Tuesday, February 17, 2009

Elly murah rezeki


MELANGKAH ke bidang lakonan, rezeki Elly Mazlein makin bertambah jika dibandingkan ketika dia bergelar penyanyi suatu ketika dulu. Jadual lakonannya tidak henti daripada satu drama ke drama lain. Malah, apa yang membanggakan dirinya, sejak tiga tahun lalu, dia kerap diberi kepercayaan produser dan pengarah untuk memegang watak utama.

Kata Elly, dia gembira dengan pencapaian diri setakat ini hingga tawaran yang diterima tidak putus-putus. Biarpun peminat terlebih dulu mengenalinya sebagai penyanyi, dia tidak membataskan diri untuk meneruskan minat dalam bidang lakonan.

Keputusannya untuk bergerak sendiri selepas lima tahun bernaung di bawah produksi Skop Productions Sdn Bhd ternyata memberi ruang untuk melebarkan sayap sebagai pelakon berbakat besar.

"Memang banyak pengalaman baru yang saya timba sebaik bergerak sendiri. Jika sebelum ini, saya tidak berpeluang membawakan watak utama ditambah kesibukan dengan album nyanyian, sebaliknya sejak tiga tahun lalu, tawaran ini hadir selepas saya fokus secara serius pada lakonan. Hingga kini, saya bersyukur dengan pencapaian dan perkembangan karier seni saya.

"Seharusnya saya berterima kasih kepada produser dan pengarah yang menghargai bakat saya dan saya sangat gembira dengan rezeki yang dikecapi. Namun, dalam sibuk berlakon, saya hanya mahu memfokuskan satu drama pada sesuatu masa.

"Ini penting agar tidak timbul masalah yang menyusahkan diri mahupun produksi lain selain saya sendiri tidak keliru dengan watak dibawa. Dulu, ketika bersama Skop Productions, saya hanya membintangi drama Gerak Khas dan Sembilu Kasih, tetapi sejak tiga tahun lalu, saya berpeluang berlakon 14 drama dan hampir semuanya saya memegang watak utama.

"Saya seronok berlakon kerana tidak tahu sejauh mana bakat saya boleh pergi. Bagaimanapun, saya berprinsip, jangan sesekali berkata saya tidak boleh buat jika menerima tawaran berlakon kerana ini boleh melemahkan semangat mencuba watak baru.

"Untuk lakonan berkesan, saya memahami skrip secara mendalam. Sejak mula berlakon hingga kini, kebanyakan watak yang saya terima berbeza dengan personaliti saya yang sebenar. Saya juga tidak meletak diri, ada watak yang saya tidak boleh bawa.

"Saya berhasrat mencuba pelbagai watak berbeza yang mencabar. Pelakon sepatutnya menyahut cabaran untuk berlakon apa jua watak yang diberi, tetapi ada ketika pelakon boleh pilih skrip atau plot penceritaan yang difikirkan menarik dan sesuai untuk dilakonkan.

"Mungkin ada pelakon tidak suka watak seksi, menolak peluang berlakon dan itu terpulang kepada individu. Pada saya, jika pelakon itu mencuba watak baru, dia akan ketahui tahap lakonannya," katanya.




Menerusi kebanyakan lakonan Elly dalam drama, dia tidak menafikan ada tanggapan penonton yang menilai lakonannya stereotaip kerana sering membawa watak baik dan menangis.

Katanya, dia hanya mengikut kehendak watak yang diberikan dan hakikatnya, kebanyakan karakter yang dibawa memerlukan dia menangis.

Antara pelbagai watak yang pernah dilakonkan, dia menyatakan drama Bella yang ditayangkan pertengahan tahun lalu paling mencabarnya. Dalam drama itu, dia diminta melakonkan dua watak berbeza iaitu Bella dan Tengku Sandra, tetapi merujuk kepada individu sama. Nyata, Elly berjaya membawakan dua watak itu dengan baik berdasarkan sambutan penonton.

"Penonton memberikan respon positif kepada drama itu hingga ada peminat masih panggil saya Bella. Turut mencabar diri saya ketika melakonkan watak ibu pada dua anak menerusi drama Cinta Batu Belah.

"Meskipun ada pandangan yang melihat lakonan saya makin laris dalam banyak drama yang ditayangkan di TV, tetapi saya tidak hanya bergantung pada kecantikan untuk berlakon.

"Sebenarnya, dalam apa jua pekerjaan, kecantikan bersifat sementara, tetapi jika pelakon itu mempunyai pakej cantik dan berbakat, dia boleh berjaya.

"Bagi saya, kedua-dua faktor ini perlu seiring. Menerusi drama terbaru saya, Keliwon arahan Rashid Sibir, saya tampil menjadi pontianak. Untuk menghayati watak ini dengan berkesan, saya tidak kisah muka saya menjadi buruk dan terpaksa menjerit ketika berlakon.

"Selain itu, saya juga kini terbabit dengan penggambaran drama 26 episod, Semanis Janji yang menyaksikan saya membawakan watak Aishah, kakak yang menjaga adiknya selepas ibu bapanya meninggal dunia. Bergandingan pelakon seperti Zamarul Hisham, Abu Bakar Juah dan Maimon Talib, saya perlu hayati watak kakak yang menjalankan tanggungjawab untuk keluarga," katanya.

Sungguhpun sibuk berlakon drama, Elly menyimpan impian kembali berlakon filem. Selepas Janji Diana pada 2003 diikuti Tangkai Jering (2004) dan Gerak Khas 3 The Movie (2005), dia masih menantikan tawaran sesuai. Elly menjelaskan dia bukan tersingkir daripada drama Spa Q musim kedua, sebaliknya ketika itu mempunyai komitmen lain untuk drama Cinta Batu Belah.

Mengenai bidang nyanyian, dia masih memenuhi jemputan persembahan korporat pada masa lapang, tetapi tidak merancang menghasilkan album baru kerana faktor bisnes muzik masih tidak stabil dan jualan album merosot.

Ditanya soal jodoh, Elly tidak mahu terburu-buru menamatkan zaman bujang. Walaupun siapa gerangan jejaka yang menambat hatinya terus menjadi tanda tanya, tetapi dia lebih suka tidak menghebahkan kisah peribadi yang belum pasti.

"Saya tidak tahu bila jodoh saya sampai, tetapi saya fikir untuk dua tahun ini, saya tidak mahu berkahwin kerana ingin fokus kerja. Saya seorang yang sensitif dan mudah terasa hati. Jadi saya tidak mahu terlalu bercerita soal kahwin hingga memalukan keluarga.

"Jika tiada apa-apa perjanjian atau ikatan, lebih baik saya berdiam diri. Sebaliknya, tiada istilah kahwin lari. Saya juga seperti orang lain yang mahu merasai kebahagiaan mengadakan majlis perkahwinan. Namun, saya janji bila sampai masanya, saya akan maklumkan kepada peminat menerusi media," katanya.



>Profil

NAMA: Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi.

NAMA KOMERSIAL: Elly Mazlein.

TARIKH LAHIR: 17 Disember 1980.

TEMPAT LAHIR: Slim River, Perak.

FILEM: Janji Diana, Tangkai Jering dan Gerak Khas 3 The Movie.

DRAMA: Bulan Yang Pertama, Gerak Khas, Sembilu Kasih, Spa Q, Bella, Amanah Karmila, Cinta Batu Belah, Cinta Seorang Penoreh Getah, Kasih Berbunga Lalang, Keliwon dan Semanis Janji.

ALBUM: Sutera Kasih (1997), Satu Persatu (1999), Elly (2001), MTV

Karaoke Elly Mazlein (2001), Best Of Elly Mazlein (2002) dan Atas Nama Cinta (2003).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: