Monday, February 2, 2009

Kieran berani bersumpah - Roda Impian bukan umpan Roda Impian bukan umpan




APABILA Maskiran Jakiran atau nama glamornya, Kieran, penyampai radio popular yang kini memanaskan suhu di Hot FM akan menghiburkan ruang tamu seisi keluarga dengan siri gameshow popular Roda Impian tidak lama lagi, timbul desas-desus bahawa itulah antara sasaran Kieran selepas bertukar bumbung kerja, dari Astro ke Media Prima pada November 2008.

Ada juga yang mendakwa, tawaran mengendalikan rancangan TV itulah antara yang mengumpan Kieran untuk meninggalkan Astro selepas sembilan tahun berkhidmat sebagai penyampai radio Era.

Mencuri seketika waktu terluang Kieran selepas majlis pelancaran Roda Impian di Petaling Jaya, baru-baru ini, kepastian daripada Kieran dituntut, sama ada benar atau tidak, atau adakah dia sendiri tahu anggapan sebegitu sedang bermain di fikiran ramai.

"Tidak, itu tidak benar sama sekali. Saya berani bersumpah dan demi Allah, tawaran mengacarakan program TV tiada dalam kontrak seperti yang telah ditandatangan semasa mahu menyertai Hot FM dulu.

"Tawaran jadi hos Roda Impian datang selepas dua bulan saya kerja di Hot FM dan saya bukan jenis yang meminta itu dan ini.

"Semasa mula-mula di Hot FM dulu, saya cakap dengan Seelan Paul, letaklah saya di mana-mana slot, waktu subuh atau dinihari, yang penting kerja dan saya akan terima," tegas Kieran,33, menafikan khabar angin yang tercetus.

Biarlah apa yang bermain di fikiran sesetengah pihak, Kieran bagaimanapun sangat bertuah kerana dipilih sebagai pewaris program yang pernah mencipta sejarah sebagai program gameshow yang paling lama disiarkan di seluruh dunia bahkan Roda Impian yang mengambil format Wheel of Fortune ini juga merupakan antara program TV yang paling sukses di dunia.

Di Malaysia, Kieran menjadi wajah ketiga selepas Roda Impian diperkenalkan dengan Halim Othman dan Allahyarham Hani Mohsin bertindak sebagai hos satu ketika dahulu.

Beritahu Kieran: "Di TV, sebelum ini saya hanya mengendalikan rancangan sukan tetapi untuk gameshow, Roda Impian menjadi program debut saya. Semestinya saya teruja dan sangat berdebar-debar menantikan respons penonton.

"Seronok memang seronok tapi takut nak cakap lebih-lebih tak boleh sebab tak tahu penonton suka atau tidak."

Kieran turut mengakui, perasaan gementar tidak dapat dielak kerana lebih hebat lagi program Roda Impian sebelum ini dihoskan oleh dua nama besar, Halim dan Hani yang ada pengaruh dan ada kelas tersendiri di mata penonton.

"Betapa kuatnya pengaruh mereka sehinggakan semasa rakaman, ada peserta yang menjerit 'saya putar Halim' padahal saya yang ada di situ.

"Mulanya terkejut apabila saya yang dipilih daripada senarai pengacara lelaki yang dipanggil uji bakat. Saya terima tawaran yang diberikan TV3 dengan alasan penyampai radio juga perlukan TV untuk mengukuhkan nama di hati pendengar. Kalau dulu, penyampai radio tempatnya hanya di radio, sekarang tidak lagi.

"Rasanya tidak salah, kerana kedua-dua medium ini akan saling mempromosikan antara satu sama lain. Saya sendiri mula seronok kendalikan pengacaraan di TV, rezeki tak boleh ditolak," katanya yang digandingkan bersama pelakon cantik, Fouziah Gous yang bertindak sebagai pembuka kotak huruf menerusi Roda Impian musim baru yang bakal disaksikan bermula 16 Februari nanti di TV3.


GAYA Fouziah sebagai gadis pembuka kotak Roda Impian pasti menarik perhatian ramai.


Mengulas tentang gandingan hos Roda Impian kali ini, Pengurus Besar Kumpulan Jenama, Nurul Aini Abu Bakar menjelaskan, kemasukan nama Kieran diputuskan setelah memikirkan bakat yang ada pada Kieran boleh diperluaskan tidak hanya di konti radio.

"Ini bukan lagi trend tetapi berlaku di mana-mana stesen dan Kieran yang menyerlah berbanding nama-nama yang yang dipanggil uji bakat. Begitu juga dengan Fouziah, dia antara nama baru yang sedang popular dan sudah tentu kami juga mencari satu wajah yang nampak cantik dalam TV," beritahu Nurul.

Jelas Nurul lagi, jika ada yang mempertikaikan sama ada relevan atau tidak Roda Impian kembali disiarkan semula, dengan terbuka, pihak stesen berani memberi jaminan bahawa program itu banyak mengundang manfaat kepada semua.

"Selain ia sebuah program terkenal dan paling lama disiarkan di dunia, ia juga sebuah hiburan keluarga, dan semua penonton boleh turut sama menyertai kuiz yang dimainkan oleh para peserta. Program ini juga mengangkat bahasa Melayu ke medium popular secara tak langsung boleh menguji penguasaan bahasa semua pihak," tegas Nurul lagi.

Jodoh Kieran dan Fouziah

Berkongsi pentas Roda Impian, Kieran dan Fouziah sebenarnya pertama kali dijodohkan bersama.

"Saya tahu Fouziah tapi tak pernah jumpa dia, kami kenal masa latihan sahaja. Ambil masa juga nak dapatkan keserasian. selepas dua-tiga hari rakaman barulah kami selesa bekerjasama," jelas Kieran.


MUSIM baru Roda Impian diberi baru menerusi gandingan Keiran bersama Fouziah.





Berbanding Kieran yang menerima tawaran Roda Impian sebagai satu lagi langkah masuk ke dunia TV, Fouziah pula lain ceritanya.

"Bohonglah kalau saya menidakkan faktor bayaran sebagai antara faktor utama selain jadual kerja yang tidak membebankan.

"Saya cuma perlu kerja 20 hari dengan bayaran yang sangat berbaloi. Sebelum terima tawaran ini saya ada bercakap dengan kak Eja (Siti Shariza), terus dia minta saya terima tawaran ini sebab kerja senang tapi lumayan!

"Saya tak nak bandingkan kerja saya kali ini dengan kerja orang lain, tapi satu sahaja yang boleh saya katakan, jadi pembuka kotak nampak sahaja macam senang tapi susah sebenarnya," cerita Fouziah.

Menurutnya, disebabkan kelainan Roda Impian musim baru yang menggunakan skrin sentuh bukan lagi membuka kotak seperti yang disaksikan dalam siri sebelum ini, dia agak sulit untuk melihat petak mana yang harus disentuh.

"Saya bukan duduk di depan pentas yang nampak petak huruf mana yang menyala, dari sisi, semua petak nampak hitam. Saya kena peka dengan bunyi dan apa yang disebutkan oleh Kieran. Saya kena nampak berkeyakinan sepanjang masa padahal sebenarnya kelam-kabut.

"Tambah lagi dengan kasut tumit tinggi dan gaun yang meleret, semua itu menyeksa saya. Kaki sampai bengkak dan lenguh-lenguh sebab berdiri terlalu lama, manakan tidak, satu hari kami buat penggambaran untuk enam episod

Walau bagaimanapun saya seronok, lagi cepat rakam lagi cepat saya boleh berehat sebelum mulakan kerja lain," jelas Fouziah yang diharuskan memakai busana anggun yang sesuai dengan tema setiap episod.

Menjalani rakaman bermula 10 Januari lalu, Roda Impian akan menemui penonton sebanyak 65 episod. Setiap minggu, tema berlainan akan ditampilkan antaranya melibatkan minggu selebriti, penyampai radio, personaliti TV3, hari ibu, ibu dan anak, hari bapa, hari bapa dan anak, selebriti kanak-kanak dan ulang tahun TV3.

Antara selebriti yang mengizinkan diri mereka untuk diuji penguasaan perbendaharaan kata menerusi Roda Impian musim baru termasuklah Lydia Ibtisam, Kartina Aziz, Shamsul Ghau Ghau, Azhar Sulaiman, Naz, Zizan Nin, Maria Tunku Sabri, Farah Wahida, Awal Ashaari, Zed Zaidi, Sharifah Shahira dan ramai lagi.

Pada akhir episod, program terbitan produksi Juita Viden disiarkan setiap Isnin hingga Rabu pukul 5.30 petang itu menyaksikan seorang peserta bertuah yang akan membawa pulang hadiah bernilai hampir RM100,000 serta sebuah kereta Suzuki Swift Sport 1.6 Auto.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: