Monday, February 2, 2009

Ekspresi songket dalam PGLM III


(Dari kiri) Roslan Wilkinson mengatakan sesuatu mengenai Royal Terengganu Songket kepada Penaung Yayasan Tuanku Nur Zahirah, Toh Puan Seri Hidayah Wan Ismail dan Tiara Jacquelina.


KEANGGUNAN dan kemewahan fabrik songket terletak pada seni warisan pembuatannya yang cukup teliti.

Kehalusan teknik pintalan benang sutera atau kapas menggunakan tangan diwarisi kaum wanita Melayu desa secara turun temurun, dari generasi ke generasi selama lebih 200 tahun.

Tenunan songket memerlukan kemahiran tangan bermain dengan benang pakan dan lungsin bagi menimbulkan kontras pada warna serta tekstur fabrik berkenaan itu.

Justeru, tenunan songket dianggap proses yang jerih dan remeh serta memerlukan tahap konsentrasi tinggi untuk menghasilkan karya seni terulung yang melambangkan artisan dan kepakaran sang penenun.

Hari ini ratusan tahun kemudian, warisan pembuatan songket masih wujud di sebahagian tanah air terutama di Pantai Timur Semenanjung negara dan Sarawak.

Walaubagaimanapun kurangnya inovasi dan pasaran baru mengakibatkan kurangnya pakar penenun songket pada masa ini.

Pun begitu, hasil usaha banyak pihak berjaya meneruskan kelangsungan dan evolusi industri tenunan songket meskipun terdapat peningkatan dari segi persaingan, pemodenan dan globalisasi.

Penerbit Eksekutif Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM), Datin Seri Tiara Jacquelina berkata, beliau sendiri merupakan peminat setia songket dan mengambil kesempatan mempromosikan warisan budaya masyarakat Melayu itu di mata dunia menerusi PGLM.

"Ketika mempromosikan filem PGLM di Venice dan Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) saya telah memakai selendang songket bersama gaun malam dan sering mendapat pujian daripada orang ramai,'' katanya.

Pembukaan tirai pementasan musim ketiga Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM III) kali ini akan diserikan dengan keindahan songket berkualiti tinggi dan unik tajaan Royal Terengganu Songket.

Ia bakal menyerlahkan lagi keagungan pemerintahan Sultan Melaka, Sultan Mahmud dengan persalinan indah putera raja, Raja Ahmad, Hang Tuah, Bendahara, Temenggong dan rombongan meminang Gusti Puteri Raden Ajeng Retno Dumilah sebagai penghormatan kepada tradisi busana kerabat diraja Melayu pada zaman itu.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Royal Terengganu Songket, Roslan Wilkinson berkata, sejajar dengan usahasama dengan PGLM, sebuah Malam Gala bertema 'Expressions of Songket' (Ekspresi Songket) akan diadakan sempena pembuka acara.

Malam gala itu dianjurkan bersama Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ), yayasan di bawah naungan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah yang berperanan memelihara dan memartabatkan seni warisan masyarakat pribumi.

Malam Gala Ekspresi Songket merupakan salah satu aktiviti yayasan berkenaan untuk merangsang industri pembuatan songket tenun, iaitu antara tumpuan utama YTNZ pada ketika ini.

"Kami membantu penenun bukan sahaja dari segi pendapatan malah peluang untuk terlibat secara aktif dalam membentuk masa depan negara.

"Ini perlu dilakukan dengan anjakan daripada industri kecil tidak formal kepada industri komersial bertaraf antarabangsa,'' ujar Roslan.

Majlis malam gala yang akan diadakan pada 7 Februari itu turut diserikan lagi dengan kehadiran Tuanku Nur Zahirah selaku tetamu kehormat.

Musim ketiga PGLMIII akan dipersembahkan kepada umum mulai 6 hingga 21 Februari ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: