut dikatakan menjadi punca kepada masalah dalam rumah tangga baru dibina. Selepas beberapa kali berselisih faham, kini Lydiawati terpaksa tinggal berasingan atas kehendak suami sementara menanti perkara itu dibawa ke pengetahuan pihak berkuasa.
Begitupun Lydiawati yang baru-baru ini muncul membintangi drama Bisikan Subuh bergandingan dengan Remy Ishak dan Fizzow berkata, keputusannya untuk kembali aktif turut memburukkan lagi situasi.
"Kerana cemburu, suami enggan membenarkan saya kembali berlakon tetapi jika ia tidak dilakukan, bagaimana saya dapat menambah pendapatan? Wang itu saya gunakan untuk membiayai pendidikan anak-anak," katanya.
Bagaimanapun, jelas Lydia lagi, dia tidak mahu menoleh ke belakang apabila terus menerima beberapa tawaran berlakon yang datang. Terbaru, pelakon yang tampil imej bertudung ini baru saja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Air Mata Azizah.
Pada waktu sama, Lydiawati mengambil kesempatan menjelaskan mengenai satu artikel dalam ruangan Soseh-soseh baru-baru ini mengenai pelakon lama tidak berdisiplin gagal hadir ke lokasi penggambaran walaupun sebelum itu sudah memberikan persetujuan mahu membintangi sebuah drama.
"Saya tahu ada pihak produksi menyampaikannya kepada media tetapi sebenarnya apa yang berlaku adalah salah faham. Saya sudah pun bercakap dengan produksi terbabit supaya menghubungi Harian Metro dan menjelaskan kembali kedudukan sebenar tetapi sayang dia tidak melakukan perkara sepatutnya.
"Kesilapan dilakukan pengurus produksi drama yang sepatutnya saya bintangi. Mereka pada awalnya menawarkan saya berlakon dalam produksi mereka tetapi sebelum itu saya jelaskan sedang sibuk membintangi drama lain.
"Saya menjelaskan tidak ada masalah berlakon dalam produksi mereka tetapi dengan syarat pengurus produksi perlu menghubungi pihak produksi drama yang sedang saya bintangi agar penyelarasan jadual boleh dilakukan.
"Lama menunggu, akhirnya tiada khabar berita diperoleh. Alih-alih saya baca dalam ruangan SS mengatakan saya tidak berdisiplin dan mungkir janji. Kesilapan daripada mereka sebenarnya dan bukan saya.
"Sebagai orang lama yang baru hendak kembali aktif, kalau boleh saya tidak mahu terlalu tamak. Saya bukannya kuat seperti dulu yang boleh berlakon dua tiga drama pada waktu sama. Sekarang ini kalau berlakon, saya mahu memberikan sepenuh perhatian kepada satu produksi.
"Kalau ada yang mahu juga saya membintangi drama mereka, perbincangan hitam putih perlu dilakukan. Jika perkara itu tidak ada, janganlah pandai-pandai memburukkan pelakon," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: